Archive for Ogos 2012

Ketokohan keluarga Musa bin Shakir

PADA zaman Abbasiah, iaitu semasa pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, keluarga Musa bin Shakir sangat terkenal kerana penguasaan mereka dalam bidang matematik, khususnya geometri. Malah mereka juga menguasai dalam bidang astronomi serta falsafah.

Musa bin Syakir merupakan seorang ilmuwan terbilang kerana kejayaan yang dicapai turut dikongsi bersama ketiga-tiga anaknya, Abu Jaafar Muhammad, Ahmad dan Hassan.

Pada zaman Abassiah, rakyatnya suka belajar dan menimba ilmu. Mereka memanfaatkan sepenuhnya kekayaan yang dimiliki untuk membeli buku yang diperoleh dari Rom. Malah mereka juga mengupah penulis untuk menghasilkan pelbagai buku dan ada di antara penulis yang memperoleh gaji sehingga 500 dinar.

Antara kejayaan Musa dan anak-anaknya ialah dengan melakar dan mencipta puluhan air pancuran (air pancut) yang digunakan untuk menghiasi istana khalifah sehingga membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang lumayan.

Salah seorang anaknya, Abu Jaafar Muhammad amat tersohor kerana memiliki ilmu astronomi, kejuruteraan dan mantik.

Mantik ialah ilmu yang digunakan dalam ilmu kalam atau ilmu falsafah. Kepakaran seorang lagi anaknya, Ahmad yang menguasai ilmu mekanik, sementara Hasan pula pakar dalam bidang kejuruteraan dan mekanikal.

Mereka telah menghasilkan beberapa kitab, iaitu Kitab al-Hiyal yang mengandungi pelbagai gambar mengenai tabung, paip dan air pancuran sebagai memenuhi keperluan ketika itu.

Hasil rekaan tabung mereka banyak digunakan di masjid, rumah dan tempat berhimpun sebagai bekas minuman, berwuduk, menyimpan dan memindahkan air.

Kemampuan mereka juga menyerlah apabila berjaya menghasilkan pancutan air berbentuk bunga teratai dan air yang memancut keluar seperti bentuk perisai.

Malah, anaknya juga menghasilkan buyung air yang dibawa oleh kanak-kanak dan diberikan juga kepada mereka yang mahu berwuduk.

Paling unik, rekaan mereka berasaskan teknologi tekanan udara dan proses naik turun air dari buyung. Selain itu juga mereka turut mencipta pelita yang boleh menaikkan sumbu dan menuang minyak dengan sendiri hinggakan apabila orang melihatnya akan menyangka api tidak memakan sumbu itu walaupun pada hakikatnya ia berlaku secara automatik. Malah, mereka juga turut mencipta alat menimbang emas.

Semua hasil rekaan mereka telah diabadikan dalam Kitab al-Qarsatun yang bererti timbangan dan Kitab Wasfil Alat yang bermaksud penjelasan yang boleh mengeluarkan bunyi.

Karya mereka juga telah diakui oleh ilmuwan Barat kerana beliau dan anak-anaknya telah membuat sumbangan yang besar pada zaman kegemilangan Islam.

Ilmuwan Barat juga telah menterjemahkan karya mereka, meneliti dan melakukan penambahan.

Musa juga telah menyatakan kewujudan satu tarikan bernama graviti yang menyebabkan planet di langit terikat antara satu dengan yang lain dan juga jasad jatuh ke bumi. Teori ini yang telah dikaitkan dengan nama ahli fizik Barat, Isaac Newton (1642-1727 Masihi).

Musa bin Shakir dengan gelaran Banu Musa telah dilahirkan pada 805 Hijrah di Baghdad dan meninggal dunia pada 873 Hijrah.

Azab dunia dan kubur

Azab

bencana alam seperti gempa bumi atau banjir diturunkan bagi mengingatkan umat manusia akan azab Allah SWT. – Gambar hiasan

DALAM pengertian keagamaan, hukuman yang ditimpakan kepada seseorang sebagai akibat daripada perbuatannya, disebut azab. Hukuman itu sendiri terbahagi kepada dua, iaitu yang berasal daripada Allah SWT dan yang dilakukan suatu golongan terhadap golongan lain.

Contoh hukuman daripada Allah SWT adalah hukuman yang ditimpakan kepada Firaun dan para pengikutnya agar mereka menyedari kekeliruannya dan kembali ke jalan yang benar (rujuk az-Zukhruf: 48).

Adapun contoh hukuman daripada suatu golongan kepada golongan yang lain adalah seksaan yang dilakukan Firaun serta para pengikutnya terhadap Bani Israel dan pembunuhan semua bayi lelaki mereka (rujuk al-Baqarah: 49; al-‘Araaf: 141; Ibrahim: 6; ad-Dukhaan: 30-31)

Di dalam al-Quran dijelaskan bentuk dan sebab azab. Contoh sebab azab kerana kafir kepada Allah SWT diterangkan dalam surah al-Anfal ayat 35, dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT dalam surah al-‘Araaf ayat 36-39. Salah satu contoh bentuk azab Allah SWT di neraka adalah minuman daripada air yang sedang mendidih. Ini terdapat dalam surah al-An’am ayat 70.

Pada umumnya, kaum Asy’ariyah (penganut aliran Asy’ariyah) meyakini adanya azab Allah SWT yang ditimpakan kepada manusia ketika masih berada di dunia ini. Dalam al-Quran dikisahkan adanya azab dalam pelbagai bentuk bencana alam.

Bangsa-bangsa terdahulu yang ingkar atau zalim tertimpa bencana itu, misalnya angin kencang yang amat dingin dan membinasakan kaum Ad (rujuk al-Haqqah: 6)

Nabi Hud a.s diutus Allah SWT untuk memberi peringatan kepada kaum Ad yang sesat (surah al-Ahqaf, ayat 21) kerana mereka menyembah objek lain selain Allah SWT. Mereka tidak mahu mendengarkan Nabi Hud dan tetap membangkang. Akhirnya, Allah SWT menurunkan azab kepada kaum Ad dalam dua tahap. Salah satu azabnya berupa kekeringan atau kemarau yang sangat dahsyat.

Sebelum bencana banjir diturunkan, Nabi Nuh a.s sudah mengingatkan umatnya akan azab Allah SWT. Namun mereka tetap membangkang dan menolak ajakan Nabi Nuh a.s. Akhirnya bencana banjir besar ditimpakan kepada kaum Nabi Nuh a.s kerana mereka berbuat zalim. Atas perintah Allah SWT, Nabi Nuh a.s dan kaumnya yang bertakwa membina bahtera besar agar mereka terhindar daripada bencana bah (banjir besar).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, ada dua pendapat tentang azab kubur. Pertama, menyatakan bahawa azab kubur berbentuk penyeksaan secara fizikal, sedangkan yang kedua berpendapat bahawa azab kubur hanya merupakan pengalaman rohani.

Meskipun demikian, tidak semua ulama, terutama ulama moden, berpendapat bahawa azab kubur itu ada. Sebahagian daripada mereka tidak percaya akan adanya azab kubur.

Para ahli ilmu kalam berpendapat bahawa azab di akhirat berlaku secara fizikal. Hal ini didasarkan pada keyakinan mereka tentang adanya kebangkitan jasmani seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama. (Yaasin: 78-79)

Kaum sufi menolak kebangkitan (dibangunkan kembali) jasmani. Menurut mereka, jasmani bersifat sementara. Apa yang akan dibangkitkan (dibangunkan kembali) di akhirat adalah rohani. Oleh hal yang demikian itu, azab akhirat itu bersifat rohani

Puasa sunat 6 hari bulan Syawal boleh dilakukan berselang-seli

Saya ada beberapa soalan mengenai puasa pada Syawal. Adakah berdosa sekiranya tidak melakukan puasa enam berkenaan disebabkan sakit atau sesuatu sebab? Adakah puasa enam mesti dilakukan berturut-turut? Bagaimana sekiranya dilakukan penghujung Syawal disebabkan banyak jemputan hari raya? Soalan lain iaitu bagaimana untuk saya menjadi wanita yang bahagia dunia dan akhirat?

PUAN ROHANI
Ipoh, Perak.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.

Hadis ini jelas menerangkan mengenai puasa enam hari pada Syawal selepas menempuh sebulan Ramadan. Hukum puasa enam hari pada Syawal adalah sunat.

Sunat bermaksud mendapat pahala sekiranya mengerjakannya dan tidak berdosa sekiranya meninggalkannya. Oleh itu tidaklah berdosa jika tidak melakukan puasa enam hari pada Syawal.

Seterusnya, Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu Syarah al-Muhazzab bahawa dalam mazhab as-Syafii disunatkan berpuasa enam hari Syawal kerana ia ada disebutkan di dalam hadis. Mereka berpendapat, sunat berpuasa secara berturut-turut.

Tetapi jika seseorang melambatkannya, ini dibolehkan kerana ia masih mengikut garis panduan hadis. Kami tidak pertikaikan pandangan ini, malah ia juga adalah pandangan Ahmad dan Daud.
Bukan syarat

Oleh itu, bukanlah suatu syarat untuk melakukan puasa enam hari pada Syawal secara berturut-turut. Sekiranya puasa berkenaan dilaksanakan secara berasingan, maka perkara itu dibolehkan.

Sekiranya dapat dilakukan dengan segera tanpa melengah-lengahkan, maka perkara itu adalah lebih baik.

Allah SWT berfirman dalam beberapa ayat antaranya dalam surah Ali Imran ayat 133 (yang bermaksud): Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan-mu.. Begitu juga dalam surah al-Maaidah ayat 48 (yang bermaksud): Maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan..

Justeru, kita seharusnya menyegerakan puasa enam kerana dibimbangi sekiranya kita melengah-lengahkan akan menyebabkan kita terlupa atau boleh membawa pelbagai masalah.

Namun tidaklah menjadi kesalahan jika dibuat pertengahan bulan atau akhir bulan. Ini adalah pandangan Imam Syafii dan Hambali.

Laksana kewajipan agama

Untuk soalan seterusnya, saya ingin memberi beberapa nasihat kepada Puan mengenai perkara yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.

Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.

Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka. Demikianlah, wallahualam.

Niat puasa qada Ramadan perlu didahulukan kerana wajib

Bersama Ustaz Zahazan

ASSALAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya mengenai puasa enam Syawal. Saya masih mempunyai puasa yang kena qada, tetapi bolehkah saya mengerjakan puasa enam terlebih dulu? Dan manakah yang lebih baik, puasa enam berturut-turut atau sebaliknya?

RAHIMAH,
Kuala Lumpur.

AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Imam an-Nawawi RHM meletakkan satu bab dalam kitab Riadis Sholihin, iaitu bab mengenai sunat puasa enam hari pada Syawal. Hadis yang terkandung dalam bab ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikutinya dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.
Begitulah tawaran besar yang diberikan kepada orang beriman bagi mereka yang melaksanakan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Ini bererti bagi mereka yang tidak membuatnya, maka ia tidak akan memperoleh kelebihan itu.

Sekiranya seseorang itu belum menyelesaikan qada puasa Ramadan yang ditinggalkannya, lalu dia berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal, maka perkara itu harus dilakukan cuma tidak mengikut susunan. Kerana sepatutnya ia hendaklah menyelesaikan dulu qada puasa Ramadan, barulah diikuti dengan puasa sunat enam hari Syawal.

Ada juga ulama berpandangan sekiranya ia menyatukan niat puasa wajib dan puasa sunat seperti puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal, maka ia akan beroleh kedua-duanya. Sekiranya ia meniatkan satu daripada dua, maka ia akan memperoleh ganjaran puasa yang ia niatkan dan gugurlah ganjaran puasa yang satu lagi. Perkara itu dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya, dalam kitab al-Fatwa al-Kubra.

Walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa afdalnya dikerjakan puasa enam itu hendaklah berturut-turut selepas Aidilfitri seperti ungkapan dalam hadis kemudian dia susulinya, namun ganjaran puasa enam ini tetap diperoleh sekalipun dia tidak mengerjakannya secara berturut-turut selepas hari raya.
Imam an-Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim, iaitu yang lebih utama dilaksanakan puasa enam itu berturut-turut selepas hari raya. Sekiranya dilewatkan sehingga akhir Syawal, maka ia tetap mendapat ganjaran itu. Syeikh Atiyyah Saqr, iaitu bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar apabila ditanya persoalan itu menjawab bahawa sudah cukup bagi orang yang melakukan puasa ganti (qada) dan puasa enam dengan berniat puasa qada pada Syawal. Ia akan diberi dua ganjaran sekiranya dia bertujuan demikian dengan syarat dia hendaklah mendahulukan niat puasa qada terlebih dulu. Puasa qada adalah wajib manakala puasa enam adalah sunat. Demikianlah, wallahualam.

Dahulukan puasa wajib daripada sunat

Oleh Ustaz Zaharudin Abdul Rahman

PUASA sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini.

Namun, di kesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa (sunat Syawal) itu bermegah dan riak dengan amalannya.

Ini kerana ada yang tidak menyedari, ada ketikanya mereka sendiri menunjuk-nunjuk dengan amalan yang dibuat kepada orang lain dengan berbangga memberitahu sudah melaksanakan amalan sunat itu untuk tempoh beberapa hari.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi dicemari oleh hebahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘siapa lebih hebat.’

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunat seseorang itu kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riak.

Memperdengarkan amalan masing-masing khususnya puasa tanpa keperluan dengan mudah boleh menjerumuskan seseorang dalam kesalahan ‘sumaah’ iaitu menunjuk-nunjuk amalan dengan menyebutnya kepada orang lain.

Apabila ia dilakukan, Rasulullah SAW kerap menjelaskan amalan demikian adalah ‘tertolak’ serta tiada lagi nilaiannya di sisi Allah.

Ibadat sedemikian sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah bagi memperoleh ganjaran Allah, bukannya ganjaran pujian manusia.

Saya ‘meluat’ jika ada individu memberitahu amalan soleh dilakukan kepada saya seperti puasa sunat enam tanpa keperluan.

Itulah hakikat balasan Allah buat ibadat individu tiada ikhlas yang suka menunjuk.

Mereka memaklumkan ibadat dilakukan itu agar mendapat kepujian dan rasa hebat, namun rupanya tindakan mereka hanyalah mengundang pandangan rendah orang ramai. Sedarlah dan jauhi perbuatan ini.

Ziarah dan Puasa Sunat

Tidak dinafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan.

Tatkala itu, ia dibolehkan berikutan setiap individu ingin menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Inilah yang saya katakan sebagai keperluan, hanya bila perlu ia didedahkan itupun dengan kesukaran untuk menjaga niat di dalam hati.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal dan Qada

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti Ramadan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat Syawal dan puasa qada? Jawapannya sudah tentu puasa qada.

Ini terbukti dari hadis Kudsi yang sahih bahawasanya: “…dan tidaklah hampir kepadaku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qada puasanya selama 30 hari, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat.

Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dulu pada ketika itu kerana waktu sunat puasa Syawal yang singkat berbanding Qada (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus diingat, walaupun waktu bagi puasa Qada adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu jika ajal yang tiba-tiba menjengah.

Seseorang yang mati sebelum menggantikan puasa Ramadan tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat Syawal itu sekali gus berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “… barang siapa yang mempunyai keinginan untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan Allah SWT baginya pahala penuh, maka jika ia kemudian mempunyai keinginan untuk melakukannya, dituliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda. (Riwayat Al-Bukhari)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qada adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar daripada sunat Syawal.

Ini kerana puasa qada adalah puasa wajib dan adalah ‘hutang’ ibadat dengan Allah SWT berbanding puasa Syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu menggabungkan puasa qada dan Syawal sememangnya amat popular, namun pandangan ringkas saya adalah seperti berikut:

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya.

Ini kerana berdasarkan pengetahuan saya tiada dalil khusus membuktikan Rasulullah SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya. Apabila Rasulullah SAW, sahabat dan ahli ibadat yang soleh tidak melakukannya, maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Rasulullah SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujah-hujah yang menyebabkan pandangan yang mengharuskan penggabungan ‘qada dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu:

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qada (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat Jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’.

Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadat wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (mantan Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan), mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain.

Ini kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajipannya.

Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka.

3. Tindakan Aisyah RA yang melewatkan Qada pula boleh dijadikan hujah beliau mengasingkan kedua-dua puasa qada dan Syawal.

Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah RA tidak menggabungkannya).

Berdasarkan hadis Riwayat Muslim, bahawasanya Aisyah RA menyebut: “Kewajipan ke atasku untuk berpuasa (Qada) daripada puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban.

4. Amalan wajib (qada) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan menggabungkan ia dengan niat puasa sunat boleh merosakkannya.

Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qada saja, adapun Syawal itu dipendam saja dengan harapan Allah SWT menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat Syawal berkenaan kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu.

Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadis Rasulullah SAW bahawasanya: “Barang siapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari daripada Syawal (puasa), maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun),” (Riwayat Al-Bukhari)

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu bagi puasa Ramadan, mungkin saja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadan perlulah melengkapkannya dulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawal.

7. Hujah ulama yang ‘mengharuskan’ adalah berdasarkan hadis riwayat Bukhari bahawa: “Sesungguhnya amalan itu berdasarkan pada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.”

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang dicadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan ketika lafaz takbiratul ihram disebut, jika tidak, niat itu tidak dikira.

Justeru, niat juga ada disiplinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadat.

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini, eloklah ia tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib daripada sunat.

Rebutlah kelebihan puasa sunat Syawal


Oleh – Roshlawaty Raieh

Hari ini masuk hari kelapan kita menyambut Syawal. Ini bererti Ramadan tahun ini telah pergi meninggalkan kita semua. Terdetik di hati penulis, apakah kita sudah bersungguh-sungguh memanfaatkan bulan penuh keberkatan itu dengan sebaik-baiknya atau mungkinkah kita membiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa memberi sebarang makna pada kita? Tepuk dada, tanya selera.

Berbicara tentang Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu membawa berbagai-bagai erti dan makna. Membawa kembali pelbagai kenangan dan ingatan. Suka dan duka silih berganti. Kenangan manis dan kenangan sedih.

Apa jua yang berlaku, 1 Syawal tetap disambut dengan penuh gilang-gemilang. Tak kira tua, muda, miskin dan kaya semuanya bergembira tatkala tarikh kemenangan itu menjelma. Ada antara kita menikmati juadah pagi raya seperti lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah.

Sementara menanti makan tengah hari pula, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.

Kemeriahan sebegini bukan sahaja dirasai pada 1 Syawal sahaja, tetapi sepanjang bulan tersebut. Bagi yang berpuasa sunat enam Syawal (dimulakan pada 2 Syawal, iaitu sehari selepas Hari Raya Aidilfitri) berpuasa bukanlah penghalang untuk tidak menghadiri jamuan rumah terbuka sahabat handai dan jiran-jiran.

Tidak salah untuk hadir, yang penting, beritahu pada tuan rumah bahawa kita sedang berpuasa. Ini bagi menjaga hati dan perasaan rakan-rakan yang mengundang kita.

Memberitahu sahabat handai bahawa kita sedang berpuasa pada waktu itu bukanlah suatu yang riak. Perkara sebegini tidak termasuk dalam riak, asalkan niat kita betul dan semata-mata menjaga perasaan rakan-rakan.

Pelaksanaan puasa enam Syawal

Sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama mengenai puasa itu dilaksanakan, sama ada secara berturut-turut atau berselang- selang.

Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Mohd Shukri Hanapi berkata, ada juga pandangan lain boleh dilakukan secara berselang-selang (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya Syawal. Hal ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam Syawal, Baginda SAW hanya menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Oleh itu, puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan pada mana-mana hari dalam Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir Syawal.

“Adalah lebih afdal (utama) disegerakan pelaksanaan puasa sunat enam Syawal. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang amat luas, seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133) ,” katanya.

Beliau berkata, masih ramai tidak sedar akan ganjaran pahala disediakan Allah sekiranya berpuasa enam.

“Saya berpendapat, langkah paling utama menjelaskan kepada umat Islam tentang hal ini. Tanggungjawab menjelaskannya tidaklah terletak pada golongan ustaz sahaja, malah setiap individu berilmu patut memainkan peranan.

“Misalnya, seorang bapa berperanan mendidik ahli keluarganya berpuasa sunat secara bersama. Begitu juga seorang ketua di pejabat, dia berperanan mengajak pekerjanya sama-sama melaksanakan puasa sunat enam Syawal dengan menetapkan hari-hari tertentu dalam Syawal untuk mereka berpuasa selagi tidak membebankan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai alasan sering kali diberikan oleh golongan yang tidak mahu menunaikan puasa sunat, antaranya, menerima banyak jemputan kenduri atau rumah terbuka, ingin menziarahi rumah sahabat handai, letih melayan anak-anak dan banyak kerja berat hendak dilakukan.

“Alasan paling popular pada ketika ini ialah puasa enam Syawal itu hanya sunat. Tidak berdosa pun jika tidak melakukannya. Hal ini bertepatan peribahasa Melayu “Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih”,” katanya.

Beza puasa Syawal dan Ramadan

Puasa Syawal dan Ramadan mempunyai beberapa perbezaan. Pertama, dari aspek hukum, puasa Syawal sunat, manakala puasa Ramadan wajib dan termasuk dalam satu daripada Rukun Islam. Sesiapa meninggalkan puasa Syawal tidak diwajibkan qada (ganti), tetapi berbeza dengan orang yang meninggalkan puasa Ramadan, mereka wajib mengqadanya semula pada hari-hari lain. Kedua, puasa Ramadan (wajib) lebih tinggi darjatnya daripada puasa Syawal (sunat). Ketiga, puasa Syawal boleh terus dilakukan bermula 2 Syawal, manakala puasa Ramadan tertakluk kepada penetapan anak bulan terlebih dahulu atau secara hisab (mencukupkan 30 hari Sya‘ban). Keempat, jumlah hari puasa Syawal hanya enam hari sahaja, manakala puasa Ramadan dilakukan sebulan (30 hari).

Beliau berkata, disunatkan berbuka dengan buah kurma bagi mereka yang berpuasa enam Syawal.

“Tidak kira puasa wajib atau sunat, semuanya disunat berbuka dengan kurma, sama ada kering ataupun yang basah (paling afdal). Sekiranya tiada kurma, disunatkan berbuka dengan air. Hal ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa, iaitu “Nabi SAW berbuka sebelum solat (Maghrib) dengan beberapa biji buah kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tidak ada juga, Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

Gabung puasa qada dan sunat enam Syawal

Isu menggabungkan puasa qada dan sunat enam Syawal sememangnya amat popular di negara ini.

“Pandangan ringkas saya tentang perkara ini ialah tidak elok menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh badan dan lain-lain) untuk memisahkannya (dilakukan secara berasingan). Ini kerana, tidak ada dalil jelas membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada sahabat untuk menggabungkan antara kedua-duanya,” ujar Mohd Shukri.

Beliau berkata, apabila Nabi SAW, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, maka sudah pasti ia bukanlah amalan terpilih dan terbaik untuk diikuti, kerana pilihan Nabi SAW dan sahabat selama-lamanya adalah terbaik.

Kesimpulannya, elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan wajib (qada) daripada sunat (puasa sunat enam Syawal).

Madrasah Ramadan lahir insan takwa

Burhanuddin Jalal
Ramadan sudah berada di penghujungnya. Bagaimanakah pengajaran yang diperoleh sepanjang bulan Ramadan ini? Ramadan adalah bulan latihan atau madrasah, yang pada umumnya bertujuan untuk melatih umat Islam agar bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi.

Menurut Yusuff al-Qardawiy dalam bukunya al-Ibadah fil-Islam (2003), madrasah Ramadan bertujuan untuk menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan  bulan persediaan untuk jihad.
Profesor Dr Wahbah Zuhaili (1999) dalam Fiqh al-Islam wa adillatuh menyebut  bahawa ibadah puasa adalah ‘madrasah’  yang bertujuan untuk melahirkan insan  bertakwa berlandaskan ayat 183 surah al-Baqarah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.

Menurut Dr Wahbah Zuhaili lagi, madrasah itu juga untuk membina takwa melalui pendekatan berikut:

Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka.

Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri.

Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.
Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad daripada unsur yang memudaratkan.

Bina kekuatan al-madi, al-ruhi

Bagi Dr Mustaffa Siba’i (1956) pula menerusi bukunya, Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Dalam aspek kebendaan ia mencakupi aspek harta dan juga jasmani sementara aspek roh ia meliputi iman dan pemikiran.

Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya kita sebagai umat Islam dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan atau latihan (madrasah) yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam kehidupan atau pun profesyen kerjaya yang diceburi.

Tingkat motivasi

Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai unggul yang dinamakan takwa.

Dari aspek psikologi manusia terdiri dari empat komponen yang utama iaitu aspek fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen itu, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi diri ke arah kebaikan yang dituntut berlandaskan kehendak Islam.

Perubahan atau tindakan yang perlu dilakukan itulah yang dikategorikan sebagai sukatan pelajaran atau silibus yang perlu dilalui oleh setiap individu. Melalui latihan atau sukatan pelajaran yang dilalui dalam bulan Ramadan itu, diharapkan ia dapat membina generasi yang mantap dan kukuh secara luaran dan dalaman individu, dalam konteks kehidupan dan diharap sekali gus melahirkan generasi yang mantap iaitu generasi yang bukan dimanjakan, atau generasi yang berada di keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan sifat mujahadah, bersedia melawan hawa nafsu dan cabaran dan godaan sekeliling.

Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam hidup dan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.

Perkara ini penting disebut, kerana diharapkan madrasah Ramadan ini benar-benar dapat meningkatkan lagi semangat daya juang dalam  kehidupan seperti Ali bin Abi Talib, yang mempamerkan semangat daya juang dan keberanian yang tinggi dengan tidur di rumah nabi dalam peristiwa Hijrah.