Zakat Fitrah dan Ramadhan


Raja Nurul Ain Binti Raja Yacob,

Maksud Zakat Fitrah
Zakat dari sudut bahasa ialah tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Ada pun dari sudut syari‘at, maka Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dibayar pada penghujung bulan Ramadhan. Demikian penerangan ringkas daripada kamus-kamus bahasa Arab dan kitab-kitab fiqh. Zakat fitrah juga dikenali dengan nama-nama lain, iaitu sedekah fitrah, zakat Ramadhan, zakat puasa, sedekah puasa dan sedekah Ramadhan.

Dalil Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍعَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّوالذَّكَرِ وَالأُنْثَىوَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah di dalam Ramadhan ke atas umat Islam secupak tamar atau secupak gandum sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanakkanak atau dewasa. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hukum Zakat Fitrah
Jumhur ilmuan berpendapat bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib. Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap muslim tidak kirasama ada lelaki, perempuan, kanak-kanak, dewasa, merdeka ataupun hamba.
Siapa yang wajib membayar zakat fitrah:

1. Menurut Mazhab Jadid (baru) Imam Syafie dan pendapat Imam Ahmad berdasarkan riwayat dari Imam Malik: “Wajib ke atas setiap muslim yang dilahirkan sebelum terbenam matahari hari terakhir Ramadhan.” Pendapat ini yang dipakai dalam Mazhab Syafie.”

2. Manakala Mazhab Qadim (lama) Imam Syafie dan pendapat Imam Abu Hanifah pula berdasarkan riwayat dari Imam Malik: “Wajib ke atas muslim yang dilahirkan sebelum terbit fajar Hari Raya Pertama.”

3. Kewajipan zakat fitrah hanya ke atas orang Islam sebagaimana hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar yang telah dikemukakan sebelum ini: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dari kalangan umat Islam.”

4. Zakat fitrah diwajibkan ke atas orang yang mampu, iaitu memiliki kecukupan yang melebihi keperluannya dan orang-orang di bawah tanggungannya untuk sehari semalam. Batas ini ditetapkan oleh para ahli fiqh mengingatkan tujuan zakat fitrah adalah untuk memenuhi keperluan orang miskin selama satu hari, iaitu pada 1 Syawal sempena Aidil Fitri. Kecukupan yang melebihi keperluannya adalah sesuatu yang sedia ada di sisinya. Oleh itu tidak perlu menjual harta, barang kemas dan sebagainya untuk mencapai taraf kecukupan.

5. Orang-orang yang nafkah hidupnya berada di bawah tanggungan orang lain, maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah. Zakat fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkah hidupnya, berdalilkan  hadis berikut:

أَنَّ النَبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ عَلَى الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِوَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى مِمَّنْ تَمُونُونَ.

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil dan orang dewasa, lelaki dan wanita, daripada orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya.”

Waktu membayar zakat fitrah
Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari awal Ramadhan.
Sunat hukumnya membayar selepas fajar Hari Raya Pertama hingga waktu solat Hari Raya. Makruh membayarnya selepas solat Hari Raya dan ia tidak dikira sebagai zakat sebaliknya sedekah. Dan hukumnya haram membayar zakat fitrah selepas berakhirnya Hari Raya Pertama. Sabda Rasulullah SAW.:-

“من أداها قبل الصلاة فهي ذكاة مقبولة ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات.”

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum solat maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang membayarnya selepas solat maka ia adalah sedekah daripada sedekah-sedekah (yang dibuat pada waktu-waktu biasa).” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

Kadarnya
Secupak daripada makanan rasmi sesebuah negara. Sesetengah ulama seperti Imam Abu Hanifah berpendapat, harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai secupak makanan tersebut sekiranya ia lebih bermanfaat kepada fakir miskin seperti dengan nilai ringgit dan sebagainya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: