Adakah mangsa banjir adalah asnaf zakat


SAYA pernah terdengar, seorang penceramah mempersoalkan pemberian zakat kepada mangsa-mangsa banjir. Dia berkata, orang-orang yang ditimpa bencana banjir tidak boleh dimasukkan sebagai asnaf zakat fisabilillah. apakah benar pandangan penceramah tersebut?

Jawapan

Terima kasih kerana mahu mengajukan pertanyaan dan sememangnya tidak dinafikan, banyak lagi perkara mengenai hukum-hakam zakat yang tidak diketahui oleh umat Islam. Malah, adakalanya seorang penceramah agama sendiri pun, terbuat kesilapan dalam mengajukan jawapan mengenai zakat, ini kerana tidaklah semua ustaz itu tahu semua perkara. Maka, atas sebab itu, merujuk kepada ahlinya adalah lebih aula demi mendapatkan jawapan yang lebih tepat mengenai hukum zakat.

Baiklah, terlebih dahulu suka dinyatakan bahawa, bencana yang menimpa (sering disebut sebagai bencana alam) seperti banjir besar, tanah runtuh, kebakaran, tsunami, ribut taufan, gempa bumi, letusan gunung berapi dan sebagainya, bukanlah sesuatu yang diingini oleh sesiapa pun.

Bahkan manusia seboleh-bolehnya cuba mengelakkan diri dan hartanya daripada kemusnahan yang disebabkan oleh bencana di atas atau peperangan. (rujuk Ali Imran: 167)

Ini kerana, harta kekayaan bagi seorang Muslim itu mempunyai peranan yang sangat signifikan demi keselamatan dirinya di dunia dan akhirat. (rujuk al-Hadid: 7)

Sekarang, beralih kembali kepada persoalan yang telah dikemukakan di atas. Apakah benar, tiada peruntukan zakat yang dibolehkan oleh Islam bagi membantu umat Islam yang ditimpa musibah bencana harta, sehingga disebabkan musibah bencana itu, ia berpotensi pula menjadikan mereka miskin, merempat dan papa kedana?

Suka saya bawakan suatu hadis mengenai isu ini. Pernah pada zaman dahulu, seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Qabishah bin al-Mukharik al-Hilali telah datang menemui Rasulullah SAW bagi meminta harta zakat. Ini kerana, beliau telah mendahulukan harta kekayaannya untuk mendamaikan dua kelompok yang bersengketa. Akibat daripada tindakannya itu, menyebabkan dirinya pula terbeban dan dia dianggap telah mendahulukan hartanya sebagai ‘hutang’ demi kemaslahatan umat.

Diriwayatkan, pada saat Qabishah mendatangi Nabi Muhammad SAW, maka baginda telah menyatakan kepadanya: “Tegaklah (teruskanlah kamu meminta zakat wahai Qabishah), sehingga datang kepada kami (harta) zakat untuk aku berikan kepadamu.”

Nabi Muhammad SAW menyambung lagi: “Sesungguhnya meminta zakat itu tidak halal kecuali kepada tiga golongan. Pertama, orang yang memikul beban untuk mendamaikan dua pihak yang sedang bersengketa, maka dihalalkan baginya meminta sehingga ia memperolehnya (memperoleh zakat), sehingga dia berhenti memintanya.

Kedua, orang yang tertimpa kebingungan yang amat sangat lantaran kerana rosaknya harta-bendanya, maka dihalalkannya untuk meminta sedekah, sehingga dia mendapat kekuatan untuk memenuhi keperluannya.

Ketiga, orang yang ditimpa kesulitan hidup, sampai berkata tiga orang pemuka daripada kaumnya (pemimpinnya) bahawa kesulitan hidup telah menimpa orang itu, maka kepadanya dihalalkan untuk meminta sedekah sehingga dia mempunyai kekuatan untuk memenuhi keperluan hidupnya. Orang yang meminta selain daripada mereka itu wahai Qabishah, maka itu termasuk usaha yang haram.” (Hadis sahih riwayat Ahmad, Muslim, Nasai’ dan Abu Daud).

Sebenarnya, hadis yang dikemukakan di atas telah menjadi dalil penting kepada persoalan isu zakat bagi membantu orang-orang yang berhutang (asnaf al-gharimin), dan ia termasuklah juga dalam menjelaskan, bahawa mereka yang ditimpa musibah sebenarnya juga tergolong dalam kelompok orang yang ‘terhutang’ dan masih berhak disantuni dengan wang zakat.

Di dalam kitab Hukum Zakat (Yusuf al-Qardhawi, hal. 594) misalnya, telah dibahagikan bahawa orang yang berhutang itu kepada dua. Pertama, berhutang untuk maslahah diri sendiri dan kedua, berhutang untuk maslahah orang lain.

Apa yang dimaksudkan dengan maslahah diri sendiri, ialah berhutang untuk memenuhi nafkah diri dan keluarga, seperti hutang untuk makanan, rumah, pendidikan dan sebagainya. Selagi mana kepentingannya kembali kepada diri dan keluarga sendiri, maka ia adalah hutang atas maslahah sendiri. Maka, apabila rosaknya sesuatu harta peribadi yang bersifat keperluan asasi kerana bencana, ia juga dianggap menjadi ‘hutang’ demi maslahah diri sendiri.

Imam Mujahid berkata: “Orang yang berkeluarga tetapi tidak mempunyai harta, sehingga ia berhutang untuk menafkahi keluarganya (maka dia layak dibantu dengan zakat).” (rujuk Hukum Zakat, hal. 595).

Orang yang hartanya rosak kerana banjir dan kebakaran, maka jalan terbaik baginya untuk meneruskan kehidupan adalah dengan berhutang. Maka, layaklah dia dibantu dengan zakat.

Dalam hal ini juga, Imam Mujahid pernah memberikan komentar: “Termasuk orang yang mempunyai hutang, (ialah) orang yang hartanya (binasa) dibawa banjir, (dan) orang yang hartanya musnah terbakar,” (Hukum Zakat, hal. 595).

Maka, atas kapasiti inilah institusi zakat berhak membantu umat Islam yang dilanda musibah, sama ada kerana kebakaran dan banjir atau sebagainya, kerana mereka memang berhak di bawah asnaf gharimin.

Walau bagaimanapun, pengamalan di Malaysia atau di Selangor khususnya, bagi mereka yang ditimpa musibah bencana alam atau kebakaran seperti ini, bantuan atas nama gharimin yang dihulurkan tidaklah bersifat ‘membayar nilai kerugian’ yang menimpa mereka. Bantuan yang diberi, sekadar untuk melepaskan mereka daripada kemelaratan dan ia juga diberikan dengan kadar segera dalam tempoh kurang 24 jam.

Oleh itu, jelas bahawa tindakan institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni mereka yang ditimpa musibah, bukanlah suatu yang salah. Mereka dibantu bukan atas asnaf fisabilillah tetapi atas asnaf gharimin, demi meringankan bebanan hutang yang terjadi di luar kehendak mereka sendiri. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: