Hukum ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan)


Tulisan Mohd Hassan Adli Yahya

BARU-baru ini, forum yang saya hadiri bersama dua ahli panel terpaksa dihentikan gara-gara kelakuan satu pasangan yang duduk berdua- duaan di tempat agak terpencil berhampiran kawasan program diadakan.

Forum yang diadakan hanya bersambung semula beberapa minit selepas pasangan berkenaan dinasihati oleh penganjur meninggalkan kawasan berkenaan.

Saya tidak kesah sekiranya pasangan itu sama jantinanya tetapi yang membuatkan saya dan ahli panel lain tersentak ialah kerana mereka berlainan jantina. Maka, dalam artikel kali ini, suka untuk saya berkongsi pandangan mengenai perkara berkaitan ikhtilat.

Mungkin, ramai yang masih tidak mengetahui apakah maksud ‘ikhtilat’ dan apa kaitan dengan kes yang saya alami seperti dinyatakan.

Merujuk kepada kes yang berlaku itu, pastinya ramai sudah tahu ia membabitkan perihal khalwat iaitu keadaan di mana seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi (harus dinikahi) duduk berdua-duaan.

Dalam hal ikhtilat pula, ia membabitkan percampuran di antara lelaki dan perempuan ajnabi yang lebih ramai daripada dua orang.

Umum sudah mengetahui perbuatan khalwat sangat ditegah di dalam Islam dan pengharamannya jelas bersandarkan sabda Nabi SAW, yang bermaksud: “Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram (yang haram dikahwini) dan tidak harus musafir kecuali bersamanya mahram.” (Sahih Muslim)

Manakala, ikhtilat pula tidak ada nas atau dalil yang jelas tentang pengharamannya. Sesetengah ulama menyatakan bahawa ikhtilat adalah haram pada asalnya bersandarkan kepada hadis pengharaman khalwat. Begitu juga, wanita tidak diwajibkan solat fardu Jumaat kerana Islam sangat menitikberatkan soal percampuran lelaki dan perempuan walaupun di tempat yang ramai orang seperti di masjid.

Antara ulama yang berpendapat hukum asal dalam soal ikhtilat ini ialah Dr Wahbah Az-Zuhaili dan Dr Abdul Karim Zaidan seperti yang disebut dalam kitabnya bertajuk Al-Fashlu fi Ahkam Al-Mar’ah.

Bagaimanapun, ada sesetengah ulama termasuk Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan hukum asal ikhtilat ialah harus tetapi harusnya bersyarat dan bersebab.

Hukum harus ini bersandarkan kepada asal-usul sesuatu perkara melainkan ada dalil yang jelas tentang pengharaman atau kewajipan terhadapnya.

Jika ditanya kepada saya, secara peribadinya saya selesa dengan pandangan Dr Wahbah Az-Zuhaili dan Dr Abdul Karim Zaidan yang mengatakan haram ikhtilat kerana suasana di Malaysia yang memandang ringan soal ikhtilat ini.

Jika saya katakan harus, barangkali lebih ramai yang ambil mudah soal ikhtilat ini. Tetapi, jika ada yang berkata: “kalau begitu susahlah Islam ni, macam mana kalau nak berurusan dengan berlainan jantina.” Ketika itu, barulah saya katakan ia boleh jadi harus dengan dua sebab.

Pertama, jika percampuran di antara lelaki dan perempuan pada ketika itu disebabkan keadaan darurat. Sebagai contoh, jika seorang atau sekumpulan lelaki ternampak wanita yang berjalan seorang diri di kawasan gelap, sunyi, dan bahaya.

Jika dibiarkan perempuan itu bersendirian, kebarangkalian perempuan itu diculik atau diperkosa adalah sangat besar, maka pada ketika itu menjadi kewajipan pula terhadap lelaki yang melihatnya dalam bahaya menyelamatkan perempuan tersebut.

Bagaimanapuni hanya sekadar yang diperlukan saja.

Kedua, ikhtilat diharuskan jika ada keperluan yang mendesak. Sebagai contoh, untuk urus niaga di antara lelaki dan wanita, perempuan yang perlu menjadi saksi di mahkamah, urusan kerja seharian seperti di pejabat dan seumpamanya, untuk melayani tetamu (dengan ditemani suami) dan yang seumpamanya.

Walaupun dalam dua sebab ini diharuskan ikhtilat tetapi harus diingatkan, lelaki dan wanita yang bukan mahram wajib menjaga adab-adab pergaulan di mana tiada berlakunya sentuhan antara mereka melainkan dalam keadaan darurat misalannya doktor lelaki yang perlu menyentuh perempuan dengan tujuan perubatan.

Selain itu, lelaki dan wanita mesti menjaga pandangan mereka, jangan melihat sesama mereka dengan pandangan syahwat, tidak bercakap perkara yang keji, kotor, atau lucah dan janganlah bergaul di tempat yang sunyi atau yang boleh menimbulkan fitnah.

Mungkin ada yang berkata: “kami bukan buat apapun, kami nak berdiskusi je, tak adalah sampai nak terjebak kepada zina pun.” Kita faham, duduk berdua-duaan, atau duduk beramai-ramai sesama lelaki dan perempuan yang bukan mahram bukan dengan tujuan jahat, hanya mahu berbincang tentang subjek yang dipelajari di dalam kelas saja.

Mengimbas kembali sirah para sahabat. Ada ketika para sahabat ingin bertanya kepada isteri Nabi SAW tentang suatu perkara yang bersangkut-paut dengan agama Islam selepas kewafatan Nabi SAW, mereka hanya bertanya di belakang tabir yang memisahkan percampuran di antara mereka.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 33, yang bermaksud: “…dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir…”

Jika ditanya antara para sahabat dan kita yang hidup pada hari ini siapa yang lebih tinggi imannya, sudah pasti kita menyatakan bahawa para sahabat lebih tinggi iman mereka berbanding kita kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW.

Justeru, siapa yang patut lebih berjaga-jaga dalam soal ikhtilat ini? Mengapa para sahabat terlalu menjaga masalah ikhtilat ini? Mengapa soal ikhtilat ini tidak dibincangkan secara khusus sejak zaman Nabi SAW lagi?

Jawapannya ialah kerana mereka tahu bahawa syaitan akan sentiasa mencuri peluang yang ada walaupun ruang itu sangat kecil. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 32, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Pada zaman Rasulullah SAW, masalah ikhtilat ini tidaklah menjadi suatu perkara yang besar serta berat kerana para sahabat sangat menjaga pergaulan di antara lelaki dan wanita.

Mungkin ada yang berkata: “kami bukannya nak berzina pun, ayat yang disebutkan tadi tentang zina.” Benar! Memang ayat itu berkaitan zina tetapi Allah menggunakan bahasa sangat halus iaitu “Jangan menghampiri zina” dan tidak Allah nyatakan jangan berzina.

Ini adalah pendekatan Sadd Al-Zarai’ (menutup sebarang lubang-lubang keharaman) sebagaimana dinyatakan pada ayat ini iaitu sebarang perbuatan yang mendekatkan diri kepada zina itupun sudah Allah tegah apatah lagi jika berzina.

Sedangkan Nabi Adam dan Hawa juga tewas dengan bisikan syaitan, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang pastinya bukan Nabi.

Cuba kita renungi ayat ini, firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 30, yang bermaksud: “…Sesungguhnya Allah amat mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Sebuah syair Arab menyebut: ‘bermula dengan pandangan, kemudian disusuli dengan senyuman, lantas bertegur sapa, kemudian mula berbicara, seterusnya membuat janji temu dan akhirnya membawa kepada perjumpaan.’

Perbuatan zina ini tidak akan berlaku melainkan ada permulaan yang berperingkat sebagaimana syair di atas.

Apabila sudah berjumpa, duduk berdua-duaan, ataupun beramai-ramai sesama lelaki dan wanita tanpa ada sebab yang mendesak, maka semakin menular bisikan syaitan ke dalam hati hingga akhirnya berlakulah perkara tidak diingini seperti zina serta maksiat.

Apabila mengandung anak luar nikah, maka terasa menyesal dengan perbuatan lalu. Maka, siapakah yang mahu dipersalahkan?

Advertisements

One response to this post.

  1. Posted by oummustaqim on 19 Jun 2012 at 4:31 am

    saya amat berpuas hati dengan jawapan yang dikemukakan oleh darul ulum kalau diikutkan percampuran lelaki dan wanita sebenarnya memang salah di dalam hukum islam.saya berharap sangat umat islam masa kini lebih baik jauhkan percampuran lelaki dan wanita di sebabkan inilah banyak kisah penceraian dan menimbulkan kemaksiatan.

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: