Kesalahan tajwid dalam solat


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

DALAM satu program agama, seorang penceramah telah mengeluar satu hukum berkaitan masalah membaca tidak cukup harakat pada mad lazim kalimi muthaqqal dalam solat iaitu pada kalimah terakhir surah al-Fatihah. Beliau menyatakan hukumnya tidak sah solatnya. Penulis dihubungi rakan untuk meminta penjelasan status hukum tersebut.

Kekeliruan sebegini telah lama tersebar di kalangan masyarakat dan ini bukan kali pertama penulis mendengarnya. Bagi yang mendalami ilmu tajwid dan peminatnya mereka selalu mengetengahkan isu ini dalam membawa hujah kepentingan ilmu tajwid.

Bagi penulis, secara asasnya ketentuan sah atau batal solat seseorang adalah di bawah ilmu fiqh dan yang perlu menjelaskannya ialah mereka yang mahir dalam bab fiqh. Manakala guru Quran yang merupakan golongan terbaik sebagaimana hadis Rasulullah SAW bertindak sebagai pengajar dan penunjuk kepada bacaan yang tepat.

Ilmu tajwid berperanan menjaga al-Quran dari sudut ketulenan membaca al-Quran dan mewarisinya daripada generasi terdahulu dengan sebutan yang tepat. Penekanan guru al-Quran kepada pelajarnya tentang bab makhraj huruf, sifat huruf, hukum nun sakinah dan lain-lain adalah untuk meneruskan ketulenan bacaan al-Quran.

Jika semua hukum tajwid ini tidak dijaga sudah tentu generasi hari ini dan sesudahnya tidak dapat menikmati bacaan al-Quran yang tepat.

Cuba bayangkan jika semua huruf dibaca mengikut sesuka hati sahaja, maka bunyi bacaan al-Quran akan menjadi kedaerahan.

Ali Ibnu Abi Talib ra. menerangkan maksud kalimah tartila dalam surah al-Muzzammil ayat 4 ialah perelok sebutan huruf dan mengetahui waqaf. Atas dasar inilah al-Quran terus ditalaqqi daripada guru yang mahir dalam makhraj huruf, sifatnya dan segala hukum tajwid.

Menariknya dalam ilmu tajwid ini, di samping ulama menerangkan tentang makhraj huruf, sifatnya, hukum mad, waqaf dan sebagainya yang menunjuk kepada bacaan yang tepat, ulama juga menjelaskan kategori kesalahan. Kesalahan tajwid telah dibahagikan kepada dua iaitu; lahn Jali dan lahn Khafi.

Lahn Jali bermaksud kesalahan yang berlaku pada kalimah yang mencacatkan uruf bacaan, sama ada merosakkan makna atau tidak. Merosakkan makna seperti bertukar baris di atas (fathah) kepada baris di bawah (kasrah) atau hadapan (dhammah) di kalimah an’amta. Tidak merosakkan makna seperti membariskan huruf yang sukun seperti lam yalid. Dal di hujung kalimah dibariskan dengan fathah. Dinamakan jali kerana kesalahan ini begitu jelas dan boleh dikesan oleh ulama dan juga orang awam. Syeikh Makki Nasr menyatakan kesalahan sebegini adalah haram secara ijmak.

Lahn khafi atau kesalahan tersembunyi ialah kecacatan yang berlaku pada lafaz al-Quran yang tidak merosakkan makna. Al-Sakhawi menyatakan seperti tidak menyempurnakan sebutan huruf, sama ada terkurang sifat huruf atau terlebih sifat huruf.

Dr. Abdul Aziz Abdul Fattah Qari pula menyatakan lahn khafi ialah kesalahan yang berkaitan tidak sempurna sebutan huruf dan ia tidak dapat dikesan oleh orang awam kecuali mereka yang mahir dalam bidang ini. Ini seumpama tidak sempurna menyebut ghunnah atau dengung pada Idgham, Iqlab atau Ikhfa. Begitu juga menyebut dengan melebihkan tarqiq atau nipis pada huruf yang sepatutnya ditarqiqkan atau lebih tafkhim atau tebal pada huruf yang sepatutnya ditafkhimkan.

Kesan lahn khafi ialah menghilangkan kecantikan bacaan al-Quran namun begitu kebanyakan ulama menyatakan hukumnya ialah makruh dan tidak berdosa bagi mereka yang tidak mengetahuinya atau disebut sebagai wajib sinaei.

Seorang tokoh Quran yang masyhur Syeikh Mahmud Khalil al-Husari dalam bukunya, Ahkam Qiraat al-Quran mengulas panjang tentang hukum Lahn Khafi dengan menyebut pendapat yang mengharamkan lahn khafi.

Namun beliau menyatakan pandangannya dengan mengambil kira semua sudut dengan menyebut contoh kesalahan lahn khafi seperti ghunnah dibaca dengan kurang dua harakat atau lebih, mad lazim dibaca dengan lima harakat atau dibaca lebih enam harakat.

Beliau menyebut satu persatu kesalahan lahn khafi dan akhirnya beliau menutup dengan berkata semua kesalahan tersebut tidak haram atau makruh tetapi dipanggil sebagai khilaf awla, afdal dan akmal.

Kesimpulannya, mendalami ilmu tajwid amat penting dan hukum-hakam tajwid memainkan peranan dalam menjaga ketulenan bacaan al-Quran.

Guru Quran amat perlu menekankan pengajian hukum tajwid namun perlu berhati-hati dalam mengeluarkan hukum berkaitan fiqh. Ilmu fiqh amat luas dan pendapat ulama dalam sesuatu hukum biasanya mempunyai pelbagai pendapat.

Jika ada ulama menyatakan batal dalam sesuatu hukum akan ada ulama yang menyatakan sah, begitulah sebaliknya.

Dalam isu tidak cukup harakat mad lazim atau terlebih bacaannya, amat baik jika dipegang pendapat Syeikh Khalil al-Husari yang berkata tidak haram tetapi khilaf awla. Wallah’alam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: