Keunikan pasu Alhambra


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

ALHAMBRA membawa maksud merah dalam bahasa Arab. Tetapi di Sepanyol, Alhambra merujuk kepada sebuah binaan Istana yang didirikan di Andalusia. Istana itu telah dibina pada abad ke-14 oleh pemerintah Dinasti Nasrid yang merupakan dinasti Islam terakhir sebelum Sepanyol jatuh ke tangan pemerintah Kristian pada tahun 1492.

Salah satu seni unik yang merujuk kepada Alhambra ialah sejenis pasu yang mempunyai sepasang sayap yang digunakan sebagai hiasan di dalam kediaman golongan bangsawan dan bangunan keagamaan seperti gereja di Sepanyol.

Pasu Alhambra adalah salah satu hasil seni seramik Islam Sepanyol yang dihasilkan di wilayah Malaga. Keunikan pasu ini adalah dari segi reka bentuk, hiasan dan kegunaan.

Kebanyakan pasu Alhambra yang ditemui mempunyai saiz besar yang berketinggian di antara 115 sehingga 170 sentimeter.

Ia mempunyai empat bahagian reka bentuk yang tersendiri iaitu bahagian mulut, leher, badan dan sayap.

Pasu ini mempunyai mulut pasu yang terbuka dan agak besar. Bahagian leher pula dibuat, sama ada berbentuk kembang ke atas ataupun lurus dan panjang yang menyambungkan bahagian badan dan mulut.

Bahagian badan mempunyai saiz yang paling besar berbanding dengan bahagian yang lain. Ia berbentuk bundar dan mempunyai bahagian bawah yang kecil.

Di bahagian sisi pasu pula dihiasi dengan sepasang sayap yang bersaiz besar. Dengan bahagian bawah yang kecil dan sepasang sayap yang besar, pasu ini kelihatan tidak stabil.

Untuk tujuan kestabilan, pasu ini boleh diletakkan di dalam lingkaran logam yang menyokong struktur pasu yang bersaiz kecil di bahagian bawah.

Dari segi hiasan, setiap bahagian di atas mempunyai hiasan yang tersendiri. Kebanyakan motif hiasan yang digunakan ialah kaligrafi, geometri dan motif alam seperti flora dan fauna.

Motif kaligrafi sering digunakan sebagai hiasan bingkai di bahagian sayap dan lingkaran di bahagian badan pasu.

Isi kandungan ayat yang digunakan selalunya terdiri daripada syahadah dan puisi yang didedikasikan kepada Allah dan juga khalifah.

Puisi merupakan sumber utama bagi kebanyakan hiasan kaligrafi di dalam seni Islam Sepanyol terutamanya yang digunakan di istana Alhambra.

Selain motif kaligrafi, motif gazel atau kijang kecil juga adalah motif utama. Kebanyakan motif gazel yang digunakan adalah dua ekor gazel yang berdiri berhadapan sesama sendiri. Kedua-dua gazel ini berdiri di atas latar skrol flora yang kadangkala dibentuk seperti motif geometri.

Dengan reka bentuk yang besar dan menarik, pasu Alhambra ini diletakkan di dalam seni bina yang bersaiz besar seperti di istana dan juga di masjid dan di gereja. Ia diletakkan di bahagian relung dinding bangunan-bangunan tersebut.

Penghasilan pasu ini ialah pada abad ke 14 dan abad ke 15 Masihi. Malangnya, selepas Sepanyol jatuh ke tangan pemerintah beragama Kristian, penghasilan seni pasu Alhambra ini telah lupus disebabkan oleh ketiadaan pembuat tembikar yang mempunyai kemahiran yang sama selepas kebanyakan dari mereka berpindah keluar dari Sepanyol selepas kejatuhan kerajaan Islam.

Selain Muzium Kesenian Islam Malaysia, pasu Alhambra juga dipamerkan di Alhambra Muzium Di Granada. Di Muzium Kesenian Islam Malaysia, pasu Alhambra dipamerkan di galeri gaya hidup Sepanyol yang terletak di tingkat dua

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: