Kerajaan Islam pertama di Jawa Barat


KERAJAAN Islam pertama di Jawa Barat bermula dari abad ke-15. Ketika itu, Cirebon dikuasai oleh Pangeran Walangsungsang (Cakrabumi), Raja Pakuan Pajajaran. Baginda dianggap sebagai pengasas Kesultanan Cirebon.

Namun, tokoh paling penting dalam menjadikan Cirebon sebuah kesultanan Islam ialah Syarif Hidayatullah.

Bagindalah pengasas Kesultanan Raja Cirebon dan kemudian Kesultanan Banten.

Keutuhan Kesultanan Cirebon hanya bertahan sehingga zaman Panembahan Ratu II yang bergelar Panembahan Girilaya (1650-1662).

Atas kehendak Panembahan Girilaya, Kesultanan Cirebon dibahagi dua: Kesultanan Kasepuhan dan Kanoman. Perpecahan ini melemahkan Kesultanan Cirebon sehingga kedua-dua kesultanan menjadi wilayah naungan Belanda (1681).

Walaupun tidak memiliki kuasa mentadbir, Kesultanan Cirebon tetap bertahan dan memelihara pelbagai tradisi peninggalan seni dan sastera Islam dengan baik.

Masjid besar

Masjid ini dibina semasa pemerintahan Sunan Kalijaga dengan arkitek dari Majapahit, Raden Sepat.

Masjid yang dikenal dengan nama Sang Cipta Rasa dan Pakungwati ini mempunyai sembilan pintu gerbang yang melambangkan Wali Songo.

Antara ciri khas masjid ini kelihatan pada bumbung bangunan yang berbentuk piramid dan sebatang tiang yang diperbuat daripada potongan kayu yang diikat antara satu dengan lain sebagai lambang gotong-royong.

Kasepuhan dan Kanoman

Pada awalnya, Kesultanan Cirebon adalah sebuah kerajaan yang utuh. Namun, keutuhan itu hanya bertahan sehingga pemerintahan Penembahan Ratu II (Panembahan Girilaya), cicit Sunan Gunung Jati.

Sebelum mangkat (1662), Panembahan Ratu II membahagikan Kesultanan Cirebon kepada dua, iaitu Kesultanan Kasepuhan dan Kanoman, lalu menyerahkan tampuk kekuasaan kepada kedua-dua puteranya.

Kesultanan Kasepuhan dipimpin oleh Martawijaya (Panembahan Sepuh yang bergelar Syamsuddin), manakala Kesultanan Kanoman dipimpin oleh Kartawijaya (Panembahan Anom yang bergelar Badruddin).

Sunan Gunung Jati

Sunan Gunung Jati (1448-1570) adalah salah seorang daripada Wali Songo. Baginda menyebarkan Islam di Cirebon lalu menjadikan Jawa Barat daerah pertama yang penduduknya memeluk Islam.

Menurut Babad Cirebon, Sunan Gunung Jati dan pengasas Kesultanan Cirebon dan Banten, iaitu Syarif Hidayatullah adalah orang yang sama. Disebabkan baginda adalah raja dan ulama, maka baginda digelar Raja Pandita.

Peradaban Islam

Cirebon pernah menjadi salah satu pusat peradaban Islam di Nusantara. Kedudukannya di daerah pesisir menyebabkan Cirebon banyak berhubung dengan dunia luar, terutama melalui laluan perdagangan seperti dengan China dan Arab.

Hubungan ini tidak hanya mempengaruhi kehidupan masyarakatnya tetapi juga karya seni, sastera dan tradisi Islam yang berkembang pesat di wilayah ini pada abad ke-17 hingga ke-18.

Pengaruh budaya luar kelihatan pada hiasan piring China dan Belanda yang banyak terdapat di dinding istana. Hal ini menunjukkan pengaruh kuat China dan Belanda di Cirebon.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: