Tilawah al-Quran dari perspektif ulama


Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Matlamat dan tujuan musabaqah atau tilawah dianjurkan adalah untuk memupuk persaudaraan, perpaduan dan kesatuan ummah di samping sebagai syiar Islam.

Islam membenarkan perlumbaan dan pertandingan untuk masalah agama dan kesihatan tubuh badan sebagaimana firman ALLAH bermaksud : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh menceroboh) segala jenis  kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh ALLAH dan musuh kamu.” (Al-Anfal : 60).

Daripada Ibnu Umar, kata beliau : “Nabi SAW berlumba dengan kuda yang telah dikuruskan daripada al-Hafya’ sehingga Saniyyatil Wada’ dan Baginda berlumba dengan kuda yang belum dikuruskan dari Saniyyatil Wada’ ke  Masjid Bani Zuaraiq dan adalah Ibnu Umar antara yang yang turut berlumba.”(Muttaqa’ Alaih).

Berkata Imam as-San’ani: “Hadis ini menjadi dalil disyariatkan musabaqah dan ia bukanlah perkara sia-sia bahkan suatu aktiviti terpuji yang dapat mencapaikan penghasilan tujuan peperangan dan bermanfaat untuk jihad dan  hukumnya berlegar antara harus dan mustahab (sunat).” (Subul al-Salam).

Ulama telah sepakat bahawa pertandingan dalam perkara-perkara yang bermanfaat untuk jihad dan kesihatan adalah harus bahkan sunat bagi mereka yang belajar ilmu peperangan untuk beradu kemahiran dan makruh jika meninggalkannya. (Hasyiah Qalyubi Umairah).

Pada umumnya, musabaqah atau tilawah al-Quran termasuk perkara yang bermanfaat bagi agama dan berkumpul untuk mendengar bacaan al- Quran adalah sunnah, namun adakah harus diberi ganjaran kepada mereka yang paling elok bacaannya dan seumpamanya.

Sabda Nabi SAW bermaksud : “Sesiapa yang membaca al-Quran maka mintalah akan (pahalanya) daripada ALLAH kerana akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran lalu mereka meminta upahnya kepada manusia.” (At-Tirmizi, hasan).

Hal ini kerana sekadar membaca al-Quran tidaklah memberi faedah yang besar kerana paderi Keristian dan pendeta Yahudi juga boleh belajar tarannum dan membaca al- Quran bahkan terbukti dalam sejarah Islam, kaum yang pertama menterjemah al-Quran ke bahasa asing adalah paderi Sepanyol.

Apa yang memberi manfaat adalah ilmu tafsir al-Quran dan memahami isi kandungannya dan hukum-hakam yang terkandung dalamnya. Sabda Nabi SAW
berkenaan kaum Khawarij bermaksud : “Sesungguhnya dia ini dan pengikut-pengikutnya membaca al-Quran tidak lepas daripada kerongkong mereka, mereka terkeluar daripada agama sebagaimana meluncurnya anak panah daripada busurnya.” (Muttafaq Alaih).

Musabaqah atau tilawah al- Quran yang diadakan di negara kita dan juga di Timur Tengah, para ulama berselisih pendapat yang mengharuskannya, manakala ulama yang lain menyatakan ada unsur-unsur maksiat seperti percampuran lelaki dan wanita.

Tabarruj di mana para wanita ermasuk qariah memakai perhiasan yang melampau di hadapan lelaki ajnabi.

Para ulama juga melarang wanita ajnabi mengeraskan suara (membaca dengan kuat) pada bacaan al- Quran di hadapan lelaki ajnabi.

Berkata Syeikh Daud al-Fatani: “Dan adapun mengangkatkan suaranya (wanita) dengan baca al-Quran dalam sembahyang atau di luarnya makruh mutlaqan (secara mutlak).” (Furu’ al-Masa’il).

Berkata Syeikh Zainuddin al- Fatani : “(Masalah) haram atas perempuan itu mengangkatnya suara dengan yang bersalahan mengangkat suara pada bacaan al-Quran maka iaitu makruh.” (Kasyful Lisan).

Di mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan seseorang pembaca bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi sedap atau tidak pembacannya.

Melagukan al-Quran berbeza daripada nasyid, qasidah dan burdah, malah menurut Imam Syafi’e, melagukan al-Quran ialah mengelokkan kitab suci itu tanpa melanggar hukum tajwid.

Ulama yang berpendapat hukum berlagu adalah harus ialah Umar Ibnu Khattab, Ibnu Abbas, Ibnu Masud, Imam Hanafi dan Imam Syafi’e.

Mereka berpandangan dengan hadis Nabi SAW : “Daripada Barra’ bin Azib berkata : Rasulullah SAW bersabda bermaksud : Seseorang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan di syurga bersama malaikat dan hiasilah al-Quran dengan suaramu.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: