Bolehkah orang miskin berzakat?


BOLEHKAH seorang miskin itu memberikan zakat? Ini kerana, di dalam hadis ada digambarkan betapa ada sahabat nabi yang miskin juga ingin bersedekah. Harap dapat penjelasan.

Jawapan

Tahniah diucapkan bagi mereka yang miskin tetapi masih mahu mengeluarkan sedekah dan zakat. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan mereka kekayaan harta dan jiwa agar mereka dapat melaksanakan ibadah zakat suatu masa nanti, Amin.

Sememangnya pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, ramai para sahabat besar yang miskin. Misalnya Abu Hurairah, Salman al-Farisi, Ammar bin Yassir, Bilal bin Rabah dan dalam kalangan sahabat wanita, Ummu Sulaim adalah contoh ibu tunggal yang miskin.

Pernah berlaku, golongan ini merasa sedih kerana kemiskinan harta telah menghalangi mereka daripada bersedekah. Lalu mereka telah menemui Rasulullah SAW dan bertanya perihal amalan yang dapat dilakukan oleh orang-orang miskin seperti mereka.

Daripada Abu Dzar r.a. katanya: “Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada baginda: “Kaum hartawan memperoleh pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti mana kami solat, berpuasa seperti mana kami berpuasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.”

Jawab Rasulullah SAW: Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah, (riwayat Bukhari)

Oleh itu, dalam hal ini memberikan sedekah tidak semestinya dengan harta. Sedekah boleh dilakukan dengan tenaga, kata-kata hatta dengan senyuman.

Ia berbeza dengan zakat, kerana zakat adalah ibadah fardu yang wajib memenuhi segala syaratnya. Hanya mereka yang memenuhi syarat wajib zakat sahaja, wajib mengeluarkan zakat hartanya.

Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji as-Syafie dinyatakan: “Zakat bukanlah ibadat tubuh badan semata-mata, sehingga ia memerlukan syarat-syarat taklif, ataupun kewajipannya digugurkan disebabkan kurangnya kemampuan mukalaf,” (hal. 417)

Maka, dalam hal ini orang yang tidak mempunyai harta yang mencapai paras minimum kekayaan dalam tempoh setahun (cukup nisab dan haul), maka tidaklah wajib berzakat.

Mereka sebaliknya perlu menggunakan harta yang dimiliki itu untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan semua tanggungan nafkah yang wajib. Misalnya membeli makanan dan belanja pendidikan.

Jika seorang suami misalnya, dia wajib memastikan harta yang dimiliki itu dimanfaatkan untuk nafkah anak dan isterinya. Termasuklah kedua ibu bapanya jika mereka juga miskin.

Orang yang menanggung nafkah wajib ini, jika dengan berzakat itu menyebabkan tanggungan nafkah wajibnya pula terabai dan menderita, seperti menderita kelaparan; maka dia dianggap berdosa.

Maka, keutamaan ketika itu adalah untuk tanggungan wajibnya, misalnya membeli makanan untuk mereka. Maka, pada waktu itu adalah haram hukumnya jika dia masih mahu mengeluarkan zakat.

Hal ini adalah selaras dengan apa yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang apakah yang perlu mereka infakkan (zakat), (maka) jawablah: apa-apa yang berlebih (daripada keperluan). (al-Baqarah: 219)

Sebab itulah, pada Hari Raya Aidilfitri misalnya, hanya orang-orang yang mempunyai makanan yang cukup untuk dirinya dari malam hari raya sehingga keesokan harinya sahaja yang wajib mengeluarkan zakat fitrah. Jika tiada makanan, bukan dia yang wajib berzakat; bahkan dia yang perlu menerima zakat. Inilah batas kefarduan yang ditetapkan oleh Islam.

Oleh itu, kesimpulannya bagi orang-orang miskin, utamakanlah sedekah sunat kerana sedekah tidak mempunyai syarat wajib ke atasnya. Bahkan sedekah boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Memberi seringgit dua ke dalam tabung masjid pada setiap minggu boleh dianggap sedekah, dan ia tidaklah membebankan.

Abu Mas’ud r.a pernah menyatakan: Kami diperintahkan (oleh) Rasulullah SAW supaya bersedekah, sedangkan kami hanya (bekerja) sebagai pekerja kasar atau kuli. Namun Abu ‘Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lain-lain mengikutinya dengan menyedekahkan apa saja, namun lebih banyak daripada itu, (riwayat Muslim)

Memberikan zakat hanyalah terbeban kepada orang-orang kaya. Oleh itu, orang-orang miskin yang mahukan pahala berzakat, hendaklah berusaha dengan lebih gigih agar mendapat harta dan kelak mampu pula mengeluarkan zakatnya.

Sabda Nabi SAW: Setiap Muslim wajib bersedekah (berzakat). Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi SAW menjawab: ” (Hendaklah dia) bekerja dengan kebolehan tangannya untuk faedah bagi dirinya lalu bersedekah (berzakat). (riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua’lam

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: