Makna asnaf fi-sabilillah


Ustaz Ahmad Adnan Fadzil,

Soalan:
Apa makna Fi Sabilillah dalam Asnaf Zakat? Bolehkah menyalurkan zakat kepada badan atau pertubuhan Islam?

Jawapan:

Orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah. Tidak boleh sewenang-wenangnya kita membayar zakat kita kecuali kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Menurut jumhur ulama; jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya yakni ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi. (al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514). Kerana itu, amat penting kita memerhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita? Dalam hal ini Allah berfirman;

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(at-Taubah: 60)

Dalam ayat di atas Allah menyatakan lapan pihak untuk disalurkan harta zakat iaitu;
1.Untuk golongan fakir
2.Untuk golongan miskin
3.Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4.Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5.Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6.Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7.Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8.Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

Apa makna Fi Sabilillah?

Antara aspek yang harus diberi perhatian untuk disalurkan zakat kita ialah Fi Sabilillah. Namun yang menjadi persoalan ialah apa makna Fi Sabilillah itu dan siapa yang tergolong di dalamnya. Dalam hal ini ada pendapat menyempitkan skopnya dan ada pendapat memperluaskannya.

Kebanyakan ulama terdahulu mengkhususkan Fi Sabilillah ini kepada ahli-ahli peperangan iaitu orang-orang yang terlibat dengan jihad qital. Uama mazhab Syafi’ie mengkhususkannya bagi ahli-ahli peperangan yang tidak dibayar gaji mereka oleh pemerintah. Jika mereka telah diberi gaji dari Baitul Mal, tidak layak lagi mereka menerima zakat. (Lihat al-Muhazzab, Imam asy-Syirazi, jil. 1, hlm. 571).

Namun ada juga ulama yang meluaskan makna Fi Sabilillah itu. Mereka tidak menjuruskannya kepada ahli-ahli peperangan sahaja, tetapi meluaskannya hingga merangkumi seluruh perkara yang bersangkutan kepentingan Islam dan umat Islam terutama untuk meninggikan hukum-hakam dan syiar Islam. Antara ulama yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Qaffal asy-Syafi’ie, Imam al-Kasani, Imam al-Alusi, as-Shon’ani, Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji dan sebagainya.

Berkata Imam al-Kasani dalam kitabnya yang terkenal “Badai’ as-sonai”; “Adapun firman Allah Fi Sabilillah  ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah Fi Sabilillah itu adalah umum. (Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).

Berkata Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji dalam kitabnya “Ar-Raudhatun Nadiyyah”; “Adapun Fi Sabilillah maka maksudnya di sini ialah jalan Allah. Jihad walaupun sebesar-besar jalan Allah tetapi tidak ada dalil yang mengkhususkan bahagian Fi Sabilillah kepadanya sahaja. Jadi bahagian Fi Sabilillah ini harus dibelanjakan kepada setiap perkara yang menjadi jalan Allah….Ia berkata lagi; Antara yang tergolong dalam Fi Sabilillah ialah membelanjakannya kepada alim-ulama yang melaksanakan urusan-urusan kepentingan agama kaum muslimin. Mereka memiliki bahagian dari harta Allah (yakni harta zakat) sama ada mereka kaya atau miskin. Bahkan membelanjakan zakat ke arah ini terdiri dari uruan-urusan yang paling penting kerana para ulama adalah waris para Nabi dan pemikul agama. Melalui mereka terpelihara keutuhan Islam dan Syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW”. (Ar-Raudhatun Nadiyyah, juz. 1, hlm. 206)

Pendapat kedua (yang memperluaskan skop Fi Sabilillah) inilah yang dipersetujui oleh kebanyakan tokoh-tokoh ulama Islam zaman mutakhir ini. Antara mereka ialah Syeikh Jamaluddin al-Qasimi (pengarang kitab tafsir terkenal “Mahasin at-Takwil”), Syeikh Rasyid Ridha, Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Mufti Mesir), Syeikh Hasanin Makhluf (juga bekas Mufti Mesir), Dr Abdul Karim Zaidan dan Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Berkata Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692)

Menurut Syeikh Mahmud Syaltut; “…Tergolong dalam Fi Sabilillah ialah menyediakan pendakwah-pendakwah Islam untuk berperanan menzahirkan keindahan agama Islam dan sikap toleransinya, menyebarkan ajarannya, menyampaikan hukum-hakamnya dan memerhati serangan-serangan musuh terhadap prinsip-prinsip Islam dan berusaha menangkisnya. Begitu juga termasuklah tugas memastikan berterusannya para Hafiz yang menjaga al-Quran (dari hilang) yang menaqalkannya secara mutawatir sejak dari mula turunnya wahyu hingga ke hari ini, bahkan hingga ke hari kiamat.” (al-Islam; ‘Aqidatan wa Syari’atan, Syeikh Mahmud Syaltut, hlm. 105).

Syeikh Hasanin Makhluf – bekas mufti Mesir- pernah ditanya adakah harus mengeluarkan zakat kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam. Maka ia memberi fatwa yang mengharuskannya dengan bersandarkan kepada pendapat yang dinaqalkan oleh Imam ar-Razi dari al-Qaffal dan ulama lainnya dalam memperkatakan pengertian Fi Sabilillah. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, Syeikh Hasanin Makhluf, jil. 2,hlm. …)

Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara pandangan beliau dalam Fiqh Zakatnya ialah; “Sesungguhnya antara perkara terpenting pada hari ini untuk dianggap sebagai Fi Sabilillah ia usaha secara serius untuk mengembalikan cara hidup Islam yang sebenarnya iaitu cara hidup yang melaksanakan hukum-hakam Islam keseluruhannya merangkumi persoalan aqidah, kefahaman, syiar dan Syariat, akhlak dan juga adat resam. Yang kita maksudkan dengan usaha secara serius itu ialah usaha secara berjamaah (‘amal jama’ie) yang tersusun dan berhadaf bagi merealisasikan sistem Islam, menegakkan negara Islam, mengembalikan khilafah Islam, umat Islam dan juga tamadun Islam. Aspek inilah yang sebenarnya paling berhak untuk disalurkan zakat-zakat harta mereka dan juga sekelian derma-derma mereka oleh orang-orang yang cintakan Islam. Namun demikian amat mendukacitakan kerana kebanyakan kaum muslimin belum memahami kepentingan usaha ini dan keperluan mendokongnya dengan jiwa dan harta-benda mereka serta kewajipan mengutamakannya dalam menyalurkan segala bantuan yang termampu oleh mereka. Padahal golongan-golongan yang lain (golongan fakir, miskin dan sebagainya) tidak pernah berhenti tangan yang menghulurkan bantuan kepada mereka sama ada dari harta zakat dan juga bukan zakat”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 712).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: