Stigma umat Islam lebih negatif?


TIADA yang lebih perit dirasakan oleh golongan orang hidup dalam AIDS (OHDA) selain stigma negatif berterusan yang dilemparkan sesetengah masyarakat terhadap kami,” luah Mohamad Wahid.

Beliau yang juga Pengasas Persatuan Positive Warriors berkata, hanya sedikit kesakitan yang dirasai oleh golongan penghidap HIV itu dalam meneruskan kehidupan berbanding bisa tanggapan negatif masyarakat yang sentiasa memandang serong terhadap mereka.

Sedangkan katanya, ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mahu mengambil tahu mengenai AIDS, tetapi dengan mudah melontarkan pelbagai tohmahan negatif dengan menganggap dunia bukan lagi tempat bagi golongan itu.

Malangnya, golongan yang sepatutnya memerlukan bantuan dan sokongan itu terus di dipulaukan sehingga diumpamakan mayat hidup tanpa diberikan sebarang perhatian malah ada yang dibuang oleh keluarga.

Akhirnya, di celah-celah lorong, di tepi longkang dan bawah jambatan menjadi kediaman mereka yang hanya menunggu masa untuk ‘pergi’.

Menurut Mohamad yang juga penghidap HIV, apa yang lebih menyedihkan beliau ialah masyarakat Melayu beragama Islam dilihat lebih mempunyai stigma negatif yang menebal berbanding masyarakat agama lain.

Beliau berkata, sedangkan ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam yang mengajar umatnya supaya membantu meringankan penderitaan serta meraikan orang sakit.

“Tidak dinafikan semua orang mempunyai perasaan takut untuk berhadapan dengan OHDA. Ini kerana ramai yang menyangka dengan bergaul bersama penghidap HIV itu boleh memberi risiko menyebabkan jangkitan terhadap mereka.

“Sehinggakan rakan yang dulu rapat mula menjauhkan diri daripada pesakit. Bukan itu sahaja, keluarga juga mula mengasingkan ahli keluarga yang dijangkiti AIDS sehingga diletakkan di tempat khas tanpa diberi perhatian.

“Mereka yang pastinya hilang semangat untuk hidup setelah dijangkiti HIV akhirnya berputus asa dan terus mengambil keputusan berserah dan menunggu mati tanpa sokongan untuk mengambil sebarang rawatan.

“Apa yang lebih menyedihkan ialah, kebanyakan masyarakat, rakan dan ahli keluarga yang meminggirkan pesakit HIV yang rata-ratanya beragama Islam tersebut adalah dalam kalangan orang Islam sendiri,” kata Mohamad ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, ini terbukti berdasarkan pengalaman yang dilalui di samping melihat sikap sesetengah umat Islam yang mudah terpengaruh dengan orang lain tanpa mendapatkan maklumat dengan sendiri.

Menceritakan pengalamannya apabila mendapat tahu dijangkiti HIV, Mohamad yang tidak mahu mendedahkan bagaimana jangkitan berlaku berkata, sudah dijangka ramai daripada kenalannya yang mengetahui perkara tersebut mula meminggirkan beliau.

Walaupun pada mulanya sangat berputus asa, namun berbekalkan sedikit ilmu agama dan rasa tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan Mohamad nekad untuk bangkit seperti orang sihat lain.

“Terasa seperti hidup saya ini musnah selepas pemeriksaan mendapati saya benar-benar positif HIV. Saya sangat kesal dan berputus asa kerana tidak menyangka dengan cara itu jangkitan ini berlaku kepada saya.

“Tetapi saya yakin ini adalah ujian daripada Allah SWT kepada saya dan saya anggap ini merupakan proses pengampunan tuhan kepada saya yang ingin menyedarkan kelalaian selama ini yang saya lakukan,” ujarnya mendakwa HIV membuka lembaran hidup baru baginya ke arah lebih baik dan berjaya.

Umpama pembunuh

Mohamad berkata, stigma negatif orang ramai yang memulaukan golongan OHDA adalah menjadi antara penyebab pembunuh utama bagi penghidap yang lemah dan merasakan diri mereka tiada tempat di dunia ini.

“Sokongan dan nasihat psikologi adalah perkara utama yang diperlukan oleh OHDA. Ini kerana tidak ada yang difikirkan golongan tersebut selain tiada harapan untuk hidup apabila menghidap HIV.

“Dengan pelbagai tohmahan dan perbuatan menyisihkan mereka membuatkan OHDA lebih lemah dan tidak mahu mengambil rawatan yang boleh menyelamatkan mereka sebaliknya menunggu untuk mati,” katanya.

Hakikatnya, Mohamad berkata, masyarakat tidak perlu takut berhadapan dan melakukan sebarang aktiviti dengan pesakit HIV.

Ini kerana katanya, penyakit HIV sebenarnya bukanlah penyakit yang mudah berjangkit.

“Mengetahui status seseorang itu mempunyai HIV adalah lebih selamat berbanding tidak mengetahui. Siapa sangka doktor yang merawat kita di hospital adalah OHDA.

“Begitu juga tukang masak makanan harian yang kita beli di sesebuah kedai berkenaan juga mempunyai HIV?

“Jadi mengapa perlu kita meminggirkan OHDA yang kita kenali. Tidak menjadi masalah pun bagi seseorang untuk bergaul dengan pesakit HIV selagi kita tidak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan,” tambahnya yang mempunyai dua isteri dan empat orang anak yang kesemuanya bebas HIV.

Tambahnya, HIV tidak boleh merebak melalui udara, manakala jangkitan melalui air liur pula memerlukan kira-kira tujuh kolah air liur pesakit HIV kepada bukan pesakit.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: