Archive for Oktober 2012

Masjid tertua di dunia

MASJIDIL Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di tengah-tengah kota Mekah. Sejak tahun kelapan kerasulan Nabi Muhammad SAW, baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam.

Oleh hal yang demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka datang daripada pelbagai mazhab.

Kaabah

Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci).

Di dalam masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim as pada batu ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam) dan telaga zamzam.

Masjidil Haram merupakan sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang.

Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.

Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) dari kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Menara

Di sekeliling masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai. Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.

Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Janganlah memberatkan untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa.” (riwayat ad-Darimi, an-Nasai’ dan Ahmad)

Telaga zamzam

Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki. Telaga ini juga disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini berada di bawah pengawasannya.

Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat lampu penerang dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki (sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki (sekitar 1.2m).

Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur terdapat dua tiang abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian tembok pula terdapat batu yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Asma ul Husna.

Hukum Badal haji dan korban untuk arwah

BOLEHKAH kita melakukan badal haji dan ibadah korban untuk orang yang telah meninggal dunia? Jika boleh, saya ingin lakukan untuk arwah ibu saya.

Jawapan

Sebelum menjawab soalan ini, kita harus membincangkan satu perkara penting terlebih dahulu. Iaitu apakah orang yang telah meninggal dunia boleh mendapatkan pahala amalan ibadah yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup?

Mengikut kesepakatan (ijmak) ulama daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah, orang yang sudah meninggal dunia masih boleh menerima pahala ibadat yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup. Demikian dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn al-Qayyim (w. 751H) dalam kitab al-Ruh.

Dalilnya sangat banyak, salah satunya hadis Nabi SAW yang bermaksud: Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka amalannya telah terputus melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang selalu berdoa untuknya. (riwayat Muslim)

Setelah mengumpulkan pelbagai dalil dalam perkara ini, Imam al-Syafii merumuskan: “Akan sampai kepada mayat daripada amalan orang lain tiga perkara, haji yang dilakukan untuknya, harta yang disedekahkan atau dibayarkan (hutang) untuknya dan doa. Aku mengatakan ini kerana berdalil dengan sunnah dalam perkara haji. Dan umrah serupa dengannya secara qiyas.”

Badal haji

Daripada ucapan Imam Al-Syafii di atas, badal haji yang dilakukan untuk arwah, insya-Allah pahalanya akan sampai kepada arwah. Namun, apa hukum membuatkan badal haji itu?

Menurut ulama mazhab Syafii, hukum membuat badal haji terbahagi dua. Wajib jika arwah memang telah wajib melaksanakan ibadah haji semasa hidupnya, namun meninggal dunia sebelum sempat melakukannya. Dalam kes seperti ini, ahli waris wajib mengeluarkan sebahagian daripada harta pusaka peninggalan si mati untuk digunakan membiayai badal haji untuknya.

Berkata Imam al-Nawawi dalam kitab Al-Idah fi al-Manasik: “Wajib menggantikan (badal) haji bagi si mati jika ia (si mati) berkemampuan untuk haji ketika hidupnya namun tidak sempat melakukannya. Itu pun jika ia meninggalkan harta warisan. Jika tidak, maka bukan kewajipan waris untuk melakukan haji badal baginya.”

Jika si arwah sememangnya tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah haji semasa hidupnya, maka ahli waris tidak wajib membuatkan badal haji baginya. Jika mereka ingin membuatkan untuknya juga, maka hukumnya harus. Namun dalam kes ini, waris tidak boleh menggunakan harta pusaka peninggalan arwah untuk membiayai badal haji itu kecuali dengan keizinan seluruh ahli waris.

Siapa yang berminat melakukan badal haji untuk arwah boleh melakukannya sendiri atau menyewa orang lain untuk membuatkan badal haji untuk orang yang dikehendaki. Seseorang yang melakukan badal haji mestilah orang yang pernah melakukan ibadah haji untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.

Korban untuk arwah

Bagi korban untuk arwah pula telah menimbulkan perselisihan di kalangan para ulama. Mazhab Syafii mengatakan bahawa korban adalah ibadah perseorangan. Oleh itu tidak sah dilakukan oleh orang lain tanpa keizinan daripada empunya diri. Jika orang itu telah meninggal dunia, maka ibadah korban tidak sah tanpa wasiat daripadanya.

Jika arwah pernah berwasiat agar dibuatkan ibadah korban selepas kematiannya, maka ahli waris boleh melakukan korban tersebut. Namun daging korban itu wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin.

Demikian kesimpulan hukum korban untuk arwah dalam mazhab Syafii. Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan adanya pandangan berbeza yang berasal daripada ulama mazhab lain.

Mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali, ibadah korban boleh dilakukan untuk arwah biarpun tanpa wasiat daripada si mati. Pahalanya insya-Allah akan sampai kepadanya.

Saya sangat berharap perbezaan pendapat ini tidak menyebabkan perbalahan di antara kita. Sebaliknya, kita mesti ingat bahawa matlamat utama ibadah korban adalah untuk menaati perintah Allah SWT, menzahirkan kesyukuran dan menghidupkan syiar agama di negeri kita.

Kita juga patut sedar bahawa keikhlasan dan ketakwaan yang menentukan nilai ibadah kita. Mana-mana ibadah korban yang benar-benar mengharapkan reda Allah, maka itulah yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.

Allah berfirman: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamu lah yang dapat mencapainya. (al-Hajj: 37)

Larangan bagi daging korban pada bukan Muslim

SAYA tertarik dengan perbincangan ustaz berkenaan korban dan akikah minggu lalu. Bagaimanapun, saya masih ada beberapa persoalan dan memohon penjelasan ustaz.

1. Berkenaan daging korban, jika selepas diagih kepada fakir miskin dan juga para petugas masih ada bakinya, bolehkah ia diberi kepada orang bukan Islam?

2. Jika seorang fakir miskin itu menerima daging korban yang dikumpulkan agak banyak, contoh 4 @ 5 kilogram, bolehkah dia menjual sebahagian daripada daging itu termasuk kepada orang bukan Islam?

3. Bagaimana pula dengan kulit lembu korban, bolehkah ia dijual kepada pengusaha makanan atau pembuat kompang?

JAWAPAN:

Kebanyakan kita faham secara asas bahawa daging korban tidak boleh diberi kepada orang bukan Islam.

Pendirian ini memang berasas, asasnya para alim ulama kita berpandangan dengan pendapat Imam al-Syafie yang tidak membenarkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat mahupun daging korban nazar.

Ini kerana ibadah korban adalah perbuatan taqarrub kepada Allah SWT yang dikategorikan ibadah semata-mata, ibadah ini berkaitan dengan menyembelih binatang ternakan. Orang Islam sahaja yang berhak kepada daging korban tersebut. Serta manfaat daging itu hanya kebali kepada orang Islam sahaja.

Pandangan ini adalah berdasarkan kepada pembahagian daging mentah bukan daging yang sudah dimasak.

Sekiranya kita ingin menjemput jiran atau kenalan kita yang bukan beragama Islam dengan menjamu mereka daging korban, bagi mereka yang bermazhab al-Syafie hendaklah menambahkan daging lain yang dibeli dari pasar sejumlah yang yang mungkin boleh cukup untuk hidangan orang bukan beragama Islam lalu dicampurkan daging yang dibeli di pasar dengan daging korban kemudian dimasak bersama.

Anggaplah apa yang dimakan oleh tetamu kita yang bukan beragama Islam dari daging yang dibeli dari pasar dan bukan daging korban.

Namun persoalan ini pernah saya bincangkan sebelum ini. Demi berlaku adil kepada para Ulama mazhab selain Imam al-Syafie eloklah kita sama-sama perhatikan pandangan mereka dalam masalah ini;

Ulama Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara.

Mazhab Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka. (Kasyf al-Qina’ 3;19 )

Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu’ disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama telah sepakat (ijmak) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 8, 404 ).

Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya..

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy dan al-Syarbainiy berpendapat, mazhab Maliki menghukumnya dengan makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani.

Memelihara nyawa

Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah.

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib. (al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381).

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Kesimpulan yang boleh dibuat:

lMazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.

lMazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

lMazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Namun sekiranya keadaan masyarakat yang bukan beragama Islam sangat memerlukan, dalam erti kata kalau tidak dibantu keadaan mereka akan bertambah buruk dan dengan membiarkan mereka dalam keadaan melarat boleh mendatangkan bencana yang lebih buruk, maka dalam keadaan ini pandangan beberapa mazhab seperti pandangan ulama Maliki boleh diamalkan. Ini kerana memelihara nyawa adalah lebih utama dalam hal ini.

Mengenai menjual sebahagian daging korban mahupun kulitnya, di dalam hadis Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Ali r.a supaya menguruskan daging korban serta apa-apa yang berkaitan dengan ibadah korban.

Maksud sabda baginda: Dari Ali r.a bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar dia menguruskan budan (unta-unta yang dikorbankan) Beliau, membahagi semuanya, dan jilalnya (kain yang diletakkan dibelakang unta ). Dan dia tidak boleh memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada penyembelihnya. (riwayat Bukhari no. 1717, tambahan dalam riwayat Muslim no. 439/1317).

Dalam riwayat yang lain Saidina Ali r.a memberitahu, yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkanku agar aku menguruskan unta-unta korban baginda, mensedekahkan dagingnya, kulitnya dan jilalnya (kain yang diletak dibelakang unta ). Dan agar aku tidak memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada tukang sembelihnya. Dan Beliau bersabda: Kami akan memberikan (upah) kepada tukang sembelihnya dari kami. (riwayat Muslim no. 348, 1317)

Hadis ini secara jelas menunjukkan, bahawa Saidina Ali r.a diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menyedekahkan daging korban, kulitnya, bahkan jilalnya. Dan tidak boleh mengambil sebahagian dari binatang korban itu untuk diberikan kepada tukang sembelihnya sebagai upah, kerana hal ini termasuk jual beli.

Daripada hadis ini banyak ulama mengambil dalil tentang larangan menjual sesuatu dari binatang korban, termasuk menjual kulitnya.

Imam Asy-Syafie r.h berkata: “Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

“Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli”.

Beliau juga mengatakan: “Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini iaitu: Barang siapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya -atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya- untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya. Sedangkan jika dia mensedekahkannya, (maka) lebih aku sukai, sebagaimana bersedekah dengan daging binatang korban lebih aku sukai”.

Perselisihan

Imam Asy-Syafie r.h berkata: “Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

“Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli”.

Beliau juga mengatakan: “Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini, iaitu perselisihan dalam melarang menjual apa-apa yang berkaitan dengan binatang korban. Imam Syafie berpendapat sesiapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya-atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya, untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya.

Tukang sembelih diberi daging korban seperti orang ramai memperolehinya. Diberi daging korban kepada mereka bukan dengan niat upah sembelih, begitu juga ketika tukang sembelih menerima daging tidak boleh menganggapnya sebagai upah.

Ibadat nabi Muhammad s.a.w sebelum dilantik menjadi nabi

KITA telah mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah mengiktikadkan bahawa para nabi dan rasul adalah maksum semenjak mereka belum dilantik menjadi nabi atau rasul lagi. Oleh yang demikian, kita tidak pernah mendengar riwayat yang menyatakan mereka terlibat dalam kancah maksiat dan penyembahan berhala dalam erti kata lain mensyirikkan Allah SWT.

Yang pastinya banyak riwayat menyatakan mereka bermunajat, bertafakur, berzikir dan menunaikan amal ibadat serta menjauhkan diri daripada amalan kaum mereka yang sesat.

Demikianlah kemurnian akidah dan akhlak para nabi dan rasul semenjak Nabi Adam ehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup segala nabi dan rasul.

Pertama: Jumhur ulama menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak beribadat dengan mana-mana syariat sebelumnya. Sekiranya berlaku perkara sedemikian, sudah pasti dinaqalkan melalui dalil-dalil dan tidak mampu untuk disembunyikan.

Begitu juga sekiranya ia berlaku, maka berbanggalah pengikut-pengikut syariat tersebut dan mereka menjadikan sebagai hujah terhadap baginda.

Oleh kerana perkara sedemikian tidak berlaku, maka kita dapat mengetahui bahawa baginda tidak beribadat menurut syariat Nabi sebelumnya.

Kedua: Sekumpulan ulama berpendapat perkara sedemikian tertegah daripada berlaku menurut pandangan akal. Bagi mereka hal ini akan menyebabkan Rasulullah tidak dikenali sebagai rasul yang diikuti, sebaliknya baginda akan dikenali sebagai pengikut syariat nabi-nabi sebelumnya.

Ketiga: Segolongan ulama lain mengambil jalan berdiam diri tanpa mengeluarkan pendapat dan meninggalkan suatu penetapan yang pasti kerana di antara dua pendapat itu tidak terdapat satu pun yang boleh diputuskan secara tetap. Pendapat ini, dipilih oleh Imam al Haramain.

Keempat: Berkata segolongan ulama lain pula, bahawa baginda beramal dengan syariat sebelumnya. Kemudian mereka berselisih pendapat mengenai syariat nabi mana yang diikuti oleh Rasulullah. Maka sekumpulan daripada mereka mengambil jalan tidak menetapkan secara terperinci mengenai tatacara peribadatan nabi siapa yang diikuti oleh baginda.

Kelima: Terdapat juga golongan yang menetapkan secara terperinci tatacara peribadatan baginda dan kemudian berselisih pendapat dalam menentukan syariat manakah yang diikuti oleh baginda. Dikatakan, bahawa baginda mengikut syariat Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan ada juga dikatakan ikut syariat Nabi Adam as. Ini merupakan sejumlah daripada pendapat mazhab-mazhab mengenai permasalahan ini.

Pendapat yang terpilih adalah pendapat pertama yang dipegang oleh jumhur ulama; yang menegaskan bahawa baginda tidak mengikut mana-mana syariat sebelumnya.

Pendapat yang paling jauh daripada kebenaran ialah mazhab yang menentukan tatacara peribadatan baginda secara terperinci kerana sekiranya benar terjadi sedemikian, nescaya ia telah diriwayatkan dalam khabar yang sahih.

kemantapan ilmu

Setengah golongan yang tidak mempunyai kemantapan ilmu dan tidak meneliti hakikat sebenar Kitab dan sunnah mendakwa: Sesungguhnya Rasulullah SAW beramal dengan syariat Nabi Ibrahim dan baginda tidak memiliki syariatnya yang tersendiri. Tujuan perutusan baginda hanyalah untuk menghidupkan syariat Nabi Ibrahim. (rujuk al-Nahl: 123)

Maka dakwaan mereka adalah salah, malah lebih kepada menyamai perkara khurafat. Rentetan itu, ulama menyatakan pendapat seumpama ini tidak dinyatakan melainkan oleh orang yang senteng akal dan bertabiat bebal.

Maksud sebenar ayat ini ialah baginda mengikut Nabi Ibrahim pada tauhid yang khusus dengan kedudukannya sebagai seorang khalil (teman) Allah. (rujuk al Baqarah: 135)

Baginda juga diperintahkan mengikut Nabi Ibrahim pada penyerahannya yang mutlak kepada Allah tatkala Nabi Ibrahim, di mana ketika baginda hendak dihumban ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud, maka datang Jibril lalu berkata kepadanya: “Adakah engkau memerlukan apa-apa pertolongan daripada saya?”

Jawab Nabi Ibrahim:, “Ada pun berhajat kepada engkau, tidak sama sekali.”

Maka dengan itu, Nabi Ibrahim telah sampai kepada kemuncak penyerahan diri yang tidak dapat dicapai mana-mana kalangan manusia sebelum dan selepasnya kecuali nabi Muhammad SAW yang telah sampai ke suatu kedudukan yang amat tinggi dan tidak diketahui ketinggiannya melainkan Pencipta-Nya, Tuhan Yang Menjadikannya, yang mengurniakan nikmat ke atasnya dengan nikmat yang tidak dikurniakan kepada selain baginda.

Oleh yang demikian, ketika manusia datang menemuinya di Padang Mahsyar untuk mendapatkan syafaat teragung bagi memulakan perbicaraan, sambil berkata kepadanya: “Sesungguhnya Allah telah memilih engkau sebagai khalil (teman).”

Jawab Ibrahim: “Sesungguhnya saya hanyalah seorang khalil yang berada di belakang kedudukan al Habib (iaitu Nabi Muhammad SAW).

Nabi Ibrahim memaklumkan kepada mereka walaupun baginda adalah Khalil Allah, tetapi tergolong di kalangan yang memiliki martabat yang agak terkebelakang daripada Nabi Muhammad SAW.

Khutbah Aidil Adha 1433H

KHUTBAH PERTAMA

 

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 2  كالي )  اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ يَوْمَ عِيْدِ الأضْحَى أَسْعَدَ الأياَّمِ لنَاَ . وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا أَوْلانَا وَنَشْكُرُهُ عَلَى نِعَمِهِ الَّتِى بِهَا وَالانَا. وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ…… فَيَا إِخْوَانِيْ ! اتَّقُوْا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Firman Allah dalam ayat 28 surah ar-Ra’adu :

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ‌ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ‌ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya : “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia

Selamat menyambut hari raya Aidil Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Marilah kita sama-sama memperbanyakkan laungan takbir, tahmid dan tasbih serta amalan soleh yang lain disamping menjauhi maksiat terhadap Allah pada hari yang begitu besar kelebihannya disisi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak

عن ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالَ : مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنَ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ، وَالتَّكْبِيرِ، وَ التَّحْمِيدِ – رواه أحمد

Maksudnya : Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid

Muslimin/mat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 124 surah al-Baqarah :

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَ‌اهِيمَ رَ‌بُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّ‌يَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Sempena berada pada hari raya korban ini juga marilah kita sama-sama merenungi dan menghayati tentang proses pendidikan dan tarbiah yang dilalui oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail a.s. Nabi Ibrahim a.s walaupun hidup dalam suasana jahiliah namun tidak terikut dengan cara hidup sesat termasuk penyembahan berhala malah bangkit menentangnya sehingga dibakar oleh Raja Namrud. Kehebatan dan kekentalan iman nabi Ibrahim a.s disuburkan dalam diri anaknya nabi Ismail termasuk menerima dengan penuh pasrah arahan untuk menyembelihnya melalui mimpi benar ayahandanya nabi Ibrahim a.s. Peristiwa besar ini memberi kesedaran kepada kita bagaimana proses pendidikan dan tarbiah bukan suatu perkara yang boleh dipadang remeh-temeh sebaliknya ia mesti diletakkan antara agenda utama dalam rumahtangga dan Negara agar generasi pelapis yang mampu memikul amanah dalam menerajui Negara berdasarkan agama terus dilahirkan demi memastikan kelangsungan kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ketika ini ramai ibubapa sedang memberi tumpuan kepada anak-anak yang telah, sedang dan akan mengambil pelbagai peringkat peperiksaan samada di sekolah atau universiti di mana semua kita mengharapkan anak-anak ini mendapat keputusan cemerlang dalam akademik mereka. Adakah dalam masa yang sama kita turut memberi perhatian agar anak-anak cemerlang dalam faham dan amal agama seperti kenal Allah, menjaga solat, menutup aurat, tahu halal haram, jaga dosa pahala. Bagaimana pula dengan akhlak anak-anak kita adakah selari dengan pencapaian akademik atau sebaliknya. Jangan kita merasakan bahawa anak yang hanya pencapaian peperiksaannya sahaja tinggi sedangkan akhlaknya merudum adalah anak bijak sehingga memandang anak yang peperiksaannya rendah sedangkan dia takut kepada Allah dengan berakhlak mulia sebagai anak bodoh. Adakah generasi yang kita lahirkan ini mampu menjadi anak soleh yang sentiasa berdoa untuk kedua ibubapanya. Adakah mereka begitu cemerlang menjawab soalan dalam kertas peperiksaan di sekolah dan universiti dan bakal cemerlang pula dalam menghadapi soalan mungkar nakir dalam kubur dan persoalan di padang mahsyar nanti. Sama-samalah kita menghitung diri setiap masa agar kita tidak kesal di akhirat nanti.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارً‌ا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَ‌ةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَ‌هُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُ‌ونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Sama-samalah kita ambil perhatian dalam kerja mendidik dan tarbiah anak-anak terutama ketika suasana jahiliah yang menggugat aqidah, merosak akhlak semakin hebat mengancam generasi muda pada hari ini. Jangan hanya mendengar kisah nabi Ibrahim menyembelih anaknya nabi Ismail kerana patuh kepada Allah sedangkan kita menyembelih masa depan kita dan anak-anak dengan memandang ilmu agama tidak penting, masalah solat, tutup aurat, pergalan bebas, hiburan melampau merupakan perkara kecil sehingga harga diri anak-anak lebih murah daripada besi buruk di mana besi buruk banyak kilang yang berebut untuk membelinya sedangkan anak-anak yang rosak tidak dipeduli dan setengahnya tunggu masa untuk mati. Adakah kita hanya mahu menjadi pemerhati dan penonton setia di atas penyakit yang timbul seperti laporan dalam satu kajian, mengesahkan kumpulan remaja dan belia adalah golongan peringkat umur kes terkumpul jangkitan HIV tertinggi dilaporkan dalam negara. Lebih 76 peratus atau 69,747 daripada jumlah keseluruhan kes HIV sehingga akhir 2010 adalah di kalangan belia berusia antara 20 dan 39 tahun. Manakala, pada 2011, bagi setiap 4 kes baru jangkitan HIV, satu dilaporkan di kalangan orang muda dan belia dalam lingkungan 13 hingga 29 tahun.

Setiap penyakit biasa ada puncanya antaranya bila pintu maksiat seperti hiburan melampau, pergaulan bebas, galakan membuka aurat disuburkan terutama oleh kerajaan melalui Tv, akhbar, majalah dan sebagainya menyebabkan penyakit sosial semakin parah dan membarah. Islam banyak mengajar kita cara mencegah penyakit ini dengan menutup sebarang pintu maksiat bukannya terkial-kial mencari cara untuk mengubatnya sedangkan usaha menjemput bala Allah sentiasa dilakukan kemudian menggunakan racun iaitu system jahiliah untuk mengubatinya. Kita mendesak kerajaan agar menutup pintu maksiat dan gunalah system Islam yang mujarab dalam mengubati penyakit ini. Kita menolak hujah dangkal yang menyatakan hukum Hudud kejam terutama kepada kaum wanita, Malaysia akan kehilangan pelabur dan Negara akan musnah jika laksana Hudud dan kini dakwaan bahawa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan terjejas jika hudud dilaksanakan. Angka tersebut meliputi pekerjaan Genting Berhad, kedai perjudian, internet café, rumah urut dan sektor pelancongan. Malah ketika masyarakat Cina sendiri yang dikatakan fobia dengan cadangan pelaksanaan hudud di mana tinjauan Hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL) mendapati sebanyak 42 peratus masyarakat Cina, 26 peratus masyarakat India dan 62 peratus Melayu percaya Hudud mampu menjanjikan keadilan kepada semua. Menjadi kewajipaan bersama bermula daripada pemimpin, Ulama’ dan umat Islam untuk faham seterusnya menyampaikan tentang keadilan system Islam melalui teori dan praktikal. Betapa malangnya jika umat Islam sendiri jahil dan melawan system Islam apatah lagi orang bukan Islam. Jangan kita menjadi dinding yang menutup tentang keadilan Islam

Muslimin/mat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Maidah:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّ‌بَا قُرْ‌بَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ‌ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

Sekiranya semasa menyambut Aidil Fitri yang lepas kita diwajibkan menunaikan zakat fitrah manakala ketika meraikan raya korban maka bagi golongan yang berkemampuan disunatkan untuk melakukan ibadat korban. Ini semua mendidik jiwa kita supaya bersyukur atas nikmat harta yang Allah anugerahkan, membuang sifat kedekut dalam diri disamping merapatkan diri kepada Allah serta mengambil berat tentang kebajikan saudara kita yang lain. Marilah kita sama-sama mengambil contoh teladan daripada pengorbanan 2 orang anak nabi Adam a.s di mana satu diterima manakala yang satu lagi ditolak akibat tidak ikhlas dan bermain-main dengan perintah Allah. Allah telah memberikan amaran kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah di mana Allah memberikan keizinan kepada manusia untuk berusaha memperolehi harta dengan cara yang telah dibenarkan oleh syarak. Namun mereka perlu mengawasi diri mereka daripada terlalai dan terleka. Golongan yang dilalaikan dengan harta boleh dilihat daripada beberapa sudut

[1] Harta boleh melalaikan manusia dari sudut hubungan dengan Allah di mana golongan ini telah menyibukkan diri mengejar harta sehingga tidak sempat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah seperti meremeh-temehkan solat. Ada pula yang asyik menangguhkan Fardhu haji walaupun dirinya sudah lama memenuhi syarat wajib melakukan haji kerana memikirkan keuntungan perniagaan yang akan terlepas sekiranya pergi menunaikan haji. Tidak kurang yang tidak mengeluarkan zakat dengan alasan telah bayar cukai yang lebih penting. Ada juga yang memberi alasan tidak mahu buat ibadat korban kerana membazir wang sahaja

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Munafiqun:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُ‌ونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Golongan kedua yang dilalaikan dengan harta ialah dari segi hubungan dengan manusia. Golongan ini sanggup untuk menganiaya orang lain dengan melakukan penipuan dan pengkhianatan semata-mata untuk mengejar keuntungan duniawi. Sedangkan Allah memerintahkan manusia menjaga harta orang lain sebagaimana dia menjaga dan memelihara hartanya sendiri. Sekiranya dia tidak rela dan tidak sanggup hartanya diambil secara zalim, begitu juga seharusnya perasaannya terhadap harta orang lain.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِبًا، وَإِنَّ اللهَ تَعَالَى أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ : ﴿يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ﴾، وَقَالَ تَعَالَى ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ﴾، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبُّ يَا رَبُّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَكْسَبُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ”.  رواه مسلم

Maksudnya : Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik dan Dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum Mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Mursalin ( para Rasul ). Allah berfirman : ‘ Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh. ‘ Dan Allah berfirman lagi : ‘ Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan kepada kamu. ‘ Kemudian Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah belayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak tangannya ke langit serta memohon : Ya Tuhanku ! Ya Tuhanku ! Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Bagaimakah doanya akan diterima

Oleh itu jagalah diri dan anak isteri daripada terlibat dengan perkara haram agar di dunia kita tidak hina dan akhirat pula tidak diseksa dalam api neraka. Begitu juga kewajipan kita untuk menyedarkan pemimpin dan siapa sahaja yang terlibat dalam mengurus harta Negara dan umum agar menjauhi amalan rasuah, pecah amanah, membazir di mana laporan Audit 2011 telah mencatatkan kerugian lebih RM 42 bilion akibat sikap buruk ini. Itu belum lagi dikira dengan hutang Negara yang melebihi RM 500 bilion yang menghampirkan kepada menjadi Negara muflis jika tidak diurus dengan baik. Jangan dek kerana dibutakan dengan habuan ratusan ringgit menyebabkan kita lupa bahawa duit poket rakyat disedut semula dengan kenaikan harga barang termasuk gula disamping pelaksanaan saman melalui Sistem Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dijangka menghisap darah rakyat jelata untuk keuntungan berapa kerat pihak yang berkepentingan. Oleh itu kita mendesak agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan saman ini yang bakal menzalimi rakyat bila ia dilaksanakan tanpa kajian lebih mendalam. Jangan biarkan kezaliman saman ekor berulang kembali dengan jenama dan alat yang baru

Muslimin/mat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 76 surah al-Qosas:

إِنَّ قَارُ‌ونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَ‌حْ ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِ‌حِي

Maksudnya : Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)

Golongan ketiga yang dilalaikan oleh harta ialah dari segi dirinya sendiri. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada penyakit hati seperti tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Bahkan, mereka menjadi sombong dan ego sehingga menganggap dirinya melebihi orang lain daripada segala segi. Lalu mereka bermegah-megah dengan hartanya sehingga membelanjakan hartanya bukan untuk keperluan, sebaliknya ia adalah untuk menunjuk-nunjuk berkenaan status dan kekayaan mereka. Oleh itu usaha dalam memperkasakan ilmu agama mesti ditekan agar lahirnya rakyat yang bukan hanya mengejar harta benda sebaliknya mementingkan harta intelektual terutama ilmu agama dan harta spiritual iaitu kerohanian yang mantap. Tanpa memiliki 3 harta bernilai ini maka negara akan dipenuhi manusia bertuhankan nafsu, merebaknya jenayah, melaratnya keruntuhan akhlak yang sepastinya menggugat keamanan dan keselamatan negara.

قال الرسول :  لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ   – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Bukanlah yang dinamakan kaya itu lantaran banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenarnya adalah kaya jiwa.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

خطبة كدوا

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ…….فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ …. فرمان الله تعالى دالم أية 1-3 سورة الكوثر :

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ‌ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَ‌بِّكَ وَانْحَرْ‌ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ‌ ﴿٣

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari raya korban ini marilah kita sama-sama meningkatkan rasa kasih pada Allah, cinta pada nabi Muhammad s.a.w disamping meningkatkan lagi semangat berkorban apa sahaja dalam menjulang tinggi panji Islam. Kita wajib bersifat lemah lembut sesama Islam dan bertegas terhadap musuh Islam termasuk dalam isu penghinaan nabi Muhammad s.a.w melalui filem di Amerika Syarikat dan lukisan karikatur dalam majalah Perancis. Perbuatan jahat ini merupakan serangan saraf musuh Islam yang dijalankan penuh perancangan halus di dalam menimbulkan perasaan benci kepada nabi Muhammad s.a.w dan Islam. Oleh itu kita mesti tangani isu ini secara bijaksana dengan mengikut lunas syarak dalam menyatakan kemarahan kita agar tujuan musuh untuk memomokkan kepada dunia bahawa umat Islam adalah ganas dan jahat tidak tercapai. Kita mesti ingat ketika berlakunya Pembukaan Kota Mekah pada tahun 8H di mana ada di kalangan umat Islam yang menyatakan هَذَا يَوْمُ المَلْحَمَة iaitu hari ini merupakan hari balas dendam terhadap tindakan jahat kafir Quraisy yang mengusir nabi dan umat Islam keluar dari bumi Mekah sebelum ini. Bila mendengar kata-kata itu lalu nabi menegur supaya menamakan hari itu sebagai  هَذَا يَوْمُ المَرْحَمَة iaitu hari ini merupakan hari berkasih sayang. Tindakan bijak nabi ini telah menyaksikan berbondong-bondong manusia yang memeluk Islam dalam peristiwa yang penuh bersejarah ini.

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari raya korban juga marilah kita sama-sama menunjukkan kasih sayang kepada saudara seagama kita yang lain terutama mangsa peperangan di bumi Palestin, Iraq, Syria dan sebagainya. Kita juga berdoa agar perjanjian damai antara Kerajaan Filiphina dengan kumpulan pejuang Islam akan memberi sinar kepada umat Islam setelah begitu lama ditindas. Semoga ia turut membuka jalan untuk mendapat ruang yang sama kepada saudara kita di Selatan Thailand dan juga bangsa Ronghiya di Myanmar

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Salam Aidil Adha diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bagi yang berkemampuan disarankan agar menghidupkan sambutan Aidil Adha ini dengan ibadat korban sebagaimana yang digalakkan oleh nabi antara sabdanya :

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً

Maksudnya : “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Tidak lupa pada hari yang mulia ini kita sama-sama mendoakan keselamatan dan semoga dianugerahkan dengan haji yang mabrur kepada saudara mara kita yang sedang menunaikan ibadat haji di Kota Mekah

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِيْ سَبِيْلِكَ فِيْ كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ , اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانِنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى لبنان وَفِى سوريا وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إيندونيسيا وفى تايلند وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَقِيَامَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Kelebihan Zulhijjah dan amalan pilihan

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.

Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)

Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir.

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa.

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban.

Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain.

Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.

Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.”

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).

Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama).” (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.

Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Hukum Ibadah Korban Dan Hikmatnya

Ibadat korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat baginda melakukan ibadat korban

Ini memandangkan ibadat korban itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihan-kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang mampu seharusnyalah mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian.

Terdapat banyak hadis yang menganjurkan ibadat korban antaranyab di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.[1] Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7949.)

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ – رواية ابن ماجه

Maksudnya : Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami

Hukum ibadat korban

Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut;[2]

  1. Muslim
  2. Baligh dan berakal
  3. Bebas/merdeka
  4. Ada kemampuan; iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq.

Ibadah ini terbuka kepada semua orang Islam yang memiliki kelapangan atau kemampuan sama ada orang badar atau orang kampung/pedalaman, orang dalam musafir atau berada dalam negeri dan termasuklah kepada jamaah haji di Mina.[3] Terdapat riwayat dalam Soheh Imam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan korban di Mina bagi isteri baginda dengan menyembelih lembu. (Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.)[4]

Dimakruhkan meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang memenuhi syarat-syarat di atas. Berkata Imam as-Syafi’ie; “Aku tidak memberi rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang mampu melakukannya” (yakni Imam Syafi’ie memandang makruh meninggalkannya bagi orang yang mampu).[5]

Manakala di antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :

“Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya”.

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Nota kaki:

[1] Maksudnya menurut Imam al-Minawi; “binatang korban itu berada di tempat penerimaan yang tinggi iaitu ia diterima oleh Allah sejak mula diniatkan untuk dikorbankan sebelum ia disaksikan oleh orang-orang yang hadir ketika ia disembelih”. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7949)

[2] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816. Kifayatul-Akhyar, hlm. 528. al-Fiqhul-Manhaji, jil. 1, hlm. 233.

[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.

[4] Lihat; Soheh al-Bukhari, kitab al-Adhahi.