Archive for Disember 2013

Hukum sambut perayaan agama lain

KEISTIMEWAAN Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan adat resam menjadikan ia satu kelebihan yang membanggakan di mata dunia.

Demi memperkukuhkan semangat persefahaman dan kesatuan dalam kepelbagaian tersebut, setiap tahun pelbagai sambutan dan perayaan diadakan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan juga Krismas.

Hari ini, iaitu bersamaan 25 Disember merupakan hari penting bagi penganut agama Kristian, bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia akan menyambut hari penting tersebut iaitu perayaan Krismas.

Namun, sebagai umat Islam dinasihatkan agar mengelakkan daripada menyambut perayaan Krismas dengan pelbagai cara termasuk menyerupai ikon bagi sambutan tersebut.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Dr. Irwan Mohd. Subri kerana dikhuatiri dapat menjejaskan akidah umat Islam dan secara langsung membawa semua kepercayaan agama adalah sama.

Bagaimanapun tambahnya, umat Islam diharuskan untuk menziarahi serta memberi ucapan selamat sekiranya perbuatan tersebut sebagai tanda toleransi dan mengeratkan hubungan kemasyarakatan demi perpaduan sesama bangsa.

“Pada asasnya, prinsip menyambut perayaan agama lain di sisi Islam adalah haram, lebih-lebih lagi apabila membabitkan soal kepercayaan. Ini kerana ia dibimbangi boleh menggugat akidah sebagai umat Islam.

“Oleh itu, seboleh-bolehnya kita perlu mengelakkan daripada terlibat dalam upacara sambutan tersebut kerana dikhuatiri dengan tanpa kita sedari perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan ditegah,” katanya ketika dihubungi Mega, Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Irwan berkata, tidak menjadi kesalahan dalam agama Islam untuk memperagakan apa jua jenis pakaian termasuk pakaian Santa Claus selagi mana menutup aurat.

“Isu memakai pakaian yang menjadi simbolik sesuatu agama seperti memakai Sari bagi kaum India pada dasarnya tidak menyalahi agama Islam, begitu juga pakaian Santa Claus yang menjadi ikon bagi sambutan perayaan Krismas.

“Tetapi penting bagi kita untuk mengkaji semula sejarah pakaian tersebut. Jika ia ternyata mengikhtiraf dan memuliakan upacara sesuatu agama, ia dilarang sama sekali dan menyalahi menurut ajaran Islam.

“Dan dalam isu ini, umat Islam sebolehnya perlu mengelakkan daripada memakai pakaian tersebut bagi mengelakkan fitnah dan perkara buruk terhadap individu dan agama Islam,” jelasnya.

Perkara sama juga katanya mengucapkan selamat dan tahniah kepada masyarakat bukan Islam yang ingin menyambut perayaan mereka adalah harus.

“Namun, dengan syarat ucapan itu bukan berniat meredakan, atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut,” ujarnya.

Syiar Islam Jerman

WALAUPUN umat Islam merupakan golongan minoriti di Jerman, tetapi syiar Islam di situ terus mendapat tempat dalam kalangan warga negara Barat itu.

Hal ini apabila Presiden Jerman, Joachim Gauck mengiktiraf komuniti Muslim sebagai salah satu warga sosial negara berkenaan dengan menegaskan tanah air adalah hak milik semua warga negara.

Malah kata beliau lagi, ia diakui apabila ribuan masjid dan pusat komuniti Islam telah dibina di seluruh negara itu, malah tiada halangan untuk mereka berbuat demikian.

Selain itu, Joachim menegaskan bahawa setiap Jabatan Teologi Islam di setiap pusat pengajian tinggi di negara itu merupakan satu pusat yang memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun negara.

“Penubuhan Jabatan Teologi Islam yang menawarkan pengajian Islam merupakan satu pragmatik kerajaan untuk tujuan masa hadapan.

“Kita percaya melalui pendidikan, setiap warga Jerman termasuk umat Islam dapat menggunakan ilmu dipelajari untuk tujuan kemajuan dan pembangunan negara,” ujar Joachim ketika melawat Pusat Teologi Islam Universiti Munster.

“Kita mahu pendidikan ini dapat diajarkan pula kepada sekolah-sekolah agama, masjid dan universiti. Sehubungan itu, kewujudan Pusat Teologi Islam penting kepadaJerman,” ujar beliau.

Dipercayai terdapat hampir 4 juta warga Islam di Jerman, termasuk seramai 220,000 berada di Berlin, sekali gus meletakkannya sebagai negara Eropah kedua selepas Perancis yang memiliki penduduk Muslim teramai.

Jumlah penganut Islam Jerman dikatakan disumbangkan dengan kehadiran rakyat Turki yang berhijrah ke negara itu sejak dekad lalu. Namun begitu, tanggapan negatif terhadap komuniti Muslim Jerman muncul sejak kebelakangan kerana wujudnya perdebatan hangat mengenai imigrasi Islam ke negara itu.

Menerusi satu tinjauan baru-baru ini oleh Universiti Munster mendapati bahawa Jerman melihat umat Islam lebih negatif daripada jiran-jiran mereka di Eropah. Begitu pun ucapan dikeluarkan oleh pemimpin utama negara itu, sedikit sebanyak telah meredakan ketegangan yang melanda itu.

Wanita mangsa jenayah

WANITA dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi pasangan lelaki sebagai isteri dan melahirkan generasi akan datang seorang ibu. Wanita sangat senang masuk syurga. Nabi SAW bersabda yang wanita boleh masuk syurga dari mana-mana pintu syurga tetapi semasa baginda melihat neraka, Baginda menyatakan yang ramainya wanita di dalam neraka.

Persoalannya, apakah yang menjadikan wanita ramai menjadi penghuni neraka, sedangkan peluang masuk syurga sangat luas. Sebagai isteri, tugas utama dan pertamanya ialah melayan suami dan taat kepada suaminya. Dalam ketaatannya itu, seorang isteri boleh menerpa nasib yang malang dan terpaksa menerima padah daripada ketaatannya.

Saya bukan ingin menyuruh isteri tidak taat tetapi ketaatan isteri kepada suami mestilah berasaskan hukum. Suami juga tidak boleh mengarah atau mempergunakan isteri seperti hamba suruhan dan melakukan perkara yang dilarang syarak.

Dalam isu wanita dan jenayah, saya akan melihat kepada fenomena keterlibatan wanita sebagai isteri atau anak gadis yang terlibat dengan jenayah. Ada wanita yang ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun kerana dia didapati bersalah memiliki dadah. Mereka disabitkan di bawah seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimana ia boleh berlaku? Dalam satu kes, Aminah (bukan nama sebenarnya) ditangkap kerana suaminya menjual dan menyimpan dadah di rumah. Menurutnya ketika polis datang, suaminya melarikan diri. Dia ditangkap kerana dadah ada di dalam bilik tidur. Anak-anak ditinggalkan dengan keluarga sementara dia ditahan. Suami masih dicari.

Dalam kes kedua, pasangan berkahwin selepas tamat belajar. Mereka graduan luar negara dan mempunyai anak berusia 13 tahun. Menurut isteri, suaminya suka minum arak dan mengambil dadah sebagai suku-suka. Di awal perkahwinan, dia memarahi suami yang menggunakan dadah sekali sekala termasuk semasa hendak mengadakan hubungan seks. Akhirnya dia juga dipengaruhi suami untuk mengambil dadah.

Suami pula mendapati dengan menjual dadah ia lebih menguntungkan. Isteri tidak mengetahui kegiatan suami kerana suami mempunyai pekerjaan tetap dan berpendapatan tinggi. Suatu hari mereka telah ditangkap dengan sejumlah dadah.

Suaminya mungkin dihukum gantung sampai mati dan dia pula dipenjara dua atau tiga tahun. Dia menangis kerinduan kepada anak tunggalnya. Dia menyesal tetapi sudah terlambat.

Ini adalah dua contoh wanita yang terjebak dengan jenayah kerana suami atau lelaki. Satu lagi jenayah yang senang wanita terjebak ialah wanita yang didera sehingga hilang pertimbangan. Ada wanita yang didera teruk sehingga ‘gila’. Kegilaannya menyebabkan dia ‘berani’ mengambil tindakan.

Saya bertemu seorang wanita yang membunuh dua orang anaknya kerana dia didera suaminya. Ketika kami berbual, wanita itu menangis. Apabila ditanya kenapa membunuh anak-anaknya? Jawapannya, demi keselamatan dan supaya mereka tidak melalui kesakitan dan keperitan seperti yang dilaluinya. Pada mulanya saya tidak rasa dia gila tetapi setelah berbual lama, saya pasti dia gila kesan terlalu lama didera.

Saya masih ingat suatu masa dahulu di Utah, Amerika Syarikat, seorang wanita membunuh empat anaknya kerana suaminya menderanya. Ramai wanita apabila didera boleh melakukan pelbagai jenis jenayah kerana ingin lari daripada penyeksaan.

Hakikatnya, ada banyak kes wanita yang terpaksa menjalani hukuman penjara kerana dia melakukan jenayah untuk ‘membebaskan’ dirinya daripada penderitaan.

Kerana kekasih

Satu lagi kategori jenayah yang sering melibatkan wanita, terutamanya anak gadis ialah menjadi keldai dadah. Kita sering membaca cerita wanita Malaysia ditangkap di luar negara kerana didapati membawa dadah. Sebenarnya isu ini melibatkan gadis Malaysia di luar negara dan dalam negara.

Saya menemui dua orang gadis institusi pengajian tinggi (IPT) yang sedang meringkuk di penjara kerana ditangkap dalam satu serbuan polis. Dalam kes pertama Timah (bukan nama sebenar) berkenalan dengan Mr. J melalui Internet. Mr. J berasal dari sebuah negara di Afrika dan mereka jatuh cinta. Selepas bercinta atas talian selama satu setahun lebih, Mr. J datang ke Malaysia untuk melanjutkan pengajian. Pada masa itu Timah telah tamat pengajian dan bekerja.

Apabila Mr. J telah berada di Malaysia mereka keluar makan dan sering singgah di rumah tumpangan Mr. J. Selepas sebulan Mr. J balik ke negara asalnya. Kedatangan Mr. J kali kedua ini merapatkan lagi hubungan mereka. Timah sering menemankan Mr. J menghantar barang kepada rakan-rakannya. Suatu hari, memandangkan waktu itu tidak ada tempat meletakkan kereta, Mr. J telah meminta Timah untuk menghantarkan barang di bilik rakannya. Dia akur. Seminggu selepas itu, Timah telah ditangkap kerana mengedar dadah. Gambar dirakam kamera litar tertutup, semasa Timah menyerahkan barang itu.

Dalam satu lagi kes, Tijah (bukan mana sebenar) berkenalan dengan M semasa belajar di sebuah kolej swasta. Lepas kedua-dua mereka tamat belajar, Tijah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Tijah menumpang di rumah ibu saudaranya dan dia sering keluar makan dengan M dan selalu juga singgah di rumah sewa M.

M pula tinggal dengan beberapa rakan senegaranya. Suatu hari ketika keluar dengan M, Tijah memaklumkan yang dia hendak pulang ke kampung kerana masih belum mendapat pekerjaan. Dalam perjalanan pulang mereka singgah di rumah M, tidak sampai 15 minit, polis serbu. Turut ditemui dadah berkilo-kilo.

Puas Tijah menerangkan yang dia tidak tahu mengenai dadah yang ditemui polis itu. Namun Tijah tetap akan didakwa dan dia perlu mempertahankan diri. Untuk berbuat demikian Tijah perlu mempunyai wang untuk mengupah peguam. Di sinilah bermulanya nasib malang Tijah. Sama seperti Timah, mereka tertipu oleh seorang lelaki bernama kekasih.

Dalam semua kes di atas, wanita-wanita ini adalah manusia malang yang menerima hukuman bagi kesalahan jenayah yang mereka tidak lakukan atau secara tidak sengaja melakukan. Dalam semua kes ini, orang yang bertanggungjawab menyebabkan wanita-wanita ini melakukan jenayah ialah lelaki

Isu pameran jin, hantu dan alam misteri

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 – 12 April 2007 telah membincangkan Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa pameran jin, hantu dan keranda serta alam misteri adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh mendatangkan mudharat pada akidah umat Islam. Manusia tidak dapat mencapai hakikat sebenar alam misteri, jin, hantu dan umat Islam tidak perlu dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini.

Keterangan, hujah

i. Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri memberikan gambaran nyata bahawa makhluk halus boleh ditangkap dalam bentuk asal mereka. Perkara ini amat diragui dan boleh dikategorikan sebagai muslihat sekiranya bukti hanya berasaskan andaian atau khayalan semata-mata. Malah kajian saintifik oleh Pensyarah Forensik Universiti Sains Malaysia, Kampus Kubang Kerian, Kelantan Dr Zafarina Nordin melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan mendapati ianya tidak benar dan meragukan.

ii. Mengenai bahan-bahan pameran yang ditonjolkan seperti toyol, jenglot dan seumpamanya ia merupakan pemujaan ke atas janin manusia oleh orang-orang tertentu untuk melaksanakan kerja-kerja kejahatan seperti mencuri dan sebagainya. Perkara ini membayangkan sikap dan kejahatan manusia yang memuja makhluk berkenaan untuk kepentingan dirinya semata-mata, tanpa melihat kesan kepada orang lain.

iii. Perbahasan mengenai hal-hal ghaib seperti jin dan syaitan sewajarnya merujuk kepada sumber ilmu yang sahih. Perbincangan mengenainya perlu diadakan secara tertutup kerana ditakuti ianya akan didongengkan bagi tujuan untuk mendapat hasil kekayaan secara mudah seperti melalui pameran-pameran dan seumpamanya. Perkara-perkara ini boleh membawa kepada khurafat dan tahyul, sekaligus membawa kerosakan kepada akidah serta pegangan umat Islam.

iv. Persoalan jin dan syaitan adalah perkara ghaib yang hanya dapat diketahui dengan perantaraan wahyu Allah s.w.t. iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu umat Islam seharusnya mengasaskan sebarang kepercayaan atau perbincangan mengenai jin dan syaitan berdasarkan kepada dua rujukan tersebut.

v. Ayat al-Quran menjelaskan bahawa kelebihan mengawal angin, mengawal, menangkap atau membelenggu jin yang derhaka hanyalah mukjizat istimewa yang khusus hanya untuk Nabi Sulaiman a.s. Mukjizat ini tidak dimiliki orang lain walaupun Nabi Muhammad SAW.

vi. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW tidak mampu untuk mengurung jin yang mengganggunya kerana kelebihan itu jelas hanya menjadi mukjizat istimewa Nabi Sulaiman a.s. Siapalah kita sebagai manusia biasa jika hendak dibandingkan dengan kedua-dua Rasul Allah itu.

vii. Isu pameran jin, hantu, keranda dan alam misteri yang dikemukakan merupakan isu yang jelas penyelewengannya dalam akidah Islam. Perkara seumpama ini perlu disekat dengan segera supaya umat Islam tidak terus terjebak dalam penyelewengan ini.

viii. Masyarakat Melayu memang mudah terpengaruh dengan cerita-cerita khurafat dan tahyul seumpama ini dan kita tidak mahu masyarakat kita khususnya generasi muda dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul ini.

ix. Hakikat jin, hantu, keranda, dan alam misteri merupakan perkara yang di luar kemampuan akal kita untuk mencapainya apatah lagi untuk mengajarkannya kepada orang lain.

x. Pameran jin, hantu, keranda, dan alam misteri boleh membawa mudharat kepada akidah umat Islam dan ia perlu dicegah dengan segera.

Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Orang kafir terima zakat?

SAYA dimaklumkan bahawa zakat hanyalah untuk orang Islam semata-mata. Walau bagaimanapun, baru-baru ini saya terdengar bahawa orang kafir atau bukan Islam juga boleh disantuni dengan wang zakat. Apakah benar perkara ini dan bagaimanakah aplikasinya dalam keadaan hari ini?

Jawapan:

Alhamdulillah di atas pertanyaan ini. Memang tidak dinafikan bahawa banyak umat Islam ada melontarkan persoalan yang sama. Apatah lagi mutakhir ini, kita juga sering terdengar betapa orang-orang bukan Islam juga ada yang teringin menikmati wang zakat. Maka, timbullah pelbagai jawapan dalam kalangan masyarakat yang belum tentu betul atau salah jawapannya.

Oleh itu, saya berharap moga-moga jawapan yang disajikan ini mampu memberikan panduan kepada seluruh umat Islam dalam membahaskan perihal agihan zakat kepada orang bukan Islam. Semoga dengan itu juga, akan terhindarlah Islam daripada imej dan tempelan yang negatif, dek kerana kejahilan umatnya sendiri dalam memahami hukum-hakam Islam.

Baiklah, secara umumnya memang wang atau harta zakat itu, pengagihannya adalah untuk orang Islam sahaja. Hal ini disandarkan kepada sebuah dalil seperti mana yang telah dipesankan oleh Rasulullah SAW kepada Muadz bin Jabal r.a, agar mengambil zakat daripada orang-orang kaya di Yaman dan menyerahkan kembali kepada orang-orang di sana yang memerlukan. Harus difahami bahawa penduduk Yaman yang asalnya ahli kitab telah pun memeluk Islam (rujuk Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid, Jilid 1, hal. 585).

Walau bagaimanapun, hal ini masih mendapat perbahasan yang panjang daripada kalangan fuqaha Islam. Ini kerana, ketetapan larangan kepada orang-orang kafir untuk mendapat zakat dilihat masih tidak ijmak atau dibuat secara konsensus yang bulat sifatnya.

Ertinya, masih ada dalam kalangan fuqaha yang berpandangan, orang-orang bukan Islam masih boleh menerima pemberian zakat dengan syarat-syarat yang tertentu.

Ditambah lagi jika dilihat kepada amalan yang pernah dibuat oleh Rasulullah SAW sendiri, Nabi memang ada memberikan zakat kepada golongan bukan muslim, demi melembut dan melunakkan hati mereka kepada Islam.

Maka, sudah pastilah ia menjadi asas bahawa larangan memberikan zakat kepada bukan muslim bukanlah bersifat ijmak atau konsensus yang tidak boleh ditakwil lagi.

Dalam hal ini, Safwan bin Umayyah yang masih belum Islam pernah disantuni oleh Rasulullah SAW sehinggalah akhirnya terbuka hatinya untuk memeluk Islam. Beliau berkata: Demi Allah, Rasulullah SAW telah memberi kepadaku, padahal baginda adalah orang yang paling aku benci; akan tetapi beliau tidak pernah berhenti memberi kepadaku, sehingga baginda menjadi orang yang paling aku sayangi. (riwayat Imam Tarmidzi dan Imam Muslim).

Sebab itulah, al-allamah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Hukum Zakat ada menyatakan, secara umumnya golongan yang diharamkan menerima zakat itu ialah:

Orang kaya

Orang yang kuat yang mampu bekerja

Orang yang tidak mempunyai agama (atheis atau komunis) dan orang kafir yang memerangi Islam, berdasarkan ijmak ulama, dan kafir zimmi (yang tunduk kepada Islam) menurut jumhur (majoriti) ulama

Anak-anak orang yang mengeluarkan zakat, kedua orang tua dan isterinya.

Keluarga Nabi Muhammad SAW (meski pun sudah ada khilaf pendapat dalam hal ini)

(rujuk Hukum Zakat, hal. 673).

Ertinya, apabila disebutkan orang kafir, maka yang ditegah untuk menerima zakat, ialah orang kafir yang jelas menen tang dan memusuhi Islam. Mereka ini, andai diberikan zakat, hakikatnya seperti memberikan senjata untuk membunuh umat Islam

kembali. Maka atas dasar itulah, ulama menegah daripada memberikan zakat kepada mereka.

Malah Dr. Yusuf al-Qaradhawi turut menyatakan bahawa bukan sekadar orang yang memang sedari awalnya kafir sahaja ditegah menerima zakat, malahan mereka yang murtad juga ditegah menerima zakat, kerana hakikatnya orang yang mur tad itu telah berkhianat kepada agama Islam (Ibid, hal. 680).

WALAU bagaimanapun, Islam memandang orang-orang kafir yang zimmi, maka sebenarnya mereka sudah pun mempunyai potensi untuk menerima Islam. Apatah lagi jika ditakdirkan mereka juga memerlukan, misalnya tergolong dalam kelompok kafir zimmi yang fakir dan miskin, maka pastilah pemberian zakat kepada mereka boleh melembutkan hati dan menarik mereka untuk lebih mendekati Islam.

Malah sebahagian fuqaha, misalnya Imam az-Zuhri, Abu Hanifah, Muhammad dan Ibn Syabramah turut menyatakan bahawa golongan kafir yang zimmi dan berada dalam kefakiran, maka mereka boleh disantuni dengan zakat fitrah (rujuk Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid, hal. 584).

Begitu jugalah dalam bab membantu orang yang berhutang, Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri ada memetik pandangan sebahagian fuqaha bahawa orang-orang kafir yang baik (ahli zimmi) yang telah merelakan harta kekayaan mereka diambil sebagai hutang untuk digunakan bagi membantu keperluan ummah, maka andai mereka memerlukan, maka wang zakat boleh digunakan untuk membayar hutang itu kepada mereka (Hukum Zakat, hal. 604).

Kesimpulannya, wang zakat bukanlah bersifat haram secara ijmak untuk disalurkan kepada kalangan non muslim, apatah lagi jika ia memang bertujuan dakwah untuk menarik mereka dan menjelaskan perihal keindahan Islam kepada mereka. Atas dasar itulah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 – 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Memberi Zakat Kepada Orang Bukan Islam Bagi Tujuan Dakwah, telah memutuskan bahawa pengagihan zakat perlu diberi keutamaan kepada umat Islam mengikut asnaf-asnaf yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, pemerintah diharuskan memberi zakat kepada orang bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah. Wallahua’lam.

ABD. ar-Rahman Al-Sufi Saintis Muslim tersohor

ABD. ar-Rahman Al-Sufi, salah seorang ahli sains Islam tersohor, merupakan seorang ahli astronomi Parsi (Iran) yang juga dikenali sebagai Abd al-Rahman Abu al-Hussain. Di Barat beliau dikenali sebagai Azophi.

Lahir pada 7 Disember 903 dan meninggal dunia pada 25 Mei 986, AL-Sufi tinggal di kawasan Emir adud ad-Daula di Isfahan.

Beliau melakukan tugas menterjemah dan mengembangkan kerja-kerja ahli astronomi Greek, terutama Ptolemy.

Sebagai seorang ahli astronomi terkenal pada zaman pertengahan, Al-Sufi melakukan beberapa sumbangan dengan membetulkan senarai bintang Ptolemy dan melakukan anggaran magnitud dan kejelasan yang menyimpang daripada kerja Ptolemy.

Beliau mengenal pasti Awan Besar Magellanic yang kelihatan di Yaman dan bukan di Isfahan yang tidak dapat dilihat atau ditemui oleh bangsa Eropah sehingga pengembaraan Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Penterjemah

Al-Sufi merupakan penterjemah utama ke Bahasa Arab mengenai Astronomi Hellenistic yang berpusat di Iskandariah.

Beliau memerhatikan dan dapat mengira panjangnya tahun tropika dan menerangkan mengenai bintang, posisi, magnitud dan warna dan menghasilkan keputusan mengenai buruj demi buruj. Bagi setiap buruj, beliau menghasilkan dua lukisan, satu daripada luaran cakerawala dan satu lagi dari sebelah dalam yang dilihat dari Bumi.

Al-Sufi juga menulis mengenai astrolab dan mencari beberapa kegunaan mengenainya. Beliau menerbitkan buku yang terkenal Book of Fixed Stars pada 964 Masihi yang memaparkan kerjayanya dalam bentuk teks dan gambar.

Dalam keterangan dan gambar mengenai Andromeda, beliau memasukkan A Little Cloud yang sebenarnya adalah Andromeda Galaxy M31. Beliau menggambarkannya berada dalam mulut ikan yang besar, yang merupakan buruh Arab dan ‘awan’ berkenaan telah dikenali oleh ahli astronomi di Isfahan sebelum 905 Masihi.

Dalam bukunya, beliau juga menerangkan mengenai gugusan Omicron Velorun IC 2391 sebagai bintang nebulous di Vulpecula, satu gugusan atau asteris yang kini dikenali sebagai Al-Sufi atau Gugusan Brocchi atau Collinder 399.

Beliau juga menggambarkan Awan Magellan sebagai Al-Bakr, lembu jantan putih di selatan Arab yang mana ia tidak kelihatan dari utara Arab kerana latitudnya. Al-Sufi menyediakan carta langit daripada pemerhatiannya dan mengubah mengubah magnitudnya dengan cermat.

Bukunya, Kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar merupakan hasil karya yang unggul dalam astronomi stellar. Bukunya boleh didapati dalam Bahasa Arab dan diterjemah ke Bahasa Peranchis oleh Schjellerup dan dikatakan penting sehingga kini bagi kajian pergerakan dan kepelbagaian. Kerja-kerja Al-Sufi tidak diketahui di Eropah.

Pada masa penciptaan teleskop, Andromeda Nebula telah ditemui oleh Simon Marius pada 1612 menggunakan teleskop. Al-Sufi juga menjelaskan mengenai warna Sims (satu bintang) tidak berubah yang kemudian disahkan melalui pemerhatian.

Seneca melaporkan melihat Sirms berwarna merah di Rom, Ptolemy pula melihat warna kemerahan di Iskandariah dan Schmidt pada 1841 nampak warna putih selepas warna kuning beberapa hari sebelumnya. Warna yang berlainan dianggap hasil daripada perubahan cuaca dari satu tempat ke tempat lain.

Kawah Azophi

Oleh sebab sumbangannya yang besar dalam bidang astronomi, sebuah kawah di bulan dinamakan Kawah Azophi yang mempunyai diameter 47 kilometer dalam sembilan bahagian peta bulan dan terletak 22.1 selatan 12.7 timur. Bear dan Madler dalam tugasannya terkenal Der Mond pada 1837 menyebut kawasan permukaan bulan sempena nama al-Sufi (Azophi)

Usah abaikan solat sunat rawatib

Bersama Zahazan Mohamed

Usah abaikan solat sunat rawatib Solat sunat bantu melengkapi solat fardhu.
Kepada ustaz yang dihormati. Pertanyaan saya berkenaan kedudukan solat sunat sebelum solat fardu Maghrib. Adakah boleh kita melakukan solat sunat sebelum solat fardu Maghrib kerana ada sesetengah surau atau masjid yang terus iqamat untuk solat fardu Maghrib sesudah dikumandangkan azan. Itu yang membuatkan saya keliru.

Rusdi
Kuala Lumpur

Untuk Maghrib tidak ada solat sunat qabliyah rawatib (sebelum solat fardu) yang muakkad. Solat sunat rawatib yang muakkad berdasarkan riwayat Ibnu Umar dan lain-lainnya daripada Nabi Muhammad SAW ada 10 rakaat iaitu dua rakaat sebelum Subuh, dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat sesudah Maghrib dan dua rakaat sesudah solat Isyak. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Itulah 10 rakaat solat sunat rawatib yang selalu dilakukan dengan tetap oleh Rasulullah SAW yang disebut sebagai sunat muakkad, di samping solat witir.

Namun, ada juga dalam beberapa hadis disebutkan bahawa sunat muakkad sebelum zuhur boleh dua rakaat dan boleh empat rakaat.

Solat sunat rawatib ini sepatutnya dipelihara dengan baik oleh setiap Muslim dan janganlah sampai diabaikan. Ini kerana solat sunat itu dipandang sebagai penyempurnaan solat fardu serta menggantikan kekurangan dan ketidaksempurnaan solat fardunya ketika dihisab pada hari pembalasan kelak.
Selain itu terdapat hadis Abdullah bin Mughaffal bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Antara tiap-tiap dua azan ada solat.” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan Ashabus Sunan)

Tiada larangan

Yang dimaksudkan dengan dua azan, di sini, ialah azan dan iqamat. Dengan demikian, solat dua rakaat sesudah azan dan sebelum iqamat itu disyariatkan dan mustahab (disukai). Maka, jika ada orang yang melakukannya sebelum solat maghrib iaitu sesudah dikumandangkan azan Maghrib tidak dilarang seperti halnya orang yang masuk masjid melakukan solat dua rakaat sebagai penghormatan terhadapnya.

Tetapi apabila imam terus melakukan solat Maghrib selepas selesai azan sehingga tidak ada masa bagi seseorang untuk melakukan solat tahiyyatul masjid dua rakaat kerana ia mesti terus ikut melakukan solat Maghrib, maka solat fardu yang ia tunaikan dalam keadaan seperti ini dilihat mencukupi untuk solat tahiyatul masjid.

Ini kerana solat tahiyatul masjid tidaklah dituntut ke atas seseorang Muslim kecuali ia mempunyai kesempatan mengerjakannya pada ketika masuk masjid.

Dua rakaat yang dikerjakan seseorang ketika memasuki masjid disebut solat tahiyatul masjid, sedangkan bagi orang yang sudah duduk di dalam masjid lalu ia melakukan solat dua rakaat, maka solat itu adalah solat nafilah (solat sunat) yang disukai.

Adapun bagi imam, hendaklah ia tidak melakukan solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib secara terus menerus. Hendaklah melakukannya selama beberapa hari dan meninggalkannya selama beberapa hari kerana solat ini tidak disyariatkan untuk dilakukan secara tetap. Perkara ini hendaklah dijaga supaya orang lain tidak menyangka bahawa ia sebagai solat sunat muakkad, lebih-lebih lagi imam, yang ahli ilmu yang menjadi ikutan orang lain.

Boleh tinggal solat sunat

Muhaqqiq dari kalangan ulama menegaskan supaya imam meninggalkan solat mustahab seperti ini pada waktu tertentu kerana dibimbangi orang lain menganggapnya wajib. Bahkan, mereka dibolehkan meninggalkan solat sunat muakkad sekali sekala dengan maksud seperti tadi. Seperti mana halnya Imam Malik menyukai imam yang sekali sekala tidak membaca surah as-Sajdah ketika solat Subuh pada Jumaat, meskipun membaca surah itu disunatkan.

Kalau kita lihat di beberapa tempat, sebahagian orang menganggap sujud tilawah pada solat Subuh hari Jumaat sebagai sesuatu yang wajib. Mereka berkata: “Sesungguhnya solat Subuh pada Jumaat terdapat satu rakaat dengan tiga kali sujud.” Mereka beranggapan bahawa sujud tilawah ini wajib ditunaikan dalam solat Subuh pada Jumaat.

Mereka mengingkari imam yang tidak sependapat demikian dan menganggap solat itu tidak sah jika tidak disertai sujud tilawah. Oleh kerana itulah Imam Malik dan lainnya menyukai imam yang menjadi rujukan sekali-sekala meninggalkan hal yang mustahab (digalakkan) supaya orang lain memahami hukum yang sebenarnya. Demikianlah, wallahua’lam.