Makna Qada’ Qadar


Mohd Azmir bin Maideen,
Mengikut terminologi yang dirumuskan Prof. Dr Mohamad Rabi’ Jawhari, pensyarah Kuliah Usuluddin di Universiti Al-Azhar, bahawa Qada’ adalah pengetahuan Allah tentang perbuatan yang lampau, sedang dan yang akan berlaku telah ditetapkan-Nya sejak azali dan tertulis di dalam Lauh Mahfuzh. Adapun Qadar adalah terjadinya suatu perkara yang baik mahupun buruk sesuai dengan prinsip sifatnya, ukurannya, dan syarat-syaratnya mengikut aturan dan kehendak Allah Taala. (Aqidatuna, Juzuk 2)Beriman dengan Qada’ dan Qadar termasuk salah satu daripada kewajiban Rukun Iman, meyakini bahawa seluruh penciptaan alam semesta mengikut ilmu Allah dan kebijaksanaan-Nya, sesungguhnya Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu dan berkuasa melakukan perkara yang dikehendaki-Nya.

“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan).”
(Surah al-Qamar : ayat 49)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Sesungguhnya yang pertama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’. Allah berfirman kepadanya; ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata; ‘Ya Tuhan, apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman; ‘Tulislah akan qadar (ketetapan) dan segala apa yang terjadi sehingga menjelang Kiamat.”
(Riwayat Abi Daud)

Firman Allah yang bermaksud:

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
(Surah al-Hadid : ayat 22)

Para salaf as-soleh meyakini dengan sepenuh keimanan bahawa Allah Taala mencipta tiap-tiap sesuatu, mentadbir dan memilikinya. Allah telah menentukan perkara yang akan terjadi sebelum menjadikannya. Dia telah menentukan ajal, rezeki dan kerja yang mereka lakukan. Dia telah menulis kesudahan mereka sama ada menjadi bertuah atau ditimpa celaka. Semuanya telah ditulis dalam catatan yang jelas dan nyata.

Setiap perkara yang Allah kehendaki akan berlaku dan setiap perkara yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku. Allah mengetahui perkara yang telah lepas, sedang berlaku, akan datang, waktu dan cara ia berlaku. Allah berkuasa ke atas setiap sesuatu, memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan orang-orang yang dikehendaki.

Setiap hamba memiliki kehendak dan kuasa untuk melakukan semua perkara yang ditentukan oleh Allah ke atas mereka dengan keyakinan bahawa setiap hamba tidak mampu melakukan sesuatu kecuali dengan kehendak Allah. Kefahaman inilah yang dapat mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan bila ia sedar bahawa Allah sentiasa mengawasinya serta meminta pertanggungjawaban.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir.”
(Surah al-Kahfi : ayat 29)

Sesungguhnya Allah mencipta hamba-hamba-Nya serta perbuatan mereka dan mereka sendiri pula yang melakukan semua perbuatan yang mereka lakukan tanpa paksaan. Maka tidak ada hujjah bagi seorang hamba ke atas Allah sekiranya dia mahu meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan perkara yang haram (bahawa ini adalah ketentuan Allah), bahkan Allah mempunyai hujjah yang kuat ke atas hamba-hamba-Nya.

Seorang hamba Allah yang beriman dengan ajaran Rasul-Nya, wajiblah menolak taqdir buruk dengan taqdir baik. Di mana kufur itu dihilangkan dengan iman, kezaliman dengan keadilan, peperangan dengan perdamaian, maksiat dengan ketaatan, penyakit dengan ubat, kebodohan dengan pengetahuan, kekalahan dengan jihad, kemiskinan dengan bekerja dan begitulah seterusnya.

One response to this post.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: