Rebutlah Keistimewaan Ramadhan


Kedatangan Ramadhan dialu-alukan bersama dengan peningkatan dalam menambahkan kuantiti dan kualiti bagi setiap amalan soleh disamping jihad yang bersungguh dan berterusan di dalam menangkis segala serangan nafsu serta mengikis segala sifat mazmumah yang masih bersarang dalam diri. Ketibaan Ramadhan dengan segala  tawaran istimewa yang berbentuk pengampunan dosa, penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka. Peluang keemasan yang datang janganlah dilepaskan begitu sahaja tanpa ada di sana usaha untuk mendapatkannya demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jika kita berebut dengan tawaran murah yang memenuhi pasaraya dan kedai-kedai terutama menjelang hari raya sedangkan ramai di kalangan kita tertipu dan rambang mata mengapakah kita tidak begitu tertarik dengan tawaran Allah yang semenangnya jelas dan benar. Tawaran berharga yang dibuat ini untuk dikecapi oleh seluruh makhlukNya yang taat dan bertaqwa. Adakah kita akan berasa rugi jika kita sama-sama berlumba untuk menggapainya. Adakah kita akan menjadi makhluk yang tolol dan bodoh kerana terlalu percaya kepada tawaran yang dijanjikan oleh Allah ini.

Jika kita berasa rimas apabila kurang mandi yang menyebabkan badan dipenuhi daki dan rambut berlumuran kelimumur maka mengapakah kita tidak merasa diri ini begitu bersalah dan rimas apabila disaluti najis dosa dan hati pula dipenuhi bintik dosa. Jika kita sentiasa mencari sabun dan syampu yang terbaik untuk menanggalkan daki dan kelimumur mengapakah kita tidak menggunakan doa dan zikir yang terbaik untuk menanggalkan segala najis dosa yang ada pada diri yang hina. Mengapa kita merasa hina jika tubuh badan kita kotor dengan najis dan bauan yang memualkan sedangkan kita boleh berasa selesa dengan najis dosa yang menyaluti diri. Mengapa kita berasa hina di hadapan manusia dengan keadaan badan yang tidak terurus sedangkan kita tidak merasa apa-apa kesalahan terhadap Allah Tuhan  Pencipta kita dengan dosa yang bertambah. Janganlah sekali-kali kita memandang maksiat itu sebagai suatu yang kecil sebagaimana orang munafik yang melihat dosa seperti lalat yang akan terbang dari hidung yang dihinggap dengan hanya perlu menggunakan tangan sahaja. Kita hendaklah melihat dosa itu sebagaimana pandangan mukmin sejati di mana dosa dilihat seperti gunung besar yang mahu menghempap diri.

Kita dalam mencari keuntungan dalam sebarang perniagaan yang diceburi semtiasa memerhati kepada saingan dan faktor yang boleh membawa keuntungan atau kerugian. Biasanya seorang yang berjaya akan mengetahui dan sentiasa berhati dengan sebarang risiko yang membahayakan diri dan perniagaannya.Jika risiko kerugian itu datang daripada seorang yang bernama manusia maka dia sentiasa menjauhi manusia tadi. Tetapi kita sebagai manusia sentiasa menjaga perkara tersebut demi mencari keuntungan yang tidak seberapa sedangkan dalam masa yang sama kita kita terus berdegil dan alpa walau pun telah tahu bahawa nafsu dan syaitan merupakan musuh utama yang jelas yang akan membawa kita kepada kerugian hidup di dunia dan akhirat sehingga kita dengan mudah menurut jejak dan ajakannya yang menyebabkan segala suruhan dan larangan Allah diketepikan tanpa merasa bersalah dan rugi. Kita boleh mengelak daripada terpedaya dengan risiko yang bakal merugikan kita dengan perniagaan dunia tetapi kita tidak mampu menahan diri daripada terheret dengan godaan nafsu yang mahu merosakkan kita sehingga kita akan menyesal di kemudian hari iaitu di alam akhirat pada hari pembalasan di atas segala amalan kita selama ini.Mengapa kita begitu berhati-hati dengan risiko berbentuk keduniaan tetapi kita memandang enteng terhadap kehidupan akhirat yang bakal ditempuhi. Mengapa kita mengabaikan nasihat nabi yang menyatakan bahawa kita di dunia ini seperti musafir yang hanya melalui kehidupan dunia bagi mencari bekalan sebelum sampai ke destinasi yang sebenar iaitu akhirat. Adakah kita berasa cukup dengan kemewahan dunia sedangkan di hari akhirat nanti kita akan papa kedana daripada amalan soleh. Sudah cukupkah kita ketawa gembira kerana memperolehi keuntungan dunia yang tidak seberapa malah akan ditinggalkan sebagai pesaka sedangkan kita bakal menangis menyesal di akhirat sana kerana tidak mampu membawa bekalan akhirat yang mencukupi.

Umat Islam seluruh dunia sama-sama mengerjakan ibadat puasa bagi menunjukkan ketaatan terhadap perintah Allah. Seluruh umat Islam tanpa mrngira pangkat dan harta, warna kulit dan bangsa, bahasa dan budaya sama-sama berpuasa dengan menahan lapar dahaga di siang hari dan menghidupkan malamnya dengan amalan sunat terutama solat terawih. Adakah kita merasakan bagaimana laparnya kita kerana berpuasa merupakan suatu perkara biasa yang telah dihadapi oleh saudara seagama kita di tempat yang lain yang kebuluran kerana kekurangan bekalan makanan akibat kemarau atau peperangan. Adakah tidak pernah terdetik di hati bagaimana susahnya si miskin yang hidup melarat dan memerlukan bantuan daripada kita. Atau kita hanya mampu merasakan lapar untuk diri kita sahaja sehingga tidak pernah memikirkan hal saudara kita yang lain. Ingatlah amaran Allah bahawa bukan daripada golongan orang yang beriman mereka yang tidak memikirkan hal saudaranya yang lain. Kita sebagai umat Islam yang hidup bersaudara mesti menanamkan sifat kasih sayang dan bertanggungjawab kepada saudara kita yang lain. Ingatlah dua perkara dan lupakan dua perkara. Dua perkara yang mesti diingati ialah kesalahan kita terhadap orang lain dan hutang dibuat yang mesti kita tunaikan. Dalam masa yang sama kita mesti melupakan dua perkara iaitu jasa kita terhadap orang dan kesalahan orang lain terhadap kita agar terhindarnya rasa dendam yang boleh merosakkan kita.

Marilah kita sama-sama menggunakan peluang yang terbuka ini untuk menghidupkan Ramadhan agar kedatangannya tidak disia-siakan.Rebutlah tawaran Allah ini dengan sebaiknya bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: