Zakat perhiasan bercampur dengan emas


USTAZ, saya tidak tahu bagaimanakah caranya mengira zakat ke atas barangan ataupun perhiasan yang bercampur, misalnya emas yang dicampurkan dengan perak dan dibuat perhiasan atau emas yang ditatahkan dengan batu-batu permata. Adakah masih ada kewajipan zakatnya dan bagaimanakah mengasingkannya?

Jawapan:

Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan dan mudah-mudahan jawapan ini mampu mencerahkan persoalan yang diajukan, Amin.

Sememangnya ada pandangan, bahawa pada asasnya zakat adalah tertakluk kepada harta yang bersifat murni sahaja. Misalnya, jika emas maka ia emas murni, yang jika diubah bentuknya daripada logam kepada barangan perhiasan atau kelengkapan rumah yang lain, maka selagi ia masih emas murni, baharulah wajib dizakatkan. Begitu jugalah bagi logam perak, hanya yang murni dikenakan zakat ke atasnya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Syafi’iyah dan Hanabilah (rujuk Fiqh Islam, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Jilid 3, hal. 193).

Hal ini ditandai dengan banyaknya dalil daripada al-hadis bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat ke atas emas dan perak, misalnya: “Tidak ada (zakatnya) untuk emas yang kurang daripada 20 misqal dan tidak pula (perak) yang kurang daripada 200 dirham.” (riwayat Abu Ubaid)

Walau bagaimanapun, perkembangan teknologi dan kehendak manusia yang tidak terbatas menyaksikan barangan perhiasan peribadi, malah barangan kegunaan sehari-hari, ada yang telah dicampurkan dengan pelbagai jenis logam lain. Misalnya, emas ditambah tembaga, emas dicampurkan dengan perak, emas yang dicantikkan dengan ditatahkan batu-batu permata dan sebagainya.

Kendatipun Islam melarang umatnya menggunakan peralatan yang diperbuat daripada emas, misalnya sudu, cawan dan sebagainya; namun jika ditakdirkan ia masih digunakan, maka hukum zakat ke atasnya hendaklah diperhatikan. Malah, hari ini telah wujud emas putih misalnya, yang merupakan campuran emas kuning dan juga logam perak yang kian leluasa dipakai oleh lelaki dan wanita (walaupun ia tetap haram bagi lelaki Muslim).

Walaupun fuqaha daripada jalur Syafi’iyah dan Hanabilah menyatakan tiada zakatnya ke atas barangan bercampur, namun masih ada pandangan lain yang wajar diberikan perhatian. Ini kerana, mereka berpandangan bahawa maslahah (keutamaan) mengenakan zakat ke atasnya adalah lebih utama daripada mengelakkannya.

Menurut pandangan Hanafiyah misalnya, hendaklah dilihat apakah campuran yang lebih banyak ke atas barangan berkenaan. Jika logam emas yang lebih, maka ia dianggap emas dan jika logam perak yang lebih, maka ia dianggap perak. Seandainya ada barangan bercampur lain (bukan emas atau perak) yang lebih, maka mereka berpandangan hendaklah disandarkan ia kepada zakat perniagaan dan dikenakan zakat perniagaan jika ia memang diniatkan untuk perniagaan (ibid).

Namun, pada sisi lain Abu Hanifah juga menyatakan: “Apabila digabungkan perak dengan emas (dan) sampailah ia kepada senisab (nisab yang ditentukan), yakni jumlah keduanya (bila disatukan) sampai nisab, maka wajiblah zakat terhadapnya (sebanyak 2.5 peratus atas nilainya pada harga emas dan perak semasa – penulis).” (TM Hasbi as-Shiddieqy, Pedoman Zakat, hal. 68).

TM Hasbi as-Shidieqy juga berpandangan, jika emas dan perak bercampur dengan sebarang jenis logam yang lain, tembaga misalnya, maka akan dikenakan zakat kepada emas dan perak dengan syarat emas dan perak yang bercampur itu telah sampai nisabnya (ibid, hal. 69).

Manakala bagi pandangan Malikiyah, zakat ke atas barangan bercampur antara dua jenis logam ini, jika ia adalah barangan yang murni (emas atau perak) maka zakat adalah dikira berdasarkan harga semasa, namun jika ia bercampur dengan logam lain yang menghilangkan kemurniannya, maka hendaklah ia dikurangkan beratnya dengan menolak logam lain itu, sekali pun yang bercampur itu adalah logam yang berharga di pasaran (misalnya logam tembaga). Melainkan, kata Malikiyah salah satu campuran logam itu, tiada nilainya maka ditaksirkan zakat ke atas logam yang berharga sahaja (emas atau perak) (ibid, 193).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: