Kedudukan harta bersama


SAYA ingin mendapatkan penjelasan bagi harta sepasang suami isteri yang bercampur. Pertamanya, jika pendapatan kami asalnya adalah berasingan, maka adakah ia perlu dicampurkan? Keduanya, jika saya dan isteri menjalankan perniagaan sampingan dan pendapatannya kami satukan, adakah ia masih dikira zakat pendapatan persendirian (individu)? Atau, adakah apabila pendapatan saya dan isteri itu sudah dicampurkan, maka kami wajib mengeluarkan zakat ke atasnya secara bersama (sebagai harta perkongsian), sedangkan ia masih zakat pendapatan? Saya keliru, kerana ada yang menyatakan zakat pendapatan itu asalnya zakat persendirian, namun ada yang menyatakan jika sudah bercampur, maka kami juga masih wajib mengeluarkannya secara bersama. Mohon pencerahan.

Jawapan

Terima kasih kerana bertanya. Semoga Allah SWT membantu saya dalam meraih jawapan yang benar dan saya berharap jawapan yang disediakan ini juga mampu memberikan pencerahan kepada kemelut zakat itu.

Umumnya Islam memang menetapkan bahawa perlaksanaan zakat harta adalah tertakluk ke atas individu yang tertentu.

Maknanya, harta bagi si A, maka dia sendirilah yang wajib menunaikan zakatnya. Inilah kaedah asas bagi menunaikan zakat ke atas individu Muslim.

Di dalam buku Ensaiklopedia Fiqh Wanita (Jilid 2) halaman 6, Dr. Abdul Karim Zaidan ada menukilkan: “Kaum wanita diwajibkan mengeluarkan zakat sebagaimana kewajipan yang mesti dilakukan oleh kaum lelaki apabila kesemua syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat telah dipenuhi. Jumhur fuqaha sepakat bahawasanya zakat diwajibkan terhadap wanita muslimah, merdeka, baligh dan berakal.”

Dalam perbahasan hukum fiqh juga, hanya dalam bab zakat fitrah sahaja fuqaha Islam mempunyai perselisihan pandangan dalam urusan mengeluarkan zakatnya, iaitu sama ada seseorang itu termasuklah isteri dan anak-anak wajib mengeluarkan sendiri zakat fitrah mereka ataupun ia dikeluarkan oleh wali atau penjaga.

Jumhur fuqaha menyatakan, zakat fitrah walaupun ke atas anak kecil, hendaklah dikeluarkan zakatnya daripada harta anak itu sendiri (jika ada) oleh bapanya dan sebahagian yang lain sahaja berpendapat bahawa zakat fitrah itu menjadi tanggungan si bapa ke atas anak-anaknya (rujuk Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 578).

Cumanya amalan di Malaysia, bapa atau suami yang tampil menunaikan zakat fitrah bagi semua tanggungannya dan hal ini tidaklah bersalahan dengan hukum syarak, kerana masih ada ulama yang membolehkannya.

Maka, di sini penulis melihat bahawa agama Islam sedari awal telah menegaskan bahawa zakat itu adalah kewajipan individu yang hakiki, yang wajib dilunasi secara persendirian apabila segala syarat wajibnya telah dipenuhi.

Oleh itu, di sini penulis melihat bahawa apabila sesuatu harta itu asalnya tidak bercampur antara suami dan isteri, maka sewajarnya ia tidak disatukan. Misalnya dalam kes saudara ini, katakanlah saudara dan isteri masing-masing memang mempunyai pendapatan sendiri yang dari asalnya adalah terpisah. Katakanlah saudara bekerja di pejabat A dan isteri di kilang B, maka pastilah pendapatan masing-masing adalah terpisah. Maka, tidak perlulah ia dicampurkan.

Ini penting, kerana jika disandarkan kepada pendapatan yang berasingan itu, maka hanya pendapatan yang cukup nisab sahaja diwajibkan zakat. Jika ternyata pendapatan saudara dan isteri masing-masing berada di bawah paras nisab, maka tidaklah ia wajib dizakatkan kedua-duanya.

Atau jika pendapatan salah seorang sahaja yang sudah mencukupi nisab, maka hanya pendapatan itu sahajalah yang wajib dizakatkan. Islam tidaklah bersifat menekan dengan mengarahkan kita mengeluarkan zakat jika kita memang tidak mampu menunaikannya.

Hal ini hakikatnya selaras dengan ketetapan hukum zakat itu sendiri, iaitu pertama, adalah perlu bagi sesuatu harta itu terlebih dahulu mencapai paras nisab untuk dikeluarkan zakatnya dan yang keduanya, ia juga perlu mengambil kira dari aspek penggunaan asasi (untuk keperluan hidup) sebelum dikirakan zakat ke atasnya.

Dalam hal ini fuqaha menjelaskan: “Syarat tersebut di atas (melebihi keperluan asasi) ditetapkan kerana, sesungguhnya harta yang masih digunakan untuk memenuhi keperluan kehidupan asas dianggap tidak ada dan tidak terdapat zakat untuk sesuatu (harta) yang tidak ada dan tidak menyebabkan pemiliknya dianggap sebagai orang yang kaya.” (Dr. Abdul Karim Zaidan, Fiqh Ensaiklopedia Wanita, Jilid 2, hal. 20)

Maka, bagaimana pula jika sebelum ini (tahun-tahun lalu) saudara suami isteri sudah mengamalkan penggabungan pendapatan (dicampurkan) dan kemudian baharu digunakan semula dan ia tidak pula dikeluarkan zakatnya? Mudah sahaja, jika ia adalah daripada sumber penggajian maka sudah pasti masing-masing ada penyata gajinya, maka rujuklah kepada penyata gaji berkenaan untuk menentukan sama ada pendapatan berkenaan (diri sendiri) mencapai nisab atau tidak. Jika memang masing-masing atau salah seorang sahaja yang pendapatan bergajinya mencapai nisab, maka ia hendaklah dizakatkan sebagai qada.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: