Perceraian tak patut musnahkan masa depan anak


Waris tidak kira daripada perkahwinan lampau atau sekarang tidak boleh dizalimi

SIRI 16

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan dan kewajipan ayah memberi makan serta pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian…” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan dan kewajipan ayah memberi makan serta pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian. – Surah al-Baqarah, Ayat 233Apabila seseorang itu ingin merancang pewarisan tidak kira sama ada anda seorang bapa, ibu, anak, suami, isteri, ibu saudara, abang, kakak atau nenek, perkara paling penting memahami sebab dan mengetahui niat utama berbuat demikian.

Hari ini niat juga dikenali sebagai objektif. Niat atau objektif yang baik lagi mulia tentunya akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT sementara niat jahat berlandaskan dendam, hasad dengki dan iri hati juga akan tetap menerima balasan setimpal dan azab.

Oleh itu, berwaspada apabila ingin melaksanakan perancangan supaya tidak kerugian baik di dunia atau akhirat kelak. Sebagai orang Islam, kita tidak boleh sekali-kali membelakangkan ilmu faraid walaupun kita sudah dibenarkan mengguna pakai instrumen lain seperti wakaf, hibah, hadiah dan wasiat.

Kita juga sering diingatkan tidak menggunakan kemudahan ini selain untuk kebajikan dan kebaikan demi mendapat balasan tertinggi daripada Allah SWT. Apa yang jelas, kita perlu memastikan apa juga hasrat dirancang adalah semata-mata untuk kebahagiaan waris pada hari kemudian bukan niat menidakkan hak atau mengkhianati bahagian ahli waris lain.
Perancangan pewarisan walaupun milik mutlak seseorang, tetapi masih perlu diingat Allah SWT lebih berkuasa menentukan segala-galanya. Sebagai pemilik harta, ayah atau ibu gunakan dengan cara yang betul mengikut kehendak syarak serta niat mendapat keredaan dengan melakukan perkara disukai Allah SWT.

Justeru, setiap perancangan bukan saja perlu jujur dan amanah tetapi niat ikhlas ke jalan Allah. Seterusnya kita juga perlu sentiasa berdoa supaya waris yang ditinggalkan akan dapat menggunakan harta serta hidup dalam keadaan aman dalam satu keluarga dan keturunan.

Kita juga diingatkan untuk menjauhi perkara menjurus kepada timbul niat jahat yang melanggar ketetapan Allah. Ini boleh berlaku dengan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan anak Adam. Sesungguhnya sesiapa yang lemah, akan mudah terdorong ke arah kejahatan.

Ada kalanya dalam keghairahan merancang masa depan, tanpa disedari kita sudah menzalimi darah daging sendiri ekoran dari kejadian buruk menimpa anda dan bekas pasangan. Kejadian begini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang dikasihi, ahli keluarga seperti abang atau kakak.

Sungguh tidak dapat dinafikan kesukaran dan kepahitan mengharungi proses perceraian, kesengsaraan memulakan hidup baru serta kepayahan membesarkan anak tanpa isteri atau suami yang boleh membawa pelbagai kesan kepada semua pihak terbabit.

Dalam konteks ini pasangan yang sudah bercerai perlu mengetepikan perbezaan sedia ada dan mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan perceraian tidak menjadi satu trauma berpanjangan sehingga memberi kesan sukar dilupakan atau menyekat pembangunan masa depan anak.

Kebiasaannya apabila berlaku perceraian ibu bapa, masa depan anak semakin kabur dan menjadi satu masalah besar kerana ibu dan bapa akan membawa hala tuju hidup sendiri. Perkara ini tidak terjadi jika ibu bapa memahami dan menyedari peranan mereka tidak terhenti walaupun perceraian berlaku.

Islam menegaskan tanggungjawab memelihara anak tetap terletak di bahu kedua ibu bapa. Tiada tolak ansur dalam isu ini terutama mengenai tanggungjawab kedua ibu bapa lebih-lebih lagi apabila berlaku perceraian.

Sepatutnya tiada timbul persoalan siapa yang akan memikul tanggungjawab kerana tanggungjawab ibu bapa kepada anak adalah tanggungjawab hakiki.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar: “Bahawasanya seseorang perempuan sudah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku
rumahnya tetapi bapanya sudah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda: Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Anak pasangan yang bercerai lebih berhak berada di bawah jagaan ibunya berbanding ayah dengan pertimbangan asas bahawa tugas mendidik anak sesuai dengan sifat lahiriah ibu yang lebih penyayang, lebih tahu dan sabar mendidik serta mengasuh anaknya. Walaupun begitu, hubungan anak dengan bapanya tidak terputus. Hubungan itu tetap kekal seperti kekalnya tanggungjawab bapa menyedia atau memberi nafkah walaupun tidak mendapat hak penjagaan anak.

Amat menyedihkan apabila perceraian menyebabkan timbul kebencian kepada anak kerana perasaan marah, dendam dan benci kepada bekas pasangan. Sikap buruk ini berpanjangan sehingga sanggup membuang anak sendiri tanpa menyedari sudah melanggar amanah Allah SWT. Ada yang bertindak lebih jauh dan nekad dengan tidak memperuntukkan nafkah terutama anak di bawah umur termasuk yang masih menuntut dalam perancangan mereka.

Tahukah kita tanggungjawab memberi nafkah penting untuk memastikan anak dapat meneruskan kehidupan dengan selesa sehingga mereka boleh berdikari.

Firman Allah yang bermaksud: “Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian…” (Surah al-Baqarah ayat, 233)

Perceraian tidak sepatutnya memusnahkan masa depan anak atau menidakkan hak dan bahagian mereka. Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab sekali pun tidak lagi sebagai suami isteri. Jadilah ibu dan bapa yang memegang amanah dengan memastikan anak mendapat nafkah dan doa sehingga menjadi anak yang salih.

Apa yang berlaku pada hari ini, walaupun sukar diterima, tetapi adalah satu kenyataan apabila bilangan bekas suami yang enggan membayar nafkah kepada anak sendiri dan bekas isteri, menunjukkan angka membimbangkan.

Sejak 2000 hingga 2011, 12,349 kes dikesan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) membabitkan keengganan bapa membayar nafkah kepada anak berdasarkan kes tuntutan nafkah. Kes begini berlaku dengan Wilayah Persekutuan mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,807 sementara negeri terendah adalah Perlis dengan 213 kes.

Kita berharap semua pihak terbabit dapat mengambil iktibar dan tidak terus menerus menzalimi amanah dan hak anak. Islam sudah menetapkan dengan jelas jika seseorang itu memilih untuk bercerai, maka ia perlulah dilakukan dengan tertib dan beradab.

Firman Allah yang bermaksud: “Talak (yang dapat dirujuk dua kali). Selepas itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Dalam banyak keadaan, tidak ramai yang berbuat demikian. Kebanyakannya lebih rela membuka aib atau pekung di dada dan menceritakan keburukan pasangan lazimnya tanpa diketahui sebab atau motif kerana berbuat demikian lebih bersifat peribadi.

Perlu diingat, waris tidak kira anak daripada perkahwinan terdahulu atau perkahwinan baru tidak boleh dizalimi dan dilupakan haknya kecuali sebab dibenarkan oleh syarak. Anak tetap mempunyai hak yang sama ke atas harta pusaka anda sekalipun sudah berkahwin semula

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: