Amalan jadi penentu kedudukan di syurga


Bersama Zahazan Mohamed

Saya ingin bertanya Dr Zahazan berkaitan syurga. Benarkah syurga bertingkat-tingkat? Kerana saya berfikir sudah tentu manusia ini kedudukannya tidak sama di sisi Allah SWT. Ini kerana ada yang beramal banyak dan ada yang kurang beramal. Saya harap Dr dapat memberikan penjelasan.

Sulaiman,
Alor Gajah, Melaka

Benar. Hal ini berdasarkan riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Di syurga terdapat seratus tingkat yang setiap tingkatnya berjarak seratus tahun perjalanan.”

Abu Sa’id al-Khudri ra berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Akan dikatakan kepada seorang hafiz al-Quran ketika akan memasuki syurga, ‘bacalah dan naiklah!’, lalu dia membaca al-Quran dan naik satu tingkat setiap selesai membaca satu ayat. Demikianlah seterusnya hingga dia membaca ayat terakhir, yang ia hafal.”

Sebanyak bilangan al-Quran

Berdasarkan hadis ini jumlah tingkatan syurga adalah sebanyak bilangan ayat-ayat al-Quran. Pada riwayat lain disebutkan bahawa Aisyah ra berkata: “Sesungguhnya jumlah tingkat syurga adalah sejumlah bilangan ayat-ayat al-Quran. Maka siapa yang masuk syurga dari penghafal al-Quran, nescaya tidak ada orang yang melebihi (tingkatnya) di syurga.” (Riwayat Ahmad)
Menurut Ibn Hajar kalimah “..seratus tingkat…” ini tidak menunjukkan erti bahawa jumlah itu adalah jumlah keseluruhan syurga. Menurutnya lagi, tingkat atau darjat yang dimaksudkan dalam hadis memiliki dua makna. Pertama, makna secara kasar iaitu tingkat yang jarak antara satu tingkat ke tingkat berikutnya sama dengan jarak perjalanan seratus tahun atau sama dengan jarak antara langit dan bumi. Kedua, pengertian maknawi iaitu tingginya kedudukan seseorang pada pandangan Allah.”

Dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abu Sa’id al-Khudri ra berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya para penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh para penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang bertebaran di ufuk langit…”

Miliki kenikmatan berbeza

Kenikmatan yang akan diperoleh penghuni satu tingkat dengan tingkat syurga yang lain tidaklah sama. Setiap tingkat memiliki kenikmatan tertentu yang tidak terdapat pada tingkat di bawahnya. Dalam erti kata lain, semakin tinggi tingkat seseorang di syurga, maka semakin banyak pula kenikmatan yang diperolehnya.

Ada hadis yang menyebut bahawa serendah-rendah kedudukan penghuni syurga adalah mereka yang mempunyai isteri dua orang bidadari.

Abu Sa’id al-Khudri ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya penghuni syurga yang paling rendah kedudukannya adalah seorang yang wajahnya dipalingkan dari neraka ke arah syurga dan diberi Allah sebuah pohon yang sangat rendang daunnya, lalu ia berkata, “Allah telah memberiku sebatang pohon tempatku berlindung ini…(dan seterusnya).”

Disebutkan pada ayat berikutnya: “Lalu Allah mengingatkannya, Mintalah ini dan itu! Dan ketika keinginannya habis, Allah berkata: “Itu semua untukmu, selain sepuluh kali ganda lagi seumpamanya.” Kemudian Rasulullah melanjutkan sabdanya: “Lalu ia memasuki rumahnya (di syurga itu). Dan menyusul kemudian dua orang isterinya dari para bidadari syurga seraya berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanmu untuk kami dan yang telah menghidupkan kami untukmu. Kemudian Rasulullah SAW berkata: Maka orang itu berkata, Tidak ada seorang pun yang menerima pemberian sepertiku ini.” (Riwayat Muslim). Demikianlah, wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: