Kalendar Islam


Oleh ros mahwati ahmad zakaria
Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia

MANUSKRIP Tawali’ al-Budur Fi Tahwil al-A’wam Wa al- Shuhur, sebuah risalah tentang kalendar dari Uthmaniyyah Turki pada 1686-87 Masihi / 1098 Hijrah.

UMAT Islam sedia maklum bahawa kalendar Islam bermula ekoran dari peristiwa Hijrah tahun 622 Masihi, ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Perkataan ‘Hijrah’ dipilih sebagai nama kalendar Islam kerana merupakan simbol perbezaan antara kebenaran daripada kebatilan.

Hakikatnya, kalendar Islam telah diasaskan 17 tahun selepas peristiwa tersebut. Individu yang bertanggungjawab dalam pengasasan kalendar Islam adalah khalifah Islam yang ke empat, Umar al-Khattab r.a, untuk digunakan dalam pentadbiran empayar baru.

Kalendar Islam ini mengikut sistem pusingan bulan. Umat Islam bukanlah satu-satunya masyarakat yang menggunakan kalendar mengikut sistem ini. Tamadun purba seperti Babylon, Greek, Mesir, Aztec, Hindu dan China turut menggunakan sistem lunar.

Namun, keistimewaannya bagi umat Islam adalah kerana mereka bergantung kepada sistem ini untuk menyempurnakan amal ibadat dan juga keperluan harian dalam menentukan waktu.

Sama seperti kalendar solar, kalendar Islam juga mempunyai 12 bulan. Nama bulan-bulan ini diambil daripada kalendar yang pernah digunakan oleh kaum jahiliah di Mekah sebelum kedatangan Islam.

Di dalam kehidupan masyarakat Islam, selain sembahyang lima kali sehari, mereka juga dikehendaki berpuasa pada bulan Ramadan. Ketibaan bulan Ramadan sering mendapat perhatian seluruh umat Islam di setiap pelosok dunia.

Yang sering menjadi titik penting kedatangan bulan Ramadan ialah kehadiran anak bulan yang menandakan bulan Ramadan bermula selepas bulan Syaaban.

Namun kebolehan melihat anak bulan di setiap tempat adalah berbeza walaupun mereka tinggal di bawah satu langit yang sama. Faktor utama yang mempengaruhi kemampuan untuk melihat anak bulan ini ialah cuaca seperti hujan, mendung atau berawan.

Namun ahli astronomi Islam yang menjalankan pengiraan peredaran bulan selalunya mampu menjangkakan kemunculan anak bulan di sesuatu tempat dengan agak tepat.

Ahli astronomi Islam atau ahli falak merupakan golongan yang penting dalam menentukan ketepatan kalendar Islam. Di zaman kerajaan Islam Turki Uthmaniyah, satu jenis kalendar telah dihasilkan oleh ahli astronomi yang dikenali sebagai Ruznama.

Ruznama ialah kalendar yang mudah dibawa dalam format skrol diperbuat daripada velum atau kertas bertera air. Ia terkenal dalam abad ke 17 Masihi / abad ke 11 Hijrah semasa pemerintahan empayar Uthmaniyah.

Kebanyakan ruznama mempunyai maklumat berkaitan dengan astronomi seperti waktu sembahyang, masa matahari terbenam dan bilangan hari dalam kalendar berdasarkan peredaran bulan.

Antara judul kitab astronomi yang dipamerkan di galeri Quran dan Manuskrip Muzium Kesenian Islam Malaysia ialah kitab Tawali Al-Budur Fi Tahwil Al-Sinin Wa’l- Shuhur, Kitab Al-Mulkis Fi Qawat Al-Kawakib Wa Sifhta Wa Sawrtaha Fi ‘Ilm Al-H’Aya Wa Al-Falak dan Sharh Al-mulakhas fi al-Hay’ah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: