Al-Quran Biru


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia

AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail a.s. Kebanyakan teks al-Quran di zaman awal Islam ditulis di atas kertas kulit yang dikenali sebagai velum menggunakan tulisan kufik. Di dalam bidang seni penulisan al-Quran terdapat sejenis al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran Biru.

Al-Quran Biru mempunyai set penulisan teks yang seragam dan ini menjadi ciri-ciri unik yang dimiliki oleh al-Quran ini. Al-Quran Biru dihasilkan dengan menulis ayat al-Quran di atas kertas kulit yang telah diwarnakan dengan pewarna biru.

Tulisannya ditulis dengan dakwat emas dalam 15 baris teks bagi setiap helaian kertas kulit yang digunakan. Setiap naskhah al-Quran Biru yang dihasilkan mempunyai sebanyak 650 helaian kertas kulit.

Berdasarkan kepada ciri-ciri unik dan mewah di atas, ia mengehadkan penaung kepada pengeluaran al-Quran Biru ini kepada golongan khalifah dan pembesar istana sahaja kerana kos untuk menyiapkan senaskhah al-Quran Biru adalah amat mahal pada abad ke-8 hingga abad ke-13 Masihi.

Penghasilan al-Quran Biru bermula dengan proses penyediaan kertas kulit yang diambil daripada kulit kambing. Bulu-bulu halus yang terdapat pada kulit kambing akan dibersihkan dan seterusnya ia di regang pada bingkai kayu dan dipaku untuk tujuan pengeringan.

Setelah kulit kering, ia akan disapu dengan bahan pewarna indigo yang menghasilkan warna biru dengan menggunakan berus. Ia juga mungkin direndam ke dalam cecair indigo untuk jangka masa yang lama bagi mendapatkan warna biru gelap.

Selepas proses mewarna, kulit akan dikeringkan sebelum proses menulis. Kertas kulit yang telah kering akan dipotong mengikut saiz yang diperlukan.

Kebiasaannya helaian Al-Quran Biru dihasilkan dalam bentuk melintang. Kemudian penulis khat akan menyediakan garisan bagi memastikan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis adalah lurus.

Penulis khat akan menggunakan kapur atau mata pen yang tumpul untuk menghasilkan garisan teks. Setelah garisan yang diperlukan siap, penulis khat akan mula menulis aya-ayat al-Quran menggunakan dakwat berwarna emas.

Al-Quran Biru dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal malah ia lebih kepada tujuan hiasan. Tulisan kufik yang digunakan tidak mempunyai baris dan titik.

Mengikut dapatan kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti Neumier, ia dijadikan sebagai hadiah yang bukan sahaja melambangkan kekayaan pembuatnya malah ia juga melambangkan status kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemerintah.

Selain biru, terdapat naskhah al-Quran yang ditulis dengan tulisan perak di atas kertas kulit berwarna seperti coklat dan ungu. Al-Quran ini merupakan antara koleksi manuskrip Islam di Masjid Kasba di Tunisia daripada Khalifah Al-Mutawakkil pada abad ke-15 Masihi.

Dua buah masjid besar yang mempunyai naskhah al-Quran ini di dalam simpanan mereka ialah Masjid Besar Khairouan dan Masjid Besar Cardoba. Selain masjid, naskhah atau helaian al-Quran Biru ini turut dimiliki oleh beberapa buah muzium tersohor seperti Muzium Metropolitan, Muzium Sackler di Harvard, Chester Beatty Library dan di Malaysia helaian al-Quran yang cantik ini boleh dilihat di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Muzium Kesenian Islam Malaysia mempunyai sehelai muka surat al-Quran Biru yang dihasilkan pada abad ke 9 – 10 Masihi di Afrika Utara. Ia merupakan antara artifak terbaru yang dipamerkan di dalam Galeri Al-Quran dan Manuskrip

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: