Orang baik sentiasa jaga akhlak


Zahazan Mohamed

Manusia perlu keredaan Ilahi supaya bahagia di akhirat

Soalan: Saya ada persoalan yang bermain di fikiran iaitu bagaimana dikatakan manusia yang baik itu? Kenapa kita perlu menjadi manusia yang baik?
Daniel,Kuala Lumpur.

Firman Allah SAW: “Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, kamu telah berbuat baik. Maka masuklah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” (Surah az-Zumar, ayat 73)

Jawapan:

Allah SWT mengkhususkan dirinya dengan kebaikan. Maksudnya, Dia memilih setiap jenis itu yang terbaik daripadanya. Kemudian Ia mengkhususkan hal-hal yang baik itu bagi diri-Nya. Allah SWT itu tayyib (Maha Baik), dan tidak menerima kecuali yang baik-baik saja. Dia tidak menerima perkataan, perbuatan dan sedekah melainkan yang baik.

Dengan ini pula dapat diketahui ciri-ciri kebahagiaan dan kesusahan seorang hamba sebab orang yang baik itu tidak patut baginya kecuali yang baik-baik saja dan ia tidak rela melainkan yang baik itu. Ia tidak akan tenang dan tenteram melainkan dengan sesuatu yang baik. Maka perkataannya adalah perkataan yang baik. Dan tidak akan naik kepada Allah SWT kecuali yang baik pula. Orang yang baik adalah orang yang ketat menjaga diri daripada tutur kata yang keji, dusta, ghibah (menceritakan keburukan orang lain), fitnah, tidak jujur, dan semua perkataan keji lainnya. Ia tidak sesuai kecuali terhadap perbuatan yang baik, yang diakui baik oleh fitrah dan syariat Nabi serta diterima oleh akal sihat. Contohnya ia melakukan ibadah kepada Allah SWT semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain. Ia lebih mengutamakan keredaan Allah SWT berbanding hawa nafsunya sendiri, berusaha meraih cinta-Nya dengan sekuat tenaga, serta berbuat baik terhadap makhluk Allah SWT sebagaimana yang ia suka mereka lakukan kepadanya. Akhlaknya juga terjaga baik. Ia santun dan tenang, sabar dan penyayang, memenuhi janji dan jujur, berlapang dada dan rendah hati, menjaga wajahnya tidak tunduk atau merendahkannya kepada selain Allah SWT. Demikianlah pula ia hanya memilih makanan yang terbaik bagi badan dan jiwanya iaitu dengan makanan yang halal, nikmat dan tidak membahayakan, sedangkan dalam soal pasangan hidup, ia juga hanya memilih pasangan yang terbaik untuk dinikahinya dan kawan-kawannya juga terdiri daripada orang yang baik pula.
Golongan dimaksudkan

Maka inilah golongan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat, antaranya surah az-Zumar, ayat 73 bermaksud: “Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, kamu telah berbuat baik. Maka masuklah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” Allah SWT menjadikan hal-hal yang baik itu berikutan aneka jenis kebahagiaan yang mengikutinya berada dalam syurga dan menjadikan yang keji itu berikutan aneka ragam kesengsaraan yang ada dalam neraka. Maka ada negeri yang dikhususkan hanya bagi yang baik (syurga) dan ada negeri yang dikhususkan bagi yang keji sahaja (neraka). Di luar itu ada negeri yang dalamnya bercampur antara yang baik dan keji, itulah kehidupan dunia ini.

Pada hari pembalasan kelak, Allah SWT akan memilih antara yang keji dari yang baik sehingga nanti hanya ada dua negeri sahaja di akhirat. Justeru, Allah SWT menjadikan kesengsaraan dan kebahagiaan itu sebagai tanda pengenalan bagi hamba-Nya. Boleh jadi pada diri seseorang terdapat dua unsur itu, maka unsur yang paling dominan padanya yang dilihat sebagai tanda bagi orang itu. Dan jika Allah SWT menghendaki kebaikan untuknya, maka Allah SWT akan membersihkannya terlebih dulu sebelum ia diberi balasan sehingga ia tidak perlu dibersihkan di dalam api neraka. Hikmahnya bahawa Allah SWT tidak mahu menerima seseorang yang masih berlumur kekejian untuk berdampingan dengan-Nya di negeri-Nya iaitu syurga. Demikianlah antara yang disebut Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam Zadul Ma’ad.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: