Usah bertangguh nyatakan syukur kepada Allah


Zahazan Mohamed

Saya pernah dengar ungkapan orang miskin hendaklah bersabar, orang kaya hendaklah bersyukur. Saya mahu tahu apa yang dimaksudkan dengan syukur dan bagaimana saya boleh melatih diri menjadi manusia yang bersyukur supaya saya boleh bahagia.

Mahmud, Johor. Menurut ar-Raghib al-Isfahani, antara individu yang dikenali sebagai pakar bahasa al-Quran dalam al-Mufradat fi Gharib al-Quran, kalimat ‘syukur’ mengandung erti gambaran dalam benak mengenai nikmat dan menampakkannya ke permukaan.

Kalimat ini berasal daripada kata ‘syakara’ yang bererti membuka sehingga dan lawan kata ‘kafara’ (kufur) yang bererti menutup iaitu melupakan nikmat dan menutupinya. Makna dikemukakan pakar itu dapat diperkuat dengan beberapa ayat al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah lbrahim, ayat 7)

Demikian juga redaksi pengakuan Nabi Sulaiman yang diabadikan al-Quran yang bermaksud: “Ini adalah sebahagian anugerah Tuhan-Ku, untuk mengujiku apakah aku bersyukur atau kufur.” (Surah an-Naml, ayat 40)
Hakikat syukur ialah menampakkan nikmat dan hakikat kekufuran adalah menyembunyikannya. Menampakkan nikmat antara lain bererti menggunakannya pada tempat dan sesuai dengan yang dikehendaki pemberinya, juga menyebut nikmat dan pemberinya dengan lidah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Adapun terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyebut-nyebut.” (Surah ad-Duha, ayat 11)

Manakala hadis riwayat at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Allah senang melihat bekas (bukti) nikmat-Nya dalam penampilan hamba-Nya.”

Dalam kitab berjudul La Tahzan, Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni menyebut: “Orang yang tidak pernah memuji Allah atas nikmat air bersih dan segar yang diminumnya, ia akan lupa kepada-Nya jika mendapat istana yang cantik, kenderaan mewah dan kebun-kebun penuh buah-buahan yang ranum.”

Orang yang tidak pernah bersyukur atas sepotong roti yang masih panas, tidak akan boleh mensyukuri hidangan lazat dan menu yang nikmat. Orang yang tidak pernah bersyukur, sebaliknya ia kufur. Ia tidak akan boleh membezakan antara yang sedikit dan banyak.

Tetapi anehnya, ramai orang seperti itu yang pernah berjanji kepada Allah ketika Allah menurunkan nikmat kepadanya dan menyirami mereka dengan nikmat-Nya, mereka akan bersyukur, memberi dan bersedekah.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah Kami akan menjadi dari orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).” (Surah at-Taubah, ayat 75-76)

Tiap-tiap hari kita melihat manusia jenis ini. Hatinya hampa, fikirannya kotor, perasaannya kosong, tuduhannya kepada Tuhannya selalu yang tidak senonoh, yang tidak pernah memberi anugerah yang besarlah, tidak pernah memberinya rezekilah dan lain-lain.

Dia mengucap demikian ketika badannya sangat sihat dan sempurna. Dalam kemudahan seperti ini pun dia tidak bersyukur. Lantas bagaimana jika harta yang banyak, rumah cantik dan istana megah sudah menghabiskan waktunya?

Sudah tentulah dia akan lebih celupar dan akan lebih derhaka kepada Tuhannya. Orang yang berkaki ayam, kerana tidak mempunyai alas kaki berkata: “Saya akan bersyukur sekiranya Tuhanku memberiku kasut.” Bagaimanapun, orang yang sudah mempunyai kasut akan menangguhkan syukurnya sampai dia mendapat kereta mewah.

Alangkah hinanya sikap manusia. Kita mengambil nikmat itu secara tunai, tetapi mensyukurinya secara bertangguh. Kita tidak pernah bosan mengemukakan keinginan kita tetapi perintah Allah kita enggan laksanakan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: