Talak bukan senjata hukum isteri


Roshdan Sujak Rafie
Hikmah perceraian elak pertelingkahan, jejas hidup berkeluarga

Masyarakat pada hari ini melihat perceraian sebagai satu keadaan yang menjejaskan kehidupan sosial sesebuah masyarakat.
Peningkatan kes cerai di mahkamah juga dilihat boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan itu sendiri. Perceraian juga seolah-olah menjadi suatu trend atau jalan mudah disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan dan tanggungjawab dalam kehidupan keluarga.

“Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan mencukupkan keperluan masing-masing daripada limpah kurnianya. Dan Allah amatlah luas limpah kurnianya, lagi amat bijaksana” – Surah An-Nisa ayat 130

Kurang ilmu asas perkahwinan

Kurangnya ilmu asas perkahwinan ini menyebabkan kegagalan suami dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap keluarga dan kejahilan isteri pula menyebabkan isteri gagal memahami konsep hubungan antara suami dan isteri yang menjurus kepada perceraian.

Ramai beranggapan perceraian adalah perkara yang amat dibenci serta mendatangkan kemudaratan bagi sesetengah pihak. Di sebalik keburukan perceraian itu dari sudut kehidupan sosial atau kerukunan sesebuah masyarakat, harus diingat bahawa talak mempunyai hikmah tersendiri.

Perceraian antara jalan atau cabang dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan keluarga itu sendiri. Kita tidak mahu lihat satu keluarga yang hidup dalam pertelingkahan berpanjangan yang menyebabkan kemudaratan kepada suami mahupun isteri baik dari segi fizikal ataupun mental.
Kita juga tidak mahu melihat kehidupan sebuah keluarga yang memberi kesan dan trauma kepada anak daripada pernikahan berkenaan.

Kita juga tidak mahu lihat sengketa yang dicetuskan oleh suami isteri menjadi ‘perang’ keluarga kedua belah pihak. Banyak kemudaratan yang mungkin boleh timbul jika keadaan pasangan suami isteri itu tidak dileraikan dengan talak atau perceraian.

Tujuan dan matlamat perkahwinan adalah mewujudkan kehidupan yang berterusan di antara pasangan suami isteri. Talak ataupun perceraian adalah peraturan yang membolehkan kita menangani kegagalan mewujudkan kehidupan berterusan antara suami isteri itu.

Tiada cara lagi wujud persefahaman

Perceraian wajar berlaku di dalam keadaan di mana tidak ada cara untuk mewujudkan persefahaman dalam hubungan itu dan dalam keadaan di mana adab serta hukum hakam dalam menyemarakkan hubungan suami isteri itu tidak lagi dipatuhi atau dilaksanakan.

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 130 “dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan mencukupkan keperluan masing-masing daripada limpah kurnianya. Dan Allah amatlah luas limpah kurnianya, lagi amat bijaksana.”

Talak menjadi kuasa suami. Suami perlu bijak menguruskan penggunaan talak berlandaskan prinsip syarak dan bukan sebagai senjata dalam menghukum isteri.

Talak adalah jalan terakhir untuk merungkaikan masalah yang berlaku dalam rumah tangga. Ia sewajarnya dilaksanakan dengan penuh mawaddah dan rahmat serta menghormati hak-hak isteri.

Pasangan suami isteri seharusnya menerima perceraian yang berlaku sebagai suatu hikmah yang mengelakkan kemudaratan yang lebih besar di masa akan datang.

Janganlah menganggap perceraian itu sebagai permulaan sebuah sengketa antara suami dan juga isteri mahupun keluarga kedua belah pihak. Janganlah talak itu dibuat mengikut hawa nafsu dan terimalah perceraian yang berlaku tersebut dengan baik sebagai mana asal pertemuan kedua-dua pasangan itu.

Bercerai secara baik

Banyak perkara yang boleh terjalin dengan baik seandainya perceraian tersebut dilaksanakan dengan baik, antaranya hubungan selepas perceraian antara pasangan, kerjasama dan toleransi dalam menjaga anak-anak, ikatan persaudaraan yang harmoni dan juga isu-isu lain yang membabitkan hubungan kedua-duanya.

Jika suami menggunakan talak sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah yang timbul, ia adalah jalan penyelesaian yang diharusi (amat diperlukan). Jika talak digunakan oleh suami untuk menunjukkan kekebalan atau kuasanya, maka ia adalah perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah SWT.

Bagaimanapun, realiti masyarakat agak berbeza. Kuasa talak yang ada pada suami kadang-kadang digunakan sebagai senjata untuk menghalang isteri daripada mendapatkan haknya. Kuasa ini juga kadang-kadang digunakan sebahagian suami untuk mendapatkan dan memenuhi kehendaknya.

Sebahagiannya juga menjadikan talak sebagai senjata menunjukkan kuasa yang ada padanya. Sikap sebegini menjadikan talak itu perkara yang tidak disukai dalam Islam.

Suami mahupun isteri sepatutnya menjadikan perceraian itu sebagai jalan penyelesaian terakhir dalam permasalahan dihadapi. Suami harus bijak membezakan suatu perkara yang baik dan buruk, dapat menilai kebaikan dan keburukan sesebuah perkahwinan jika dibiarkan dalam keadaan terumbang ambing tanpa noktah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: