Seni warisan tekstil berhias emas


Oleh: ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

PELBAGAI jenis tekstil Melayu di dalam pameran Tradisi dan Kesinambungan.

TELEPUK ialah nama lain yang digunakan untuk bunga teratai, namun kain telepuk mungkin agak asing bagi kebanyakan daripada kita terutamanya generasi muda. Kain telepuk ialah salah satu kain yang terhasil daripada teknik menghias kain menggunakan kertas emas.

Kegunaan kain telepuk telah lama menjadi busana diraja Kesultanan Melayu seperti yang dicatatkan di dalam Hikayat Acheh (Teuku Iskandar 1958) seperti di bawah: “Maka sultan pun memakai kain sungkit pelangi bertelapuk berpusuk rebung bertepi mas permata, berselua(r) dzardzari bertepi tenunan Istambuli dan bertali mas dandan ‘Iraki berbuah ru bepermata pudi dan berikat pinggang.”

Mengikut kajian yang dilakukan oleh pengkaji tekstil, teknik telepuk menghasilkan pakaian istiadat yang mewah dan elegan bersesuaian dengan status pemakai dan majlis yang dihadiri.

Teknik hiasan kertas emas ini bukan sahaja digunakan di alam Melayu malah ia merupakan salah satu teknik yang digunakan untuk menghias pakaian golongan atasan di wilayah-wilayah Asia yang lain seperti Jepun dan Korea terutamanya China.

Di Indonesia dan Malaysia, teknik yang digunakan mungkin terdapat sedikit perbezaan di mana, di Indonesia kain berhias emas ini dipanggil kain perada yang merujuk kepada bahan yang digunakan iaitu serbuk perada atau air emas yang digunakan untuk melukis corak yang diinginkan oleh pembuat kain.

Tetapi di Malaysia, kain telepuk menggunakan teknik mengecap. Beberapa persiapan dan bahan asas diperlukan bagi menghasilkan kain telepuk.

Dua jenis kain yang sering menjadi pilihan di dalam menghasilkan kain telepuk ialah kain kapas dan kain sutera. Kain kapas sering digunakan bagi pakaian lelaki kerana Islam melarang golongan lelaki memakai sutera.

Kain ini selalunya berwarna tetapi kosong tanpa sebarang corak. Ia kemudian akan digerus iaitu proses melicinkan kain dengan menggunakan lilin lebah dan digosok dengan kulit siput geweng sehingga permukaan kain menjadi licin dan berkilat.

Selepas permukaan kain siap digerus cap kayu dalam pelbagai corak seperti pucuk rebung, bunga pecah empat dan teluk berantai akan disapu dengan gam dan dicap di atas kain mengikut susunan atau gubahan seseorang pembuat kain.

Selepas kedudukan corak yang bergam ditentukan, sekeping kertas emas akan dilekatkan di atasnya dan dibiarkan kering. Setelah kering lebihan kertas emas yang tidak melekat akan diberus untuk mengeluarkan corak yang dikehendaki.

Corak dan susunannya di atas kain diadaptasi daripada corak dan susunan hiasan kain songket seperti bahagian badan, kaki dan kepala kain.

Bagi pakaian lelaki, corak telepuk boleh digunakan di atas destar, baju, seluar dan kain samping. Manakala bagi wanita, corak telepuk boleh digunakan pada kain tudung atau selendang, baju dan kain.

Namun begitu, penggunaan kain telepuk amat jarang ditemui pada hari ini. Ini mungkin disebabkan oleh faktor kerumitan proses penghasilannya dan ini menyukarkan untuk pengeluaran yang banyak.

Kain telepuk merupakan salah satu tekstil Melayu yang sedang dipamerkan dalam Pameran Tradisi dan Kesinambungan: Tekstil bertenun dan berhias Semenanjung Tanah Melayu di Muzium Kesenian Islam Malaysia sehingga Julai ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: