Kedudukan asnaf mualaf


APAKAH yang kedudukan asnaf mualaf dan apakah dimaksudkan dengan mualaf itu asnaf yang muqaddam? Bagaimana dengan amalan di Selangor sendiri? Harap penjelasan ustaz.

Jawapan:

Terima kasih atas pertanyaan yang dihulurkan dan moga-moga Allah SWT membantu saya memberikan jawapan yang terbaik di sisi-Nya. Pertamanya, siapakah yang layak digelar mualaf?

Mengikut definisi mutakhir seperti yang diamalkan di Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan majoriti pusat zakat, mualaf itu secara umumnya merujuk kepada orang yang baharu memeluk Islam. Fatwa Agihan Zakat Selangor 1994 memperuntukkan, mualaf itu ialah:

(a) seseorang yang masuk Islam dan imannya daif, maka adalah diharapkan pemberian agihan ini boleh menguatkan imannya; atau

(b) seseorang yang masuk Islam dan imannya sudah kuat dan ia dipandang mulia oleh kaumnya, maka adalah diharapkan pemberian agihan ini kepadanya dapat menarik orang lain masuk Islam atau agihan ini dapat mempertahankan kejahatan (mengekang kejahatan) orang kafir di sekelilingnya.

Namun begitu, jika dilihat kepada amalan pada zaman Rasulullah SAW, definisi mualaf adalah lebih meluas. Ia meliputi mereka yang belum memeluk Islam tetapi sudah terbuka hatinya dan berkecenderungan memeluk Islam.

Ia juga meliputi mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kalangan kaumnya dan mereka diberikan zakat, agar dapat melunakkan hatinya untuk memeluk Islam.

Hal ini sudah pasti memberikan natijah yang besar kepada pengembangan agama Islam.

Keduanya, seseorang itu dianggap masih mualaf sekiranya di masih baharu memeluk Islam. Maka, di Selangor jika usia keislamannya masih di bawah lima tahun, mereka masih dianggap mualaf dan dalam tempoh itu, seseorang mualaf itu berhak dibantu untuk berdikari dengan dana zakat.

Ketiganya, berapa peratuskah daripada keseluruhan zakat diperuntukkan untuk Asnaf Mualaf setiap tahun daripada kutipan zakat keseluruhan? Adakah peratusan ini statik atau fleksibel mengikut keperluan semasa?

Maka, asnaf mualaf dikategorikan sebagai asnaf yang utama atau dalam istilah fikah, asnaf muqaddam. Allah SWT menyebutkan empat asnaf terlebih dahulu di dalam ayat 60, surah at-Taubah, iaitu: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk orang-orang fakir, miskin, amil yang menguruskannya dan mualaf yang dilunakkan hatinya…

Oleh itu, sewajarnya asnaf mualaf ini hendaklah didahulukan dalam menerima manfaat agihan zakat dengan jumlah 1/8 daripada agihan keseluruhan zakat.

Ikut keperluan

Dalam erti kata lain, harta zakat akan diagihkan kepada setiap asnaf mengikut keperluan asnaf dan keutamaannya hendaklah diberikan kepada empat asnaf terawal, termasuklah mualaf.

Maka, peruntukannya adalah berdasarkan keperluan asnaf mualaf itu sendiri. Ia tidaklah rigid atau statik. Malah pihak LZS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa berusaha menambah baik mekanisme penyampaian agihan zakat kepada mualaf, agar ia lebih sesuai dengan keperluan zaman pada hari ini.

Hal ini penting, kerana golongan mualaf adalah mereka yang masih baharu memeluk Islam dan selalunya, mereka akan berhadapan dengan pelbagai ujian yang mungkin menggugat kekuatan iman mereka.

Atas dasar itulah, zakat wajib didahulukan kepada mereka agar keIslaman dan keimanan mereka lebih terjamin.

Keempatnya, dalam bentuk apakah agihan zakat bagi asnaf mualaf ini diberikan?

Maka, apa yang harus difahami, bukan semua mualaf memerlukan dan mengharapkan bantuan zakat. Ada yang sudah kaya-raya dan berjawatan besar, maka mereka memeluk Islam tanpa mengharapkan apa-apa sokongan susulan dalam bentuk material.

Namun, bagi asnaf yang kurang berkemampuan, maka LZS menyediakan pakej bantuan yang lengkap dan menyeluruh bagi mereka. Ia meliputi aspek pembangunan spiritual, sosial, pendidikan dan ekonomi. Jika seseorang mualaf itu kaya sekali pun, maka mereka masih berhak disantuni dengan diberikan kemudahan mendapatkan ilmu demi memantapkan akidah dan kefahaman.

Apatah lagi jika seorang mualaf itu berada dalam kemiskinan dan kemelaratan, maka zakat lebih berhak dimanfaatkan demi memenuhi keperluan dirinya. Maka, asnaf mualaf di Selangor diberikan peluang yang sama dengan umat Islam lain yang sudah lama atau memang asalnya beragama Islam untuk mendapat pelbagai jenis bantuan tersebut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: