Kahwin pada usia muda bukan perkara pelik


Oleh Asri Md Saman @ Osman

Cepat dirikan rumah tangga bagi pasangan berkasih sayang hindari zina, maksiat

RASULULLAH SAW memberi fokus kepada golongan muda kerana mereka permata yang berharga hinggakan seorang sarjana Islam pernah menyatakan, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara lihatlah masa depan remaja atau anak mudanya.

Namun, fenomena kita alami kini anak muda dikhayalkan dengan percintaan terlarang yang menyebabkan mereka lalai, lalu hanyut di arus noda dan maksiat. Kemudian timbullah perbuatan haram seperti zina, membuang bayi dan membunuh diri.

Percintaan terlarang yang mereka bina telah mengakibatkan zaman muda mereka hancur begitu saja. Islam telah menggariskan cara hidup cukup sempurna buat manusia sejagat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Israa’, ayat 32)

Banyak kesan akibat daripada perbuatan zina antaranya merosakkan nasab keturunan, mewujudkan gejala pembuangan bayi dan mencemarkan kehormatan.

Bagi mengelak gejala zina berleluasa, Islam telah menunjukkan alternatif yang berkesan iaitu berkahwin. Golongan muda yang terjerat dalam masalah percintaan sebelum berkahwin perlulah segera memperbetul gaya hidup mereka dengan mengesahkan hubungan melalui akad nikah.

Secara realitinya, sememangnya golongan muda amat teruja untuk berkahwin kerana secara fitrah gelora jiwa muda sememangnya bergejolak menyebabkan fikiran mereka tidak keruan dan hanya memikirkan pasangannya. Mereka ingin menyayangi dan disayangi.

Hal ini telah dinyatakan dalam firman yang bermaksud: “Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu: wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah ali-Imran, ayat 14)

Namun, terdapat beberapa kekangan yang menghalang golongan muda meneruskan hasrat murni mereka kerana dua faktor utama iaitu ibu bapa dan sumber kewangan. Hal ini menyebabkan ramai golongan muda menjerumuskan diri mereka dalam percintaan yang jauh daripada reda Ilahi.

Pada zaman generasi yang terdedah dengan sistem maklumat di ‘hujung jari’, ibu bapa kini harus sedar, masyarakat sedang diserang dengan budaya hedonisme, masyarakat dikelilingi hiburan yang melampau dan dipagari dengan kemaksiatan.

Oleh itu, jalan penyelesaian terbaik bagi menjaga pandangan lelaki yang beriman adalah dengan berkahwin. Hal ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan berpuasalah ia dapat memelihara daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa jangan memberi alasan bahawa anak perlu menamatkan pengajian di institusi pengajian sebelum berkahwin. Sememangnya itu satu kesilapan yang kebanyakan ibu bapa lakukan kerana syaitan dan hawa nafsu tidak mengira usia untuk disesatkan.

Golongan muda yang terdedah dengan persekitaran membangkitkan hawa nafsu wajar dinikahkan kerana dikhuatiri mereka akan terpengaruh dengan suasana persekitaran itu dan melepaskan syahwat pada jalan yang dilarang agama.

Faktor kedua yang menjadi pencetus kepada permasalahan ini ialah sumber kewangan. Dalam hal ini, golongan remaja perlu sedar untuk menjejakkan kaki ke jenjang pelamin sebenarnya bukanlah satu perkara yang sukar.

Masalahnya, masyarakat lebih suka menyusahkan diri kerana terlalu mengikutkan adat. Contohnya, sewaktu melangsungkan kenduri perkahwinan kebanyakannya mengidamkan baju mahal, pelamin mewah, juru solek dan makanan lazat untuk tetamu.

Jika mengikut hukum yang ditetapkan Islam segala-galanya akan menjadi mudah. Majlis kenduri ada dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing.”

Oleh itu, tidak menjadi permasalahan jika kita mengikut segala yang disarankan Islam, segala-galanya akan menjadi mudah dan senang kerana Islam adalah agama yang mudah dan praktikal.

Memberatkan perkara yang mudah sehingga melampaui batas kemampuan manusia hendaklah dijauhi. Islam tidak menyusahkan umatnya sebaliknya manusia menyusahkan diri mereka.

Perkahwinan di usia remaja suatu perkara yang sangat baik kerana dalam usaha pembinaan jati diri mukmin, perkahwinan perlu diberi penekanan supaya segala aspek ibadah menjadi tenang dan aman untuk dilaksanakan.

Hal ini ada dinyatakan Ibnu Abbas yang bermaksud: “Tidak sempurna ibadah seseorang sehingga dia bernikah.”

Janganlah memandang kahwin muda sebagai suatu perkara yang pelik sebaliknya lihatlah kemungkaran dan pergaulan bebas pada hari ini sebagai suatu yang sangat pelik, jijik dan kotor supaya suasana persekitaran masyarakat bersih daripada segala penyakit sosial.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: