Pengabdian Syeikh Soleh


AL-‘Allamah al-Imam Syeikh Soleh bin Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin al Rifa’i adalah seorang ulama unggul yang bersambungan nasabnya dengan Sayyiduna Ja’far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain bin Ali dan Fatimah al-Zahra’ binti Sayyiduna Muhammad SAW. Dilahirkan pada hari Khamis 10 Jamadilakhir tahun 1328 Hijrah di Dunqula, Sudan.

Ramai yang menyangka dan tersalah faham mengenai perkataan al Ja’fari pada penisbahan dirinya dan namanya sehingga menyangka bahawa beliau adalah pengikut mazhab Syiah al Ja’fariah sedangkan beliau berakidah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Maliki dalam ilmu Feqah. Manakala penisbahan kepada al Ja’fari hanyalah kepada keturunan dan datuk moyangnya sahaja.

Bapanya adalah seorang petani yang bersungguh-sungguh dalam menguruskan kerja perladangan demi menyara keluarganya. Manakala pada waktu malam beliau bangun dan beribadat kepada Tuhannya sehingga hampir waktu solat Subuh. Beliau pergi awal ke masjid, sama ada pada musim panas atau sejuk lalu membuka pintu masjid dan menyalakan lampu-lampu, menunggu para jemaah, menjadi bilal dan mengimamkan solat. Beliau beristiqamah dalam ibadahnya, sentiasa solat berjemaah dan duduk di dalam saf yang awal sepanjang umurnya yang melebihi 90 tahun.

Semenjak kecil lagi Syeikh Soleh memiliki perasaan belas ihsan dan kasih sayang kepada masyarakat sekitarnya. Apabila datang fakir. Beliau akan memberi barangan tanpa mengambil sebarang bayaran daripada mereka. Semenjak kecil lagi, beliau sibuk menuntut ilmu, berdamping dengan mushaf al-Quran serta menghafaznya ketika berusia 14 tahun di Masjid Dunqula, Sudan.

Beliau sentiasa pergi ke masjid dan sekiranya ditanya, ibunya sering menjawab: “Soleh berada di masjid menghafaz al Quran.”

Ketika tidur, beliau meletakkan mushaf di sisinya dan apabila terjaga pada bila-bila masa pada waktu malam, beliau akan membacanya.

Di antara guru yang bertanggungjawab dalam pentarbiahan rohaninya ialah Sayyid Muhammad al-Syarif iaitu cucu kepada ulama dan wali Allah yang masyhur iaitu Sayyid Ahmad bin Idris. Syeikh Soleh duduk di bawah pentarbiahannya semenjak berusia 19 tahun.

Belajar di al-Azhar

Syeikh Soleh pergi ke al-Azhar ketika berumur 16 tahun untuk menuntut ilmu daripada para ulama di sana.

Beliau pernah bermimpi melihat Sayyid Ahmad bin Idris berkata kepadanya: “Allah bersamamu, bacalah Feqah mazhab yang empat.”

Salah seorang syeikhnya berkata, “Sekiranya mimpi ini benar, bermakna engkau akan pergi ke Universiti al Azhar.”

Pemergiannya ke Mesir mengalami banyak kesulitan kerana jarak perjalanan dari Sudan amat jauh dan merumitkan dengan terpaksa menempuh padang pasir dan bukit-bukau.

Di al-Azhar beliau belajar dengan penuh kesungguhan dalam keadaan meninggalkan tanah air, keluarga dan anak-anak. Beliau tidak pernah mensia-siakan waktu dengan perkara yang tidak berfaedah walaupun seketika.

Syeikh Soleh juga tidak pernah meninggalkan syeikh-syeikhnya walau sekali melainkan sering bersama dan duduk dalam majlis pengajian mereka. Beliau berjaga malam untuk menuntut ilmu, berzikir, membaca al-Quran dan beribadat.

Beliau berkata: “Tidak ada suatu kelazatan yang setanding dengan kelazatan beribadat.”

Beliau juga menggunakan tasbih dengan seribu biji sering duduk di al-Azhar dengan bertasbih kepada Allah sehingga solat Subuh. Ketika usia mudanya, beliau mampu mengkhatamkan al-Quran sebanyak tiga kali sehari dengan taufik daripada Allah.

Ketika menuntut di al-Azhar, bapanya mengirim sebanyak 10 Pound Mesir setiap bulan. Pada era tahun 30-an, nilai tersebut adalah besar.

Akan tetapi Syeikh Soleh membelanjakan wang tersebut dengan bersedekah kepada pelajar miskin di al-Azhar.

Beliau hidup dan makan makanan yang ringan bersama mereka, bahkan seringkali tidak makan beberapa hari dan tidur dalam kelaparan.

Semasa pengajian, Syeikh Soleh amat bersungguh-sungguh dan banyak bertanya untuk mengambil segala manfaat dan ilmu tambahan daripada syeikh-syeikh yang mengajarnya. Pengajianya tidak hanya terhenti di al-Azhar, bahkan beliau berusaha untuk mencari ilmu di tempat lain seperti, pengajian Syeikh al-Syubrawi di Masjid al-Nur Mesir.

Di sana terdapat ramai syeikh yang telah mencurahkan faedah ilmiah, ijazah dan barakah kepada Syeikh Soleh sehingga menjadikan beliau bintang yang bersinar gemilang di kalangan jaguh-jaguh ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Antara mereka ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al Samaluti, Syeikh Muhammad Bakhit al Muti’i, Syeikh Habibullah al Syanqiti , Syeikh Ali al Sya’ib, Syeikh Yusuf al Dijwi, Sayyid Ahmad al Ghumari, Sayyid Abdullah al Ghumari, Syeikh Hasan al Masysyat, Sayyid Abdul Khaliq al Syubrawi, Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf dan ramai lagi.

Setelah menghabiskan seluruh usia dan kehidupan pada jalan ilmu, amal dan dakwah, beliau kembali menemui Ilahi pada petang Isnin 18 Jamadilawal 1399 Hijrah dan disemadikan Hadiqah al-Khalidin, al Dirasah Kaherah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: