Salah faham Ramadan


NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
Salah faham Ramadan
Jangan jadikan solat Tarawih lebih wajib daripada solat fardu. – Gambar hiasan
Salah faham Ramadan
YAAKUB
Salah faham Ramadan
Jangan tinggalkan sahur anda, kerana bangun sahur ada berkatnya. – Gambar hiasan

KEHADIRAN Ramadan adalah satu rahmat daripada ALLAH yang melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya. Dalam keterujaan umat Islam berpuasa dan beribadat pada bulan yang mulia ini terdapat beberapa kesilapan yang sering dilakukan umat Islam.

Dengan itu, tanpa disedari bahawa apa yang dilakukan Muslim itu boleh mengurangi nilai puasanya di sisi ALLAH SWT atau gagal memaksimumkan ganjaran pahala pada bulan yang penuh berkat ini.

Penceramah bebas, Mohd Yaakub Mohd Yunus berkata, antara kesilapan paling fatal yang dilakukan ketika Ramadan adalah berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat.

Menurutnya, ibadat solat adalah tiang asas bagi agama Islam dan sekiranya tiang ini runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan dengan agama.

Ini sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad. (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

“Lantaran itu terdapat ulama yang berpegang kepada pandangan akan kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja berpendapat puasa yang dilakukan itu tidak sah.

“Bagi golongan ulama yang berpandangan bahawa mereka yang meninggalkan solat itu masih Muslim sehingga dia terang-terang menentang atau meragui kewajipan bersolat tersebut, maka puasanya tetap sah dan tidak wajib mengqada puasa tersebut namun ibadat puasanya dikhuatiri tidak diterima atau tidak mendapat ganjaran di sisi ALLAH,” katanya.

Terdapat juga sesetengah pihak yang gagal memahami falsafah di sebalik ibadat puasa ini lalu mereka tetap melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan syarak seperti melakukan perbuatan maksiat, mengumpat, berbohong dan lain-lain lagi. Maka sia-sialah ibadat puasa mereka,” katanya.

Golongan yang rugi

Mohd Yaakub berkata, terdapat juga kesalahan di mana wujud segelintir umat Islam yang terlalu sukar untuk berpisah dengan bantal dan tilamnya yang empuk lalu tidak bersahur secara sengaja. Mereka ini termasuk di dalam golongan yang rugi kerana pada ibadat sahur itu terdapat keberkatan.

“Maksud keberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadat sahur tersebut. Bagi mereka yang mempercepatkan makan sahur iaitu sebelum tidur malam juga tidak dianggap telah bersahur kerana apa yang disunatkan adalah melewatkan sahur pada penghujung malam iaitu ketika menjelangnya fajar.

Pandangan bahawa kadar masa untuk bersahur itu tamat apabila masuknya waktu imsak adalah bertentangan dengan firman ALLAH yang bermaksud: “Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” (Surah Al-Baqarah : 187)

Mohd Yaakub berkata, jelas menerusi ayat ini waktu untuk bersahur tamat apabila berkumandangnya azan untuk solat subuh,” katanya.

Satu lagi kesalahan kata penulis buku Karya Bestari ini, adalah setelah seharian berlapar dan dahaga, apabila tibanya waktu berbuka kita seakan-akan tidak sabar untuk menjamah hidangan sehingga tidak sempat untuk berdoa sedangkan pada waktu itulah doa mudah untuk dimakbulkan oleh ALLAH.

“Oleh itu perbanyakkan doa dan apabila masuk waktu Maghrib segerakan berbuka. Waktu berbuka puasa pula dijadikan medan untuk kita melepas geram dengan menyediakan terlalu banyak jenis hidangan sehingga berlaku pembaziran serta makan secara berlebihan.

“Sewajarnya, ibadat puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang Muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang sederhana,” kata penulis buku Manisnya Iman.

Utamakan solat fardu

Kata Yaakub, sempena Ramadan, umat Islam berlumba-lumba untuk mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah. Ini adalah suatu amalan yang mulia dan wajar diberi pujian.

Namun begitu apa yang agak kurang wajar adalah apabila solat Tarawih yang sunat ini lebih diutamakan daripada solat fardu yang wajib.

Sebagai contoh jumlah umat Islam yang mengerjakan solat fardu secara berjemaah di masjid terutamanya ketika solat Subuh agak kurang berbanding dengan ketika solat Tarawih.

“Terdapat juga pihak yang berpandangan solat Tarawih ini hanya boleh dilaksanakan di masjid secara berjemaah,” katanya.

Pada zaman Rasulullah SAW, Baginda pernah mengerjakan solat Tarawih ini secara berjemaah bersama sahabat Baginda pada beberapa malam.

Kemudian Baginda meninggalkannya lalu solat Tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana khuatir ia akan diwajibkan. Oleh itu bagi yang tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Tarawih di masjid maka lakukan ia di rumah masing-masing.

Di tengah-tengah masyarakat juga Yaakub berkata, tersebarnya fahaman yang kurang tepat mengenai perkara yang membatalkan puasa serta makruh untuk dilakukan.

Sesungguhnya memasukkan sesuatu menerusi rongga badan seperti mengambil suntikan ubat, menyedut ubat gas ventolin inhaler ke dalam mulutnya bagi pesakit lelah, berbekam, menampal gigi dan mengambil darah,  tidak membatalkan puasa.

Apa yang membatalkan puasa adalah memasukkan makanan atau minuman ke dalam tubuh menerusi rongga badan atau metode yang lain,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: