Penyelia harta wakaf Sayyid Muhammad


SAYYID Malik al ‘Arabi al Sanusi ketika mendengar dan menyemak bacaan hadis Nabi daripada salah seorang muridnya di Madinah al-Munawwarah.

AL ‘ALLAMAH al Musnid al ‘Abid al Zahid Ahmad Malik ibnu al ‘Arabi ibnu Ahmad al Syarif ibnu Muhammad al Syarif ibnu Muhammad ibnu Ali al Sanusi dilahirkan di Marsa Matruh, Mesir pada hari Jumaat 27 Zulhijjah 1351 Hijrah bersamaan 23 April 1933 Masihi. Dilahirkan daripada keluarga yang masyhur dengan ilmu dan ketakwaan, di tambah dengan nasabnya bersambungan kepada Sayyiduna al Hasan ibnu Ali dan Fatimah binti Rasulullah SAW.

Ketika dilahirkan, ayahandanya telah menamakannya Ahmad kerana mengambil berkat dengan nama nendanya, Sayyid Ahmad al Syarif. Akan tetapi, Raja Libya pada ketika itu Sayyid Muhammad Idris al Sanusi mengutus surat kepada ayahandanya agar menamakannya dengan nama Malik. Maka ayahandanya mendaftarkan pada sijil kelahirannya dengan nama Ahmad Malik. Beliau mempunyai sembilan adik-beradik lelaki dan 11 adik-beradik perempuan.

Sayyid Malik mendapat pendidikan awal di Marsa Matruh, Mesir dan belajar al-Quran dengan Syeikh Mu’min Muhammad. Kemudian dengan Syeikh ‘Atiyyah Bu’qub al Bir’asi dan menyempurnakan hafazan dan pengajian al-Quran dengan ayahandanya sendiri.

Kemudian beliau kembali ke Libya bersama ayahandanya dan adik-beradiknya. Oleh kerana sistem pendidikan di Libya diselia oleh Pejabat Britain, maka beliau didaftarkan oleh ayahandanya untuk bersekolah di Sudan selama dua tahun. Kemudian, beliau kembali menyambung pelajaran di peringkat rendah di al Abyar dan Benghazi, Libya sehinggal memperoleh Syahadah Thanawiyyah pada 1380 Hijrah bersamaan 1960 Masihi.

Setelah itu, Sayyid Malik melanjutkan pelajaran di Universiti Libya dalam Jabatan Sejarah. Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas dalam lapangan keilmuan dan pendidikan di Libya dan Lubnan.

Pada 1409 Hijrah bersamaan 1988 Masihi, beliau berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan dilantik sebagai penyelia harta-harta wakaf Sayyid Muhammad ibnu Ali al-Sanusi hingga ke hari ini dan ke akhir hayatnya.

Sayyid Malik telah mempelajari dan meriwayatkan ilmu terutamanya kitab-kitab hadis seperti al-Muwatta’, Sahih al-Bukhari dan banyak lagi dan memperoleh ijazah daripada ramai ulama, sama ada daripada keluarga al-Sanusi mahupun selain mereka.

Di antara mereka ialah; ayahandanya, Sayyid al ‘Arabi ibn Ahmad al Syarif, Raja Libya, Sayyid Muhammad Idris al Mahdi al Sanusi, Sayyid Ibrahim ibnu Ahmad al Syarif, Sayyid Muhyiddin ibnu Ahmad al Syarif. Sayyid Abdullah ibnu Ahmad al Syarif, Sayyid al Zubair ibnu Ahmad al Syarif, Sayyid Ahmad ibnu Muhammad ‘Abid ibnu Muhammad al Syarif, Sayyid Ahmad ibnu Muhammad ibnu Ahmad ibn Abdul Qadir al Rifi, Sayyid Idris ibn Muhammad ibnu Ja’far al Kattani, Sayyid Muhammad Taisir al Makhzumi al Husaini, Syeikh Muhammad Abdullah Aaddu al Jakni al Syanqiti, Syeikh Mansur Humaidah al Mahjub, Syeikh Abu al Qasim ibn Ahmad ibnu Abi al Qasim al Tuwati, Syeikh Abdul Malik al Darnawi al Tarabulusi dan ramai lagi.

Sayyid Malik merupakan seorang ulama yang terkenal di sisi ahli ilmu pada zaman ini. Malah sering diziarahi oleh ulama dan ilmuwan Islam yang datang untuk mendapat faedah ilmu dan ma’rifah daripadanya. Ribuan ahli ilmu telah beliau ijazahkan seperti yang tercatat di dalam buku daftar penerima-penerima ijazah daripadanya.

Di antara ulama besar yang telah beliau ijazahkan ialah; al Muhaddith Prof Dr. Sayyid Muhammad ibnu ‘Alawi al Maliki, Al Musnid al Kabir Dr. Yusuf al Mar’asyli, al ‘Allamah Musnid al Masyriq Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki dan ramai lagi.

Beliau amat berharap dikurniakan rezeki dapat menghembuskan nafasnya di Madinah al-Munawwarah dan disemadikan jasadnya di Baqi’ al Gharqad seperti mana nendanya, al Imam Sayyid Ahmad al Syarif. Jadi, beliau tidak keluar dari Madinah melainkan atas urusan yang sangat penting.

Harapannya diperkenankan oleh Allah SWT di mana setelah mencurahkan amal dan bakti yang tulus ikhlas, beliau akhirnya dijemput menemui Ilahi pada 25 Safar 1424 Hijrah bersamaan 8 Januari lalu dan disemadikan di Tanah Perkuburan Baqi’ al Gharqad Madinah al-Munawwarah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: