Mencari helah elak zakat


SESEORANG yang memiliki harta yang sempurna miliknya dan telah hampir tiba haulnya (masa untuk mengeluarkan zakat). Namun dengan sengaja telah mencari jalan mengeluarkan sedikit hartanya sehingga terkurang nisabnya, maka apakah hukumnya dan adakah dia masih dikira wajib mengeluarkan zakatnya? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan

Terima kasih kerana bertanya dan ini menandakan saudara orang yang prihatin dengan hukum-hakam zakat dan mudah-mudahan saudara istiqamah melaksanakan kewajipan harta ini.

Hakikatnya, kita hendaklah faham bahawa zakat itu diwajibkan Allah SWT ke atas umat Islam, demi maslahah (kebaikan) ummah keseluruhannya. Apabila kita memahami roh zakat ini, maka terbitlah rasa senang untuk menunaikan perintah Allah SWT ini, tanpa perlu menunggu arahan daripada mana-mana pihak atau harus diberikan amaran dan sebagainya.

Orang yang berzakat dengan ikhlas hati, pasti akan dapat merasai sendiri keberkatan yang Allah SWT ganjari di sebalik amalannya. Namun, perkara yang wajib dan fardu seperti zakat ini, sama ada kita reda, ikhlas ataupun tidak, apabila sudah sempurna segala syarat wajibnya, maka kita wajib melaksanakannya sama ada dengan suka rela mahu pun ‘paksa rela.’

Maka, adalah lebih baik kita mempersiapkan diri, menanamkan dalam minda dan hati kita lebih awal lagi, bahawa di dalam setiap juzuk harta kita itu sememangnya wujud milikan orang lain. Hal ini telah diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Dan orang-orang yang di dalam harta mereka itu ada hak bagi golongan yang sudah maklum, bagi orang-orang miskin yang meminta-minta ataupun tidak meminta-minta. (al-Ma’arij: 24-25)

Baiklah, menjelaskan persoalan di atas, secara dasarnya harta yang terkurang nisabnya pada saat sampai haulnya, maka tidak wajib dizakatkan ke atasnya. Namun, kita harus melihat apakah sebab-sebab berlakunya pengurangan harta itu sehingga terkurang daripada jumlah nisabnya?

Untuk memudahkan kita, andaikan sahaja si A sudah mempunyai jumlah simpanan yang melebihi nisab di dalam akaun simpanannya (katakan jumlah nisab ialah RM9,000 dan si A mempunyai simpanan RM10,000). Namun, seminggu atau sehari sahaja lagi menjelang cukup haulnya, maka dia dengan sengaja telah mengeluarkan sebanyak RM2,000, sehingga baki simpanannya menjadi RM8,000 dan sekali gus sudah terkurang daripada paras nisab zakat. Maka, logiknya terlepaslah dia daripada zakat wang simpanannya.

Maka, kita hendaklah melihat alasan si A mengeluarkan wang simpanannya itu. Andai dia terpaksa mengeluarkannya atas tujuan yang makruf (baik), misalnya membayar bil hospital anak yang perlu segera dibedah, atas tujuan pendidikan atau sebarang maslahah lain yang mendesak hingga tidak dapat ditunda lagi perlaksanaannya, maka di sini dia dimaafkan.

Walau bagaimanapun, seandainya dia dengan sengaja mengeluarkan wang simpanannya tanpa tujuan yang makruf seperti untuk berhibur semata-mata atau dengan niat sengaja melarikan diri daripada zakat, maka di sini ulama mempunyai dua pandangan.

Pada sisi Imam Ahmad, Malik, al-Auzai, al-Ishaq dan Abu Ubaid, mereka berpendapat bahawa seseorang yang dengan sengaja mengurangkan hartanya sehingga terkurang daripada nisab pada saat sudah hampir tiba haul zakatnya, sama ada dengan jalan menghibahkan, dijual atau apa-apa sahaja cara, maka zakat masih wajib diambil daripada harta mereka apabila sudah tiba masanya.

Namun, jika ia dilakukan pada awal haulnya, maka tidaklah diwajibkan zakat kerana tidak dapat dipastikan adakah harta itu akan kekal di atas paras nisab sehingga ke hujung haul. Maka, dalam hal ini si A masih wajib berzakat ke atas nilai RM10,000 tersebut.

Walau bagaimanapun, pada pandangan Imam Syafi’e dan Abu Hanifah, mereka menyatakan sudah gugur zakat ke atasnya kerana jelas harta itu sudah berada di bawah paras nisab. Walaupun begitu, si pelakunya masih dikira berdosa besar di sisi Allah SWT kerana dengan sengaja telah mencari helah untuk mengelakkan dirinya daripada kewajipan zakat (rujuk Pedoman Zakat, T.M. Hasbi as-Shiddieqy, hal. 204-205).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: