Riak, sum’ah beramal untuk dapat penghormatan


Bersama Ustaz Zahazan

SAMPAI sekarang saya masih keliru antara riak dan sum’ah. Boleh ustaz terangkan perbezaannya. Apakah punca yang menyebabkan seseorang itu bersikap riak.

HASAN,
Kulim, Kedah.

RIAK berasal dari kata ru’yah yang ertinya melihat. Berlaku riak ertinya menampakkan amal soleh supaya dilihat manusia. Riak ada disebut dalam al-Quran, antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang memperlihatkan amalnya (yura’un) dan enggan membayar zakat.” (Surah al-Ma’un ayat 6-7)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dengan rasa angkuh dan (suka) mempamer (riak) kepada manusia.” (Surah al-Anfal, ayat 47)

Sum’ah berasal daripada kata samma’a yang ertinya memperdengarkan. Memperdengarkan amal kepada manusia ertinya menampakkan amal yang sebelumnya dirahsiakan.

Riak dan sum’ah menurut istilah adalah mempamerkan amal soleh kepada orang dengan tujuan mendapatkan kehormatan. Jika seseorang beramal untuk dilihat manusia, itu namanya riak. Jika tidak dilihat manusia tetapi kemudian dia menceritakannya kepada mereka, itu namanya sum’ah.
Imam ‘Izzuddin ‘Abdissalam membezakan riak dan sum’ah. Beliau berkata: “Riak adalah beramal kerana selain Allah SWT. Sum’ah adalah menyembunyikan amal kerana Allah SWT, tetapi kemudian menceritakan amal itu kepada manusia.”

Di sini seolah-olahnya Imam ‘Izzuddin melihat semua riak adalah tercela, sedangkan sum’ah ada tercela dan ada yang terpuji. Sum’ah tercela apabila tujuan penceritaan amal itu demi penghormatan manusia dan sum’ah terpuji apabila tujuan penceritaan demi penghormatan Allah SWT dan reda-Nya.

Nampaknya pendapat Imam Izzuddin sesuai dengan nas syariat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak (pamer) kepada manusia.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Manakala Rasulullah SAW menyebut dalam hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Sesiapa memperdengarkan (amalnya), Allah SWT pun akan memperdengarkan (keburukannya); sesiapa memperlihatkan (amalnya), Allah SWT akan memperlihatkan (keburukannya).”

Dalam hadis diriwayatkan Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku bimbang atas kamu adalah syirik kecil. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu? Rasulullah SAW menjawab: Riak.”

Ada beberapa faktor menyebabkan seseorang itu suka mempamer atau bersikap riak antaranya lingkungan keluarga ia membesar. Ada kala seorang anak membesar dalam keluarga yang tradisinya suka mempamerkan atau riak sehingga anak itu juga mengikutinya.

Kedua, kerana bersahabat dengan kawan yang suka menunjuk-nunjuk lalu terpengaruh dan ketiga, tidak mengenal Allah dengan baik. Kurangnya pengetahuan mengenai Allah SWT boleh menjadi penyebab seseorang suka bersikap suka mempamer.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: