IBNU Majah Perawi hadis tersohor


IBNU Majah atau nama sebenarnya Abu Abdillah Muhammad bin Yazid merupakan seorang ahli hadis, ahli tafsir dan ahli sejarah Islam yang terkenal dalam sejarah peradaban Islam (209 Hijrah/824 Masihi – 20 Ramadan 273/18 Februari 887).

Karya utamanya dalam bidang hadis adalah Sunan Ibn Majah yang dikenal sebagai salah satu daripada enam kitab kumpulan hadis yang terkenal dengan jolokan al-Kutub as-Sittah (Kitab Yang Enam). Lima kitab hadis yang lain daripada kumpulan tersebut adalah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi dan Sunan an-Nasa’i.

Ibnu Majah mula belajar sejak beliau masih muda lagi. Ada yang mengatakan bahawa beliau belajar hadis sejak usia 15 tahun daripada seorang guru bernama Ali bin Muhammad at-Tanafasi.

Pada usia 21 tahun dia mula mengembara untuk menulis dan mengumpulkan hadis. Negeri-negeri yang pernah dikunjungi beliau untuk tujuan itu di antaranya adalah Tehran, Basra, Kufah, Baghdad, Khurasan, Syria dan Mesir.

Dengan cara tersebut, dia telah mendapatkan hadis-hadis daripada ulama terkenal di kota-kota dan negeri-negeri tersebut seperti Abu Bakar bin Abi Syaibah, Hisyam bin Ammar, Basyar bin Adam dan lain-lain.

Ibnu Majah telah menyusun kitab dalam berbagai-bagai cabang ilmu. Dalam bidang tafsir, ia menulis Tafsir al-Quran al-Karim. Ia juga menulis at-Tarikh, karya sejarah yang berisi biografi para periwayat hadis sejak awal hingga pada zamannya.

Kerana tidak begitu popular, kedua-dua kitab tersebut ada kemungkinan tidak sampai ke tangan generasi sekarang. Karyanya yang paling masyhur adalah dalam bidang hadis, iaitu as-Sunan atau dikenal juga dengan Sunan Ibnu Majah.

Muhammad Fuad Abdul Baqi, penulis buku al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran (Indeks al-Quran), telah memperinci hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini. Ada 4,341 hadis di dalamnya. Sejumlah 3,002 di antaranya juga termaktub dalam lima kitab kumpulan hadis yang lain.

Sebanyak 712 dari 1,339 lainnya adalah lemah, yang dapat dikategorikan sebagai hadis dusta. Kerana banyaknya hadis yang lemah itu, sebelum abad ke-4 Hijrah para ulama belum memasukkannya sebagai kitab yang dijadikan standard yang layak menjadi panduan dan rujukan.

Orang yang pertama kali memasukkan Ibnu Majah ke dalam kitab-kitab kumpulan hadis sahih sehingga termasuk dalam kitab yang enam adalah Abu al-Fadal Muhammad bin Tahir al-Maqdisi.

Pada pertengahan kedua abad ke-7 Hijrah, setelah hadis-hadis telah banyak terhimpun dalam kitab-kitab, usaha yang ditempuh ulama hadis adalah menerbitkan isi kitab-kitab kumpulan hadis itu, menyunting dan menyusun kitab-kitab takhrij (mengeluarkan) serta membuat kitab-kitab Jami’ (Penghimpun) yang umum.

Di antara kitab-kitab yang disusun pada peringkat ini adalah kitab-kitab zawa’id, yang terkenal di antaranya adalah kitab Zawa’id Ibnu Majah. Kitab ini disusun oleh Abu Ahmad bin Muhammad al-Busiri dalam kitab yang berjudul Misbah az-Zujajah fi Zawa’id Ibnu Majah (Lampu Kaca dalam Tulisan Ibnu Majah). Hadis-hadis yang hanya diriwayatkan sendiri oleh Ibnu Majah seperti tersebut di atas kebanyakannya daif (lemah).

Hal ini dapat diketahui daripada keterangan-keterangan gurunya, Ibnu Mulaqqin, dalam kitabnya yang berjudul Ma Tamussu Ilaihi al-Hajah ala Sunan Ibn Majah (Apa Yang Diperlukan dalam Sunan Ibnu Majah).

Sebagaimana kitab-kitab kumpulan hadis lainnya, kitab-kitab syarah (penafsiran) Sunan Ibnu Majah juga banyak muncul pada abad-abad sesudahnya. Di antara kitab-kitab syarah itu adalah Misbah az-Zujajah Syarh Sunan Ibnu Majah susunan as-Sayuti dan Syarh Sunan Ibnu Majah (Penjelasan tentang Kitab Sunan Ibnu Majah) susunan Muhammad Abdul Hadi as-Sindi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: