Hukum memakai wangian beralkohol


Ustaz Ahmad Adnan Fadzil,

Soalan
Apakah hukum menggunakan wangian (perfume) beralkhohol?

Jawapan
Alkohol ada yang datang daripada arak dan ada yang bukan. Setiap arak mengandungi alkohol, namun tidak semua alkohol itu adalah arak. Oleh hal yang demikian, alkohol yang terdapat di dalam wangian; jika ia bukan datang daripada arak atau daripada proses pembuatan arak, tidaklah najis dan harus dipakai termasuk ketika solat.

Jika datang daripada arak, hukumnya adalah najis. Hal ini arak itu sendiri adalah najis menurut jumhur ulamak (1). Syeikh Dr ‘Ali Jumaah Muhammad menegaskan di dalam fatwanya; “Alkohol yang digunakan sebagai bahan dalam wangian, jika daripada jenis alkohol ethanol, adalah arak dan penggunaannya dalam wangian menyebabkan wangian itu menjadi najis dan tidak harus digunakan mengikut Syariat berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang berpandangan arak adalah najis)”.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar (Himpunan Fatwa Dar al-Ifta’, Mesir, 8/413)
2. Fatwa Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah Muhammad (www.dar-alifta.org)
3. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (www.e-fatwa.gov.my).

Nota;

(1) Menurut jumhur ulama termasuk imam-imam mazhab empat; arak adalah najis kerana Allah mengharamkan memakannya kerana zatnya, maka arak adalah najis sama seperti daging babi, bangkai dan sebagainya lagi yang haram dimakan. Selain itu, mereka juga berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah rijs (kotor/keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

Segelintir ulama – seperti Imam ar-Rabi’ah (guru Imam Malik), al-Laith bin Sa’ad, Imam al-Muzani (tokoh ulama dalam mazhab Syafiie), Daud az-Zahiri, as-Syaukani, Imam as-Son’ani, Rasyid Redha – berpandangan; arak tidak najis kerana tidak ada dalil daripada Syarak yang menegaskan kenajisannya.

Walaupun haram diminum, namun tidak semua benda yang haram dimakan atau diminum secara automatik dapat dihukum sebagai najis. Setiap najis adalah haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis. Ganja, dadah dan racun-racun/bias-bisa yang boleh membunuh semua itu haram dimakan, namun pada masa yang sama adalah suci (tidak najis).

Sesuatu itu dapat dianggap najis jika ada nas yang menegaskan adalah najis. Jika tidak ada nas, kekal di atas hukum asalnya iaitu suci. Tidak ada nas yang menegaskan arak adalah najis. Adapun ayat di atas, perkataan “رجس” (kotor/keji) di dalam ayat tersebut bukan bermaksud najis hissi (yakni najis yang dapat dilihat atau dirasai yang menjadi perbahasan kita), akan tetapi ia bermaksud najis maknawi (yakni kekotoran batin) iaitulah dosa dan munkar.

Hal ini kerana perkataan “رجس” (kotor/keji) itu bukan sahaja ditujukan kepada arak, tetapi juga ditujukan kepada judi, berhala dan anak-anak panah (untuk mengundi nasib). Benda-benda selain arak itu (yakni judi, berhala dan anak-anak panah) jika kita memegangnya tidak ada ulama yang berkata kita memegang najis. Hal ini menunjukkan bahawa kekotoran yang dimaksudkan oleh ayat tersebut bukanlah kekotoran hissi, akan tetapi kekotoran maknawi.
(Rujuk; Tafsir al-Qurthubi, surah al-Maidah, ayat 90).

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: