Haji jihad bagi wanita


Oleh DR. ANISAH AB. GHAN

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Janganlah kamu mengira bahawa orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka bergembira dengan pemberian Allah, memberi khabar gembira kepada yang belum syahid supaya jangan takut dan jangan bersedih, memberi tahu khabar gembira tentang nikmat pemberian Allah dan Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran mereka yang beriman. (Ali Imran: 169-171)

Selain daripada pernyataan al-Quran ini, hadis riwayat Muslim menukilkan sabda Baginda: “Siapa yang mati tidak pernah berperang (jihad) dan tidak bercita-cita untuk berperang dia mati dalam satu cabang daripada cabang-cabang munafik.”

Pernyataan-pernyataan ini menjadi pemangkin kepada orang beriman untuk mati syahid, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini dibuktikan hadis marfu’ daripada Aisyah r.a bahawa beliau telah meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk turut serta dalam perang jihad, tetapi baginda tidak membenarkannya dan menyatakan bahawa jihad kaum wanita ialah haji.

Banyak signifikan yang boleh menggambarkan mengapa Rasulullah menjelaskan ibadat haji berstatus jihad bagi kaum wanita. Ia seolah-olah kiasan bahawa suasana ibadat haji sama dengan keadaan dalam perang jihad, kerana pergerakan dalam ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Kaum wanita telah disiapkan Allah SWT dengan emosi yang tinggi, sesuai dengan fitrah mereka. Boleh dikatakan semua pergerakan dalam melaksanakan ibadat haji banyak menekan emosi jemaah. Bermula dari detik perpisahan meninggalkan keluarga, lapan jam penerbangan, kemudian bersesakan di lapangan terbang Jeddah atau Madinah, di samping kepanasan sehingga mencecah 30 darjah celsius dan proses pemeriksaan imigresen.

Ditambah aspek keselesaandibilik penginapan, kerenah rakan sebilik. Begitu juga pergerakan ke Arafah, Muzdalifah, bergerak ke Mina, beberapa hari mabit dalam khemah, bersesak sewaktu melontar jamarat, sebelum balik ke Mekah dan melakukan tawaf. Semuanya perlu kawalan emosi yang mantap.

Pergerakan-pergerakan dalam melaksanakan ibadat haji memerlukan kekuatan tenaga, fizikal dan mental. Bermula daripada pergerakan hari ke-8 Zulhijjah dari Mekah ke Arafah hingga kembali semula ke Mekah.

Malah jarak antara Mekah dan Arafah lebih kurang 22 kilometer (km), Arafah ke Muzdalifah 8 km. Muzdalifah ke Mina 6.9 km dan Mina ke Mekah 7 km. Kesemuanya lebih kurang 44 km.

Dalam keadaan biasa mungkin hanya mengambil masa kurang 30 minit tetapi dalam kesesakan musim haji, kadangkala memakan berjam-jam. Apa lagi jika tersesat kerana majoriti pemandunya bukan rakyat Arab Saudi.

Oleh itu, jemaah dinasihatkan supaya tidak membawa banyak barang tetapi sekadar mencukupi untuk keperluan.

Suasana dalam khemah di Arafah dan di Mina juga satu cabaran. Keluasan khemah yang disediakan kadangkala tidak menepati apa yang ditempah Tabung Haji. Hal sama boleh berlaku pada penyediaan makanan. Keadaan ini kadangkala menimbulkan salah faham sesama jemaah.

Begitu juga dengan keadaan semasa mabit di Muzdalifah. Berada dalam lautan manusia, di tengah padang pasir yang pencahayaan tidaklah begitu memuaskan di waktu malam. Keadaan tandas yang sesak dan tidak begitu kondusif, ditambah keadaan badan kepenatan memerlukan seseorang itu tenang dan berlapang dada.

Cabaran melontar menuntut kerahan tenaga. Apa lagi untuk berulang-alik dari perkhemahan ke jamarat dengan berjalan kaki. Selain itu, terpaksa bersesak semasa melontar, terutama lontaran hari pertama setelah sampai di Mina. Kebanyakan jemaah mahu melakukannya kerana ingin segera keluar daripada ihram dengan melakukan Tahallul Awwal.

Sekalipun kesesakan agak berkurangan pada hari kedua dan ketiga, jarak antara perkhemahan dan jamarat, ditambah jarak antara tiga jamarat tetap memenatkan.

Sebaik bergerak balik ke Mekah sekali lagi jemaah menghadapi situasi yang jauh lebih mencabar iaitu melakukan tawaf rukun. Mataf (tempat tawaf) yang hanya berkeluasan 19,000 meter persegi (sekarang sedang diperluas sehingga 160,000 meter persegi) akan padat dengan jemaah yang melakukan tawaf.

Setiap orang hanya akan dapat keluasan yang hanya memuatkan saiz dirinya sendiri, dalam keadaan berhimpit-himpit, kadangkala terpaksa menahan rempuhan dari belakang, himpitan kiri dan kanan boleh membuatkan langkah tawaf seseorang terhenti.

Setelah tawaf, jemaah perlu memerah tenaga melakukan saie dengan jaraknya 420 meter, sebanyak tujuh kali. Ini bererti jemaah perlu berjalan sejauh 2.94 km. Lebih mencabar apabila kena mencecah kaki di bukit Safa dan Marwah kerana berlaku kesesakan.

Kesemua keadaan di atas inilah barangkali Rasulullah SAW mengklasifikasikan ibadat haji sebagai jihad kepada kaum wanita atas dasar mereka lebih banyak menanggung kepayahan berbanding kaum lelaki, kerana daya fizikal mereka yang berbeza.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: