Bacaan cara Rasulullah SAW, sahabat


SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Syeikh Solah Khalifa
Syeikh Solah Khalifa
sekadar gambar hiasan
Pelajarilah cara bacaan al-Quran yang sebetulnya kerana ia perlu dan wajib bagi kita umat Islam. – Gambar hiasan

AL-QURAN, diturunkan daripada ALLAH SWT kepada junjungan besar, Nabi Muhammad SAW untuk menjadi petunjuk umat Muhammad dalam mengemudi kehidupan seharian Muslim itu.

Menelusuri sejarah penurunan al-Quran, terdapat banyak pandangan ulama mengenainya, namun yang jelas al-Quran melalui tiga peringkat iaitu pertama; turun ke loh mahfuz dengan jumlah yang satu, kedua; turun ke baitil izzah di langit dunia dengan jumlah yang satu dan ketiga; turun dari langit dunia ke bumi kepada Nabi ALLAH SWT secara berperingkat dalam tempoh 23 tahun.

Sempena Maulidur Rasul lepas, pentafsir al-Quran sedunia merangkap pensyarah di Universiti Mu’tah, Jordan, Syeikh Solah Khalifa Muhammad Khalifa didatangkan khas oleh Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu) bagi menerangkan secara tepat mengenai cara mengenali bacaan (qiraat) berdasarkan pembacaan Nabi SAW dan para sahabat Baginda.

Pengertian qiraat al-Quran

Syeikh Solah Khalifa menerangkan sejelasnya pengenalan, sejarah dan kaedah pembacaan Riwayat Hafsin ‘an Aa’sim dan  Riwayat Syukbah serta bagaimana untuk mengetahui qiraat al-Quran merangkumi selain daripada yang sering digunakan di Nusantara.

“Secara etimologi, perkataan qiraat adalah dalam bentuk masdar dari perkataan qaraa yang bermaksud bacaan. Sedangkan menurut terminologi, terdapat banyak pendapat ulama mengenai pengertian makna qiraat ini. Menurut Syeikh al-Dimyathi, qiraat adalah: “Suatu ilmu untuk mengetahui cara pengucapan lafaz al-Quran.”

“Menurut Imam Shihabuddin al-Qushthal, qiraat adalah “Suatu ilmu untuk mengetahui kesepakatan serta perbezaan ahli qiraat, seperti bersangkutan dengan aspek bahasa, i’rab, isbat, fasal dan lain-lain yang diperoleh dengan cara periwayatan,” katanya dalam wacana al-Quran di Dewan Utama tingkat 14, Mediu, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam.

Menurutnya, berdasarkan definisi itu,  jelas qiraat al-Quran berasal daripada Nabi SAW. Dimaksudkan qiraat dalam perbahasan ini, iaitu cara pengucapan lafaz- al-Quran sebagaimana diucapkan Nabi SAW atau sebagaimana yang diucapkan sahabat di hadapan Nabi lalu Baginda bersetuju dengannya dan Qiraat al-Quran pula diperoleh berdasarkan periwayatan Nabi SAW, baik secara fi’liyah mahupun taqririyah.

Munculnya perbezaan qiraat

Mengenai hal ini, terjadi perbezaan pula dari para ulama mengenai apa sebenarnya yang menyebabkan perbezaan tersebut. Berikut adalah pendapat-pendapat para ulama:

Sebagaimana ulama berpendapat bahawa perbezaan qiraat al-Quran disebabkan kerana perbezaan qiraat Nabi SAW, ertinya dalam menyampaikan dan mengajarkan al-Quran, Baginda membacakannya dalam berbagai versi qiraat. Contoh: Nabi SAW pernah membaca ayat 76 surah ar-Rahman dengan qiraat yang berbeza.

Pendapat lain mengatakan: Perbezaan pendapat disebabkan adanya takrir Nabi SAW terhadap berbagai qiraat yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin pada zaman itu.

Ada pendapat mengatakan, perbezaan qiraat disebabkan kerana perbezaannya qiraat yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail.

Jumhur ulama ahli qiraat berpendapat bahawa perbezaan qiraat adalah disebabkan adanya riwayat para sahabat Nabi SAW berbagai versi qiraat yang ada.

Sebahagian ulama berpendapat, perbezaan qiraat disebabkan adanya perbezaan dialek bahasa dalam kalangan bangsa Arab pada masa turunnya al-Quran.

“Kesimpulannya, qiraat bukanlah hasil ijtihad para ulama, karena ia bersumber daripada Nabi SAW. Namun untuk membezakan mana qiraat yang berasal daripada Baginda dan mana yang bukan, maka para ulama menetapkan syarat-syarat tertentu.

“Ada tiga syarat bagi qiraat al-Quran untuk digolongkan sebagai qiraat sahih, iaitu:

Harus memiliki sanad yang sahih.

Harus sesuai dengan rasm mushaf salah satu mushaf Usmani.

Harus sesuai dengan kaedah bahasa Arab. Jika salah satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, maka qiraat itu dinamakan qiraat yang lemah,” ulas Syeikh Solah Khalifa yang berasal dari Mesir ini.

Kelebihan mempelajari qiraat

Dengan berbagai variasi qiraat, maka banyak sekali manfaat atau faedah di antaranya: menunjukkan betapa terpelihara dan terjaganya kitab ALLAH SWT daripada perubahan dan penyimpangan, meringankan umat Islam dan memudahkan mereka untuk membaca al-Quran serta dapat membuktikan kemukjizatan al-Quran dari segi kepadatan makna, kerana setiap qiraat menunjukkan sesuatu hukum syarak tertentu tanpa perlu pengulangan lafaz.

Syeikh Solah Khalifa berkata, bacaan al-Quran menurut Riwayat Hafs daripada ‘Asim adalah bacaan majoriti umat Islam di dunia.

“Mengikut statistik, 95 peratus daripada umat Islam membaca al-Quran mengikut riwayat ini.

“Toriq atau cara pembacaan yang masyhur pada qiraat ini menjadi pegangan  umat Islam di dunia umumnya dan di Malaysia khasnya adalah toriq al-Syatibiyyah, iaitu toriq yang dibawa oleh Imam al-Syatibi,” katanya yang mendapat pendidikan daripada Universiti al- Azhar, Mesir dan pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Ghazali Rahimahullah, Syeikh Mutawali Sya’rawi dan Syeikh Abdul Hamid Khishk.

Ini bermakna qiraat Imam ‘Asim juga telah diriwayatkan oleh Imam Syukbah. Melalui perbincangan Syeikh Solah Khalifa bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini berkenaan mencadangkan percetakan al-Quran yang mempunyai dua riwayat iaitu Riwayat Hafsin dan Riwayat Syu’bah. Kedua-duanya tidak ketara perbezaan hanya dalam beberapa lafaz dan keduanya adalah bersumberkan sanad Imam ‘Asim.

Sanad Imam ‘Asim:

Imam ‘Asim mengambil bacaan dari =

  1. Abd Rahman Assulami
  2. Abu AmruAlSyaibani
  3. Abu Ubaid al Salma
  4. Zirr bin Hubaisiy al Asadi

Abd Rahman Assulami ambil bacaan dari =

  1. Ali bin AbiTolib
  2. Uthman bin Affan
  3. Zaid bin Thabit
  4. Ubai bin Kaab
  • Zirr bin Hubaisiy ambil bacaan daripada Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain
  • Sanad Imam ‘Asim yang diambil qiraat dan diriwayatkan oleh Imam Hafs daripada ‘Asim, daripada Abd Rahman Assulami, daripada Ali bin Abi Talib dan daripada Rasulullah SAW.
  • Sanad Imam ‘Asim yang diambil qiraat dan diriwayatkan oleh Imam Syu’bah, ‘Asim, Zir bin Hubaisy, Abdullah bin Mas’ud daripada Rasulullah SAW.

Mazhab bacaan qiraat yang dikumpulkan oleh Imam Syatibi:-

Imam Nafi (Madina) dan dua perawinya:
1) Qaaloon, 2) Warsh

Imam Ibn Kathir (Makkah) dan dua perawinya:
1) Qunbul, 2) Bazzi

Imam Abu ‘Amru (Basra: Iraq) dan dua perawinya:
1) Duri, 2) Susi

Imam Ibn ‘Amir (Syam) dan dua perawinya:
1) Hisham, 2) Ibn Zakwaan

Imam Aasim (Kufah: Iraq) dan dua perawinya:
1) Shu’aba, 2) Hafs

Imam Hamzah (Kufah: Iraq) dan dua perawinya:
1) Khalaf , 2) Khallad

Imam Kisaa’i (Kufah: Iraq) dan dua perawinya:
1) AbulHaarith, 2) Duri

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: