Pelaksanaan dan permasalahan haji


DALAM artikel ini saya cuba menjelaskan seringkas mungkin berkenaan pelaksanaan haji dan permasalahannya. Pun begitu, saya memulakannya dengan pengertian sejarah dan juga hukum haji.

Menurut bahasa, haji bermaksud kunjungan. Manakala dari segi syarak ialah mengunjungi Kaabah untuk melakukan ibadah tertentu, dengan syarat-syarat yang khusus.

Pendapat yang lebih kuat menyatakan tarikh pensyariatan haji dan umrah adalah pada tahun 9 Hijrah. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW kepada rombongan Abd al-Qais yang menemui Rasulullah SAW pada awal tahun 9 Hijrah dan bertanya tentang perintah yang wajib mereka lakukan: “Aku perintahkan kamu beriman kepada Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menyerahkan 1/5 daripada harta rampasan perang.”

Justeru, sekiranya haji telah difardukan sebelum tarikh tersebut, tentulah baginda menyebutkannya bersama-sama perintah yang diarahkan kepada mereka.

Semua ulama sepakat menyatakan bahawa haji adalah fardu dan salah satu daripada Rukun Islam. Ini berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

1. Al-Quran

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran pada ayat 96-97 yang bermaksud: Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ, ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.

2. Al-Sunnah

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Islam diasaskan atas lima perkara, iaitu: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu mengunjunginya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim (122), al-Tirmizi, al-Nasaie, Imam Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, al-Baihaqi, al-Tabarani, Abu Ya’la)

3. Ijmak

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

Selepas kita mengetahui secara umum berkenaan maksud haji, hukum dan persyariatannya maka di sini, penulis ingin membicarakan secara ringkas berkaitan pelaksana haji dan sedikit permasalahannya.

Seperti yang diketahui haji mempunyai syarat sah dan wajibnya. Begitu juga mempunyai rukun, syarat, wajib haji sunat-sunat yang diperincikan oleh ulama feqah dalam kitab masing-masing.

Alhamdulillah, Tabung Haji telah menganjurkan pelbagai bentuk kursus termasuk kursus bersiri yang bersifat mingguan diterangkan satu persatu berkaitan permasalahan haji.

Di sini saya menyebut sepintas lalu secara ringkas berkaitan dengan isu ini. Ibadah haji dan umrah wajib bagi orang yang mempunyai enam syarat iaitu Islam, berakal, baligh, merdeka, aman dalam perjalanan dan berkemampuan.

Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta itu termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah, sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah.

Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya.

Dalam perbincangan dahulu, telah disebutkan tentang syarat wajib haji dan syarat thabit fardunya. Sesiapa yang kekurangan satu daripada syaratnya, dia tidak dituntut menunaikan fardu tersebut.

Akan tetapi, syarat-syarat ini tidak ada kaitannya dengan sah haji ataupun tidak. Malah, mungkin hajinya sah tanpa cukup syarat wajibnya dan mungkin pula hajinya tidak sah walaupun terdapat syarat-syarat tersebut.

Justeru, syarat sah haji adalah seperti Islam, mumayyiz, berihram haji pada waktunya dan menyempurnakan semua rukunnya.

Rukun haji ialah niat Ihram, tawaf, sa’ie, wuquf di Arafah, bercukur dan tertib pada kebanyakan rukun.

Walaupun wajib haji dan rukun merupakan amalan yang mesti dilakukan, namun kedua-duanya ada perbezaa.

Amalan wajib haji yang tertinggal boleh digantikan dengan dam. Tetapi jika tertinggal rukun, maka ibadah haji tidak sah dan tidak dapat digantikan dengan dam.

Saya mengesyorkan kepada jemaah haji yang mempunyai sebarang keraguan dan kemusykilan berkenaan manasik haji hendaklah merujuk kepada guru pembimbing dan petugas haji yang telah dilantik agar dapat dirungkai dengan sebaik-baiknya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita haji yang mabrur dan amalan yang diterima.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: