Ain Jalut: Menang selepas bersatunya perbezaan


Mohammad Faizal Che Yusof, 03 Ogs 2013

MENYOROTI kembali apa yang berlaku dalam tahun 658H bersamaan 126M, pada pagi 25 Ramadhan bersamaan 3 September, ia cukup menyuntik semangat juang kepada setiap muslim yang cintakan liku-liku jihad. Pada tanggal tersebutlah Allah telah menghadiahkan kemenangan kepada sebuah perjuangan Islam di bumi Ain Jalut setelah sekian lama dilemahkan oleh bayangan kekuatan gerombolan Tatar di kala lunturnya semangat jihad umat Islam.

Kemenangan pejuang-pejuang Islam di Ain Jalut yang dipimpin oleh pemerintah Mesir, Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz dicapai dalam suasana segala persiapan terbaik dan termampu telah dilakukan, membuang segala sifat jahat dalam diri dan penyerahan sebulat-bulatnya kepada Allah Azzawajalla. Tatar pada waktu itu bukanlah berada pada keadaan yang lemah. Bahkan mereka baru saja mengalahkan pemerintahan Abasiah di Baghdad dalam tempoh 40 hari.

Sorotan perjalanan menuju 25 Ramadhan 658H itulah perlu diteliti dan dihayati oleh setiap umat Islam, moga-moga ia memberi inspirasi dan menyuntik semangat untuk kita menyiapkan yang terbaik demi cinta kita kepada Islam. Sirah bukan sekadar untuk dibaca sebagai kisah yang mengasyikkan. Lebih dari itu, setiap incian pengajarannya wajip diambil iktibar setidak-tidaknya apa yang baik dapat dicontohi dan segala yang lemah dapat diteladani.
Sultan Saifuddin Qutuz bukanlah dari golongan terhormat. Beliau datang dari kelompok hamba yang dijual daripada seorang tuan kepada tuan yang lain. Namun, cintanya kepada Islam dan tekadnya untuk mengembalikan kedaulatan Islam telah memungkinkan terbuka luas pintu pertolongan dari Allah S.W.T. Mesir pada waktu itu yang mana merupakan benting akhir umat Islam telah gagal dilanggar oleh gerombolan Tatar yang maha kejam dan ganas. Maruah Islam dan umat Islam Berjaya dipulihkan dalam tempoh sehari, 25 Ramadhan 658H.

Menyingkap sirah Ain Jalut, sebaik menaiki takhta pemerintahan kerajaan Mesir, Qutuz telah memanggil semua pembesar-pembesar Mesir. Dalam ucapan sulungnya, Qutuz menegaskan tekadnya untuk mengembalikan maruah Islam dan menentang Tatar habis-habisan. Itulah cita-cita utama beliau sebaik diberi amanah jawatan tersebut.

Beliau dengan tegas menyebut jika ada dari kalangan pembesar atau menterinya yang bersedia menerajui Mesir menggantikan beliau, beliau sedia melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada pembesar atau menteri terbabit. Tawaran Qutuz tersebut tidak bersambut meskipun sebelum Qutuz memegang tampuk pemerintahan, perebutan kuasa berlaku begitu berleluasa dan terbuka dalam kerajaan Mesir.
Nyata mandat tanpa berbelah bahagi yang diperolehi Qutuz suatu permulaan yang baik untuk baginda menyusun langkah seterusnya. Tindakan politik Qutuz seterusnya adalah memecat mana-mana menteri yang dikenalpasti gagal melaksanakan tugas dan lemah. Bagi Qutuz, beliau tidak mempunyai masa yang banyak. Setiap tindakan mesti tepat dan cepat.

Menyedari adanya golongan-golongan yang masih berbalah sesama sendiri, Qutuz telah mengambil langkah mendamaikan setiap kumpulan Mamaluk yang berkrisis sejak lama sebelumnya. Mana-mana kelompok yang dikatakan pernah menentang kerajaan sebelumnya, ada yang diberi keampunan bila mana Qutuz menyedari bahawa potensi dan kelebihan yang ada pada mereka amat bermanfaat dalam mengembalikan kedaulatan Islam dan kestabilan Mesir.

Dalam usaha menyatukan setiap kelompok yang bertelagah, Qutuz sendiri telah turun padang bagi memastikan perancangannya berjaya tanpa digagalkan oleh anasir-anasir jahad dari dalam.

Hanya dalam tempoh beberapa bulan, Qutuz telah berjaya mengembalikan politik dalaman Mesir yang selama ini bergolak. Bagi memastikan misi menentang Tatar Berjaya, Qutuz juga telah berjaya mendapatkan sokongan serantau sama ada dari kerajaan-kerajaan Islam dan bukan Islam. Antaranya termasuklah kerajaan Islam dari Sham dan juga tentera salip dari negeri Akka.

Qutuz juga sedar, bagi berhadapan dengan Tatar, ia memerlukan sokongan padu dari setiap rakyat dan kewangan yang banyak dan mencukupi. Justeru, Qutuz telah mengatur gerakan penerangan besar-besaran ke seluruh Mesir yang dipelopori oleh kumpulan ulama bagi menerangkan kepada rakyat keperluan jihad dan mengembalikan maruah Islam.

Dalam memperkukuhkan keudukan kewangan bagi membiayai peperangan, pada awalnya Qutuz selaku pemerintah utama telah membentangkan usul untuk meningkatkan kutipan cukai dari rakyat jelata. Namun, usul yang dbentang tersebut telah disanggah oleh ulama Mesir bernama Al-I’z Abdisalam yang digelar Sultanul Ulama.

Bagi I’z Abdissalam, kutipan cukai dari rakyat hanya boleh dilakukan setelah kerajaan terlebih dahulu mengambil harta dari kekayaan menteri dan pembesar Mesir. Qutuz dengan sikap terbukanya telah menerima dan melaksanakan fatwa dari I’z Abdissalam tersebut. Nyatanya kerajaan memperolehi pembiayaan yang mencukupi bahkan rakyat bawahan yang menyaksikan tindakan kerajaan dan komitmen oleh menteri dan pembesar telah juga menyumbang secara sukarela tanpa diarahkan oleh kerajaan Qutuz.

Menjelang Sya’ban 658H, Qutuz hanya mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk meletakkan tentera Islam dan seluruh masyarakat Islam berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya sebelum misi ke Ain Jalud dimulakan. Pertempuran kebenaran dan kebatilan di Ain Jalud sebetulnya dapat menginsafi kita betapa pertolongan Allah hanya diperolehi bila kita telah melakukan yang terbaik dalam kemampuan sebenar.

Medan Ain Jalut telah menyaksikan Islam bukan sekadar diperjuangkan oleh tentera-tentera yang khusus, bahkan pada hari-hari sebelum 25 Ramadhan 658H, masyarakat Islam yang berada di Palestin pada ketika itu telah keluar beramai-ramai ke Ain Jalut bagi menyatakan sokongan dan memberi semangat kepada tentera Mesir yang dipimpin sendiri oleh Qutuz.

Dengan izin Allah, setelah mengadakan teknik dan taktik yang terbaik yang mampu diadakan, Tatar yang dipimpin oleh Katabga Khan akhirnya telah tersungkur buat julung-julung kalinya sekali gus menutup sejarah kekejaman mereka yang melata dari Semenanjung Korea melebar ke benua Asia dan Afrika.

Menutup perbincangan ringkas ini dalam kita berada pada penghujung Ramadhan, marilah kita menanam tekad dan iltizam, mengukuhkan persaudaraan, menyantuni setiap perbezaan dengan penuh kebijaksanaan demi mendepani cabaran-cabaran mendatang. Kotakan setiap kata-kata berteraskan kebenaran dengan berserah diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: