Sanad al-Quran satu anugerah


Oleh DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

SANAD bacaan al-Quran pada hari ini menjadi perbualan menarik di kalangan pencinta al-Quran. Pelbagai sanad yang dapat dikesan, ada sanad yang berbentuk buku kerana ramainya guru yang disenaraikan sampai ke Rasulullah SAW. Malah terdapat juga sanad yang hanya sehelai kertas seperti sekeping ijazah.

Cara mendapat sanad al-Quran berlainan dengan sanad hadis. Sanad hadis boleh diijazahkan oleh seorang guru dengan membaca beberapa hadis dan mengijazahkan seluruh hadis yang terdapat dalam kitab tersebut. Tetapi sanad Quran, pelajar akan membaca seluruh al-Quran di hadapan guru daripada al-Fatihah hingga ke surah al-Nas.

Dalam sesi talaqqi tersebut, guru akan memastikan seluruh bacaan pelajar adalah tepat daripada sudut makhraj huruf dan sifatnya, hukum-hakam tajwid termasuklah waqaf dan ibtida.

Pernah berlaku pelajar yang telah khatam tetapi guru tidak memberikannya sanad kerana masih terdapat kesalahan dalam bacaan atau bacaannya perlu kepada penambahbaikan.

Di permulaan sanad biasanya ditulis bahawa telah baca di hadapanku pulan bin pulan daripada awal al-Quran hingga akhirnya dan bacaannya menepati hukum-hakam tajwid sebagaimana yang aku terima daripada guruku, maka aku (guru) ijazahkan kepadanya riwayat Hafs daripada gurunya Asim sebagaimana aku talaqqi daripada guruku… disebut satu persatu nama guru sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.

Menerima sanad Quran adalah satu anugerah. Bukan semua yang membaca al-Quran daripada guru berjaya mendapat sanad Quran. Namun begitu terdapat juga guru yang mempermudahkan proses memberi sanad. Dengan sekali khatam sahaja sudah boleh menerima sanad.

Secara umumnya, guru yang memberi sanad akan memastikan pelajar sudah khatam al-Quran dan membacanya dengan lidah yang fasih. Menguasai segala hukum tajwid dan memahami kaedah waqaf dan ibtida. Dan sebahagian guru menambah syarat untuk mendapatkan sanad ialah membaca al-Quran dengan secara hafazan bukan melihat kepada mushaf.

Ilmu bacaan al-Quran sememangnya luas dan kitab yang membicarakan permasalahannya begitu banyak, namun hanya sedikit sahaja isu yang dibincangkan di tempat kita. Di Mesir sebagai contoh, jawatan Syeikh Qurra diwujudkan sejak berzaman dahulu. Jawatan tersebut dipegang seorang yang alim dalam bidang al-Quran, alim dalam ilmu Qiraat, banyak sumbangan dalam pengajaran dan penulisan dalam ilmu berkaitan.

Satu jawatan yang amat dihormati dan pemegangnya menjadi rujukan dalam isu berkaitan al-Quran. Jawatan yang sama terdapat di Syria, Lubnan dan Masjid Nabi di Madinah juga terdapat Syeikh Qurra.

Berbalik kepada sanad, sanad al-Quran yang sampai kepada zaman kita hari ini boleh dikatakan kebanyakannya melalui seorang syeikh yang terkenal di Mesir iaitu Syeikh Mutawwali yang meninggal pada tahun 1313 hijrah. Beliau merupakan guru Quran yang tersohor pada zamannya dan muridnya yang terakhir ialah Syeikh Abdul Fattah Hunaidi.

Selain itu, Syeikh Muhamamd Maki Nasr juga merupakan seorang murid Syeikh Mutawali. Beliau telah menghasilkan satu karya yang tersohor dalam ilmu tajwid bertajuk, Nihayah al-Qaul al-Mufid.

Kitab ini mendapat sambutan di kalangan ulama. Seorang ulama Melayu yang tinggal di Mekah al-Mukarramah iaitu Syeikh Abdullah Senggora (meninggal di Mekah pada 1930) telah menterjemah kitab tersebut ke dalam bahasa Melayu dengan tajuknya, Mawrid al-Zam’an.

Pengajian ilmu tajwid di Malaysia merujuk kepada beberapa kitab antaranya ialah kitab Mawrid al-Zam’an. Justeru, limpahan ilmu daripada Syeikh Mutawali melalui muridnya, Syeikh Muhammad Makki Nasr sampai ke Alam Melayu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: