Shahnameh kisah raja-raja Parsi


Disediakan oleh ROS MAHWATI
AHMAD ZAKARIA
Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia

DUNIA Melayu mempunyai karya kesusasteraan agung yang menceritakan tentang perihal raja-raja Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Sulalatus Salatin, Syair Bidasari dan sebagainya. Di Iran terdapat pula sebuah karya agung yang diberi nama Shahnameh.

Shahnameh atau Shah nama membawa maksud buku raja-raja. Buku ini mengandungi kisah raja-raja Parsi yang ditulis dalam bentuk puisi.

Secara keseluruhannya, terdapat lebih kurang 60,000 baris puisi yang digunakan bagi menceritakan sejarah raja-raja Parsi dari zaman awal bumi diciptakan sehingga kedatangan orang Arab ke Parsi dan penyebaran Islam di wilayah tersebut pada abad ke 7 Masihi.

Karya sastera agung ini dihasilkan oleh seorang pemuisi yang dikenali sebagai Ferdowsi (953 – 1020 Masihi). Beliau dianggap sebagai antara sasterawan Iran yang ulung.

Penulisan beliau ini mengandungi unsur-unsur keajaiban, mistik, budaya dan sejarah. Shahnameh juga dikatakan merupakan kompilasi sastera klasik rakyat Iran dari sumber lisan dan tulisan.

Cerita-cerita yang dikisahkan sebelum kedatangan Islam di dalam manuskrip ini ialah di bawah agama Zoroastrian yang diasaskan di Iran pada abad ke 6 Masihi. Agama ini merupakan agama utama yang dianuti oleh pemerintah dan rakyat Iran ketika itu.

Secara ringkasnya, kisah di dalam manuskrip ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

l Bahagian pertama mengenai penciptaan bumi di mana manusia pertama yang diberi nama sebagai Keyumars di dalam manuskrip ini dan dia dikatakan menjadi pemerintah selepas itu. Sebuah Dinasti yang dikenali sebagai Jamshid telah memerintah Parsi selama 700 tahun.

l Bahagian kedua mengandungi kisah pemerintahan sebelum Rostam dan sewaktu pemerintahan Rostam yang merupakan seorang pemerintah Parsi yang agung. Baginda diriwayatkan memerintah Parsi selama 300 tahun dan telah bertarung dengan pelbagai makhluk ajaib dan raksasa.

l Bahagian ketiga ialah kisah pemerintahan beberapa lagi pemerintah agung Parsi seperti Khosrow, Goshtasp, Darius dan Sekandar (Iskandar) sehingga ke penubuhan kerajaan Sasanid dan kedatangan orang Arab dan Islam ke Parsi pada abad ke-7 Masihi.

Selain bait-bait puisi yang ditulis dalam bahasa Parsi klasik yang indah, Shahnameh juga mempunyai satu lagi tarikan yang unik iaitu ilustrasi ataupun lukisan-lukisan yang menunjukkan suasana sesetengah cerita yang terdapat di dalam manuskrip ini.

Penambahan elemen lukisan di dalam manuskrip ini dapat memperlihatkan keindahan pakaian, seni bina, peralatan perang, tumbuh-tumbuhan dan juga makhluk-makhluk ajaib seperti raksasa dan naga yang dikalahkan oleh pemerintah-pemerintah Parsi bagi menyelamatkan rakyatnya.

Perincian lukisan yang dihasilkan oleh pelukis manuskrip ini amat indah. Sebagai contoh, sehingga setiap pakaian pembesar yang dipakai di dalam istana sewaktu raja bermain catur di dalam Istana Bayasonghari dipersembahkan dalam pelbagai gaya, warna dan rekaan.

Corak hiasan jubin tembok dan lantai istana juga dibuat dengan teliti, cantik dan kemas. Perbezaan kedudukan juga diperlihatkan dengan raja duduk di atas singgahsana sambil memerhati dua orang pembesar bermain catur dan para pembesar berdiri di kawasan yang tidak mempunyai permaidani.

Disebabkan oleh keindahan karya yang dihasilkan oleh Fedowsi pada abad ke-7 ini, manuskrip Shahnameh telah disalin dalam beberapa versi. Shahnameh merupakan salah satu warisan dunia yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Satu salinan Shahnameh dipamerkan kepada para pengunjung di Galeri Al-Quran dan Manuskrip Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: