Bolehkah anak menyaman ibu, bapa


Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

KERAPUHAN institusi kekeluargaan di Malaysia telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak, khususnya di kalangan orang Islam.

Sejak kebelakangan ini pelbagai kecelaruan timbul dalam susun atur dan jaringan institusi kekeluargaan Islam sehingga seolah-olah sudah menjadi norma anak-anak tidak menghormati ibu bapa mereka sebagaimana terdahulu.

Sering dilaporkan di media-media sekarang trend anak-anak memfailkan tindakan di mahkamah terhadap kedua ibu bapa mereka.

Ruangan kali ini bukanlah mahu menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi sekadar meneliti kedudukan dari sudut hukum syarak supaya dapat difahami oleh masyarakat.

Sebenarnya tiada dalil secara spesifik yang melarang atau menyuruh melakukan prosedur demikian. Maka ia terbuka kepada maslahah mursalah. Ia pada umumnya adalah bersifat maslahah yang sekiranya tanpa prosedur tersebut, kemungkinan sesuatu pertikaian sukar untuk diadili.

Di negara kita pula, saman merupakan salah satu daripada prinsip-prinsip prosiding yang mesti diikuti. Ia bertindak sebagai sebuah perintah agar seseorang yang dituduh hadir ke mahkamah untuk mengetahui pendakwaan yang dibuat oleh pendakwa.

Saman ibu bapa

Asalnya hukum bagi isu seperti ini adalah harus kerana terdapat hak yang sepatutnya dimiliki oleh seorang anak tidak sampai ke tangan mereka.

Umpamanya dalam kes seorang ibu meninggal dunia dan meninggalkan sejumlah harta. Harta tersebut sepatutnya perlu dibahagikan mengikut kaedah faraid. Akan tetapi, ayah mereka yang masih hidup, enggan memberikan hak faraid kepada anak-anak itu.

Walau bagaimanapun, terdapat hadis yang bermaksud: Daripada Jabir ra, Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya aku mempunyai harta dan anak, dan bapaku (pula) hendak menyapu hartaku.” Lalu Nabi menjawab: “Bapa kamu berhak terhadap kamu dan harta kamu.”

Hadis di atas secara literalnya boleh difahami dengan cara yang salah jika pembaca tidak berhati-hati terhadap maksud daripada sudut nahunya.

Mungkin pembaca boleh memahami bahawa hadis di atas memberi lampu hijau kepada para bapa untuk mengambil harta anak-anak sesuka hati. Bukan hanya harta, bahkan diri anak itu sendiri kerana andaian harta dan anak adalah miliknya.

Sebenarnya Rasulullah tidak membiarkan hadis itu begitu sahaja. Terdapat sebuah lagi riwayat yang sahih berkenaan seorang lelaki Arab Badwi ketika bertemu Rasulullah.

Hadis tersebut bermaksud: “Sesungguhnya seorang Arab Badwi telah datang pada Nabi seraya berkata: “Sesungguhnya ayahku selalu menyapu hartaku.”

Lalu Nabi menjawab: “Kamu dan harta kamu berhak ke atas bapa kamu, yang terbaik daripada apa yang kamu makan adalah daripada apa yang kamu hasilkan sendiri, dan anak-anak kamu adalah daripada hasil kamu, maka berilah mereka kebahagiaan.”

Hadis di atas menerangkan berkenaan dengan aduan lelaki Arab Badwi yang mendakwa bapanya selalu mengambil hartanya. Walaupun bapanya berhak terhadap harta tersebut, Rasulullah turut menegur agar mendapat harta itu biarlah daripada hasil usaha sendiri dan bukannya diambil daripada orang lain.

Imam al-Syaukani semasa memberi komentar terhadap hadis di atas telah memberi penjelasan yang cukup baik.

Katanya: “Hadis di atas memberi pengertian bahawa lelaki tadi berkongsi harta dengan anaknya. Oleh itu, bapa boleh menggunakan harta tersebut sama ada dengan izin atau tidak. Harus juga si bapa menguruskan harta si anak seperti mana si bapa menguruskan hartanya sendiri selagi mana ia memenuhi hajat si anak tadi. Tidaklah boleh si bapa sesuka hati menggunakan harta anaknya dengan cara membazir dan suka-suka.”

Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita fahami bahawa seseorang anak boleh mendakwa bapanya sekiranya terdapat penyelewengan yang dilakukan terhadap haknya.

Ini apabila lelaki Arab Badwi tersebut datang bertemu nabi bercerita berkenaan hal bapanya yang suka mengambil hartanya. Adapun soal benar atau tidak tindakan bapa itu, itu terserah kepada kebijaksanaan hakim memberi keputusan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: