Ekonomi, politik Islam sempurna jika patuh ajaran


Oleh Mohd Syakir Mohd Rosdi

Konsep qanaah, barakah beri kelegaan pemimpin urus sesebuah keluarga

ALI Yafie dalam karyanya Islam dan Masalah Kemiskinan pernah mengatakan, untuk merungkai permasalahan pembangunan sosioekonomi menurut al-Quran boleh disimpulkan kepada empat perkara.

Pertama, ajaran al-Quran mendorong pembangunan sosioekonomi dengan mendorong produktiviti masyarakat dalam bidang pertanian, perindustrian serta perniagaan. Tujuannya supaya pengeluaran mampu ditingkatkan seperti dikehendaki dalam menegakkan kehidupan.

Manusia mempunyai martabat yang layak baginya, disebabkan Allah SWT telah memuliakannya dalam firman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Allah SWT memuliakan anak Adam kerana mempunyai akal yang mampu untuk meningkatkan produktiviti supaya dapat mengukuhkan kemaslahatan ummah yang tidak akan dapat dibina melainkan mempunyai batas moral serta etika pembangunan selaras diajarkan Islam.

Kedua, Islam memberikan kebebasan kepada manusia untuk memiliki harta dan menikmatinya sebagai memenuhi kerangka kehendak manusia supaya menjamin martabat kemanusiaan dan mengelakkan pembaziran.

Ia penting supaya fungsi sosial tidak akan terabai dalam proses perlumbaan mengumpul harta kekayaan. Perkara ini juga diperbahaskan oleh Muhammad Syukri Salleh dalam karyanya ‘7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam’.

Beliau telah memberikan justifikasi mengapa manusia harus berlepas tangan daripada sistem bukan Islam kepada sistem Islam. Begitu juga, seharusnya menolak sistem yang hanya memasukkan kalimah Islam saja tetapi pengendaliannya masih menggunakan sistem Barat.

Antara perkara yang menjadi fokus beliau ialah rezeki dan kekuasaan adalah hak milik mutlak Allah SWT. Jika diteliti melalui saluran keimanan, sebenarnya rezeki sudah pun ditetapkan Allah SWT di Luh Mahfuz kepada setiap hamba-Nya.

Jika semut dalam batu pun masih dapat hidup dengan rezeki yang telah ditetapkan kepadanya, jadi, kenapa masih ada yang risau mengenai sumber rezekinya? Yang penting adalah usaha berterusan diiringi dengan tawakal.

Justifikasi ini saja tidak cukup untuk membuktikan kita tidak perlu terlalu bergantung hanya kepada harta kekayaan sebaliknya kembali melihat kebesaran Allah SWT.

Muhammad Syukri telah melihat bahawa keyakinan Barat terhadap kehendak manusia yang tidak terhad, tetapi perlu menghadapi sumber alam yang terhad menyebabkan mereka ghairah untuk mengumpulkan harta secukupnya.

Dalam Islam terdapat konsep yang dinamakan qanaah (berasa cukup) dan barakah (berkat). Dengan sifat itu, walaupun sedikit harta yang ada, tetapi cukup untuk menampung keperluan seisi keluarga.

Mereka hidup tenang tanpa perlu memikirkan penjagaan harta seperti kata Saidina Ali, jika kita mempunyai ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi jika kita mempunyai harta, kita yang perlu menjaga harta.

Ketiga, Islam sentiasa menjaga kesejahteraan sosial iaitu rohani dan jasmani. Dari segi rohani, Islam menekankan umatnya supaya menitikberatkan soal pendidikan dan keilmuan kerana ilmu mampu meningkatkan nilai takwa seseorang.

Imam Az-Zarnuji dalam kitabnya Ta’lim Al-Muta’lim berkata, kemuliaan seseorang manusia di sisi Allah SWT tidak diukur dengan banyaknya harta dan tingginya pangkat seseorang, tetapi diukur dengan tingginya nilai takwa.

Pemahaman terhadap isi kandungan al-Quran penting bagi meningkatkan keyakinan sewaktu menguruskan ekonomi politik negara. Kepakaran dalam bidang ekonomi politik juga diperlukan untuk menjadi bekal penting berhadapan persaingan hebat dari pihak Barat.

Untuk memiliki keyakinan dan kesungguhan dalam membina ekonomi politik Islam memerlukan ketakwaan yang tinggi. Hampirnya Allah SWT dengan kita akan memudahkan Allah SWT menjadi penyelesai dalam setiap permasalahan khususnya dalam ekonomi politik semasa.

Ekonomi politik Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan pelakunya harus melaksanakan seluruh ajaran Islam yang menjadi syarat supaya setiap amalannya diterima Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: