Dedah anak kepada ilmuwan Islam


Mastura Mohd Zain
Penumpuan seiring ilmu agama, akademik lahir modal insan berakhlak mulia

Kebetulan agak banyak menerima undangan majlis perkahwinan sejak akhir-akhir ini. Kesempatan itu juga digunakan untuk melihat gelagat orang di sekeliling dan daripada pemerhatian didapati rata-rata masyarakat Melayu di Malaysia amat menggemari hiburan.
Sesuatu majlis akan dilihat pincang jika tiada hiburan dan nyanyian. Pada akhir majlis pula kanak-kanak seawal usia dua tiga tahun sudah pandai menyanyi di atas pentas dan menerima tepukan gemuruh. Ia seolah-olah memberi galakan kepada kanak-kanak itu.

Satu ketika dulu umat Islam adalah pelopor ilmu pengetahuan. Mereka berlumba-lumba menimba ilmu atas dasar keimanan kepada Allah. Namun, hari ini budaya ilmu kurang menjadi budaya umat Islam dan akibatnya mereka ketinggalan ke belakang dari segi ilmu pengetahuan.

Di televisyen pun kita dapati banyak rancangan hiburan membabitkan kanak-kanak dalam pertandingan menyanyi. Jika keadaan ini berterusan, kita khuatir umat Islam di negara ini akan sentiasa terkebelakang dan sukar untuk berjaya serta bersaing dengan negara lain.

Tokoh ilmuwan Islam

Kita mempunyai ramai tokoh ilmuwan pada zaman kegemilangan Islam dulu, mengapa kita tidak dedahkan anak-anak dengan kejayaan mereka? Sekurang-kurangnya ia dapat dijadikan sumber inspirasi untuk anak kita cemerlang seperti ilmuwan Islam terdahulu.

Ceritakan kepada anak kita kehebatan tokoh Islam dulu yang mampu menguasai beberapa ilmu sekali gus. Berikan mereka galakan dan dorongan untuk mencontohi ilmuwan Islam berkenaan dan bukannya mencontohi penyanyi.
Contohnya, Abu Bakar Muhammad bin Zakaria ar-Razi atau dikenali sebagai Rhazes di dunia Barat, seorang daripada pakar sains Iran yang hidup antara 864 dan 930 masihi. Ar-Razi juga diketahui sebagai ilmuwan serba boleh dan dianggap ilmuwan terbesar dalam Islam.

Ar-Razi serba boleh

Ar-Razi sejak muda sudah mempelajari falsafah, kimia, matematik dan kesusasteraan. Sebagai doktor utama di rumah sakit di Baghdad, ar-Razi adalah orang pertama yang membuat penjelasan mengenai penyakit cacar.

Ar-Razi diketahui ilmuwan yang menemukan penyakit ‘alergi asma’ dan ilmuwan pertama menulis mengenai alergi serta imunologi. Dalam satu daripada tulisannya, beliau menjelaskan timbulnya penyakit rhinitis setelah mencium bunga mawar pada musim panas.

Ar-Razi juga ilmuwan pertama yang menjelaskan demam sebagai mekanisme tubuh untuk melindungi diri. Pada bidang farmasi, ar-Razi juga menyumbang membuat peralatan seperti tabung, spatula dan mortar. Ar-Razi juga mengembangkan ubat-ubatan berasal daripada raksa.

Seorang lagi tokoh ilmuwan Islam adalah Abu Ali Muhammad al-Hassan ibnu al-Haitham atau Ibnu Haitham yang dikenali dalam kalangan cerdik pandai di Barat dengan nama Alhazen, seorang ilmuwan Islam yang ahli dalam bidang sains, falak, matematik, geometri, perubatan dan falsafah.

Ibnu Sina pakar perubatan

Beliau banyak melakukan penyelidikan mengenai cahaya dan memberikan ilham kepada ahli sains Barat dalam menciptakan mikroskop serta teleskop. Abu Ali Al-Hussein Ibnu Sina atau dikenal dengan nama Avicenna, hidup antara tahun 986 dan 1037 masihi. Seorang ilmuwan Muslim yang keistimewaannya antara lain pada usia 10 tahun sudah hafaz al-Quran dan pada usia 18 tahun sudah menguasai semua ilmu yang ada pada waktu itu. Bidang keahliannya adalah ilmu kedoktoran, ilmu fizik, geologi, mineralogi.

Ilmuwan matematik Islam adalah Al-Khwarizmi atau nama sebenarnya Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi yang berketurunan Parsi. Al-Khwarizmi ilmuwan matematik di Bait al-Hikmah (House of Wisdom) yang diasaskan Khalifah al-Ma’mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah.

Al-Khwarizmi ahli astronomi

Beliau juga adalah ahli astronomi dan geografi di Bait al-Hikmah.

Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang matematik, astronomi, astrologi, geografi dan kartografi (tentang peta) serta pengasas perkembangan ilmu algebra dan trigonometri.

Ramai lagi tokoh ilmuwan Islam yang boleh dijadikan contoh kepada anak. Jika kita perhatikan kebanyakan ilmuwan Islam adalah penghafaz al-Quran. Sayangnya tokoh sains Islam ini semakin dilupakan dunia.

Satu ciri yang dapat diperhatikan tokoh ilmuwan Islam ialah mereka tidak sekadar dapat menguasai ilmu pada usia muda, tetapi juga menguasainya dalam masa singkat serta beberapa lagi bidang ilmu lain.

Satu ketika dulu umat Islam adalah pelopor ilmu pengetahuan. Mereka berlumba-lumba menimba ilmu atas dasar keimanan kepada Allah. Namun, hari ini budaya ilmu kurang menjadi budaya umat Islam dan akibatnya mereka ketinggalan ke belakang dari segi ilmu pengetahuan.

Negara memerlukan modal insan berkemahiran dan berakhlak mulia. Pembangunan modal insan adalah dengan membudayakan semula ilmu pengetahuan berdasarkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ibu bapa harus menekankan kepentingan agama kepada anak mereka dan bukan hanya memberi ilmu akademik semata-mata. Yang pasti, di belakang setiap ilmuwan Islam terdahulu tentulah ibu bapa yang tidak pernah meminggirkan agama dan mendidik mereka sehingga berjaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: