Tutup aurat tak jejas prestasi kerja


Oleh Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal
Tutup aurat tak jejas prestasi kerja
Majikan larang wanita pakai tudung bertentangan Perlembagaan

Memakai tudung atau menutup aurat wajib diamalkan oleh semua wanita Islam tanpa sebarang pengecualian. Sebagai wanita Islam, menutup aurat bukan suatu pilihan, tetapi kewajipan. Wajib bermakna dibuat dapat pahala dan jika tidak memakai tudung, ia berdosa.

Hari ini, dalam arus kemajuan dan pengaruh Barat, orang Islam mula bercakap mengenai hak asasi individu yang mana di bawah peruntukan hak asasi Barat ini termasuklah hak untuk beragama.
Di Malaysia kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat peruntukan Pernyataan Umum Mengenai Hak-Hak Asasi Manusia (UDHR), tetapi melihat peruntukan Perlembagaan Persekutuan di mana terdapat peruntukan mengenai hak asasi dalam Perkara 5 hingga 13.

Perkara utama juga perlu dimaklumi rakyat Malaysia, Islam adalah agama Persekutuan mengikut Perkara 3. Ini bermakna, Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan dengan aman.

Perkara 3 ini mesti dibaca bersama Perkara 11 yang memperuntukkan mengenai hak kebebasan beragama. Di Malaysia semua orang bebas menganut dan mengamal agama masing-masing. Perkara 11(4) memperuntukkan negeri mempunyai hak untuk menghalang mana-mana orang daripada menyebarkan agamanya kepada orang Islam.

Murtad dosa besar

Orang Islam tidak boleh menukar agamanya kerana murtad adalah suatu dosa besar dan tidak diampunkan Allah. Orang Islam dilahirkan Islam dan akan mati dalam Islam.
Perkara 11 dibincang dengan panjang lebar oleh mahkamah di Malaysia dalam kes Halimahtulssaadiah Kamaruddin v Public Services , Malaysia (1994) dan Meor Atiqurrahman Ishak v Fatimah Sihi.

Kes ini membabitkan kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama.
Kedua-dua kes berkaitan pakaian Islam iaitu pemakaian purdah dalam kes Halimatunssaadiah dan serban bagi kes Meor Atiqurrahman.

Dalam kes Halimahtulssaadiah, mahkamah memutuskan larangan pemakaian purdah bagi penjawat awam yang dikenakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Halimahtulssaadiah selaras pekeliling kerajaan itu.

Kes Meor Atiqurrahman, pula ialah tiga kanak-kanak yang memakai serban ke sekolah. Mahkamah Tinggi memutuskan ia adalah hak kanak-kanak itu menganut dan mengamal agamanya. Namun, apabila dibawa ke Mahkamah Persekutuan, keputusan mendapati tindakan pihak sekolah tidak bertentangan dengan hak beragama kanak-kanak. Hakim Mahkamah Persekutuan menyebut pakaian serban bukan sesuatu yang wajib dalam Islam.

Di United Kingdom, kes Aishah Azmi seorang wanita Islam digantung perkhidmatannya kerana enggan membuka purdah semasa bertugas di sebuah sekolah. Tribunal Rayuan Pekerja di England menolak rayuan beliau setelah beliau membawa kesnya ke Tribunal Pekerja dengan hujah yang majikannya menghalang beliau mengamal agamanya.

Sebenarnya pemahaman terhadap hijab atau tudung yang menutup aurat dengan purdah yang menutup muka perlu difahami masyarakat Islam supaya isu ini tidak dikelirukan. Hanya Mazhab Hanafi yang hampir mewajibkan purdah.

Tak boleh larang pakai tudung

Oleh itu, tiada majikan di negara ini, baik kerajaan mahupun swasta boleh melarang seorang wanita Islam daripada memakai tudung kerana ia bertentangan dengan Perkara 3 dan 11, Perlembagaan Persekutuan.

Bukan itu saja, jika mana-mana majikan meletakkan syarat bahawa wanita memakai tudung tidak boleh memohon kerja, maka perbuatan itu juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menutup aurat bukan suatu halangan untuk bekerja kerana ramai wanita Islam bekerja sebagai doktor, peguam, jurutera minyak, jurutera binaan, saintis dan sebagainya. Islam tidak pernah melarang wanita berkerjaya, namun Islam memberi garis tatacara pergaulan dan berpakaian untuk memastikan wanita Islam selamat serta tidak diganggu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: