11 cara pilih kawan menurut Islam


Oleh Ustaz Zahazan

11 cara pilih kawan menurut Islam agar jiwa terpelihara daripada keinginan dunia semata-mata

Soalan:SAYA mempunyai kawan-kawan di sekolah dan asrama dengan pelbagai perangai. Ada yang pemarah, kedekut dan suka membuli. Sementara yang baik perangai tidak ramai. Adakah perlu saya berkawan dengan kawan yang bersifat negatif atau perlu menjauhi mereka? Jika saya menjauhi mereka, takut nanti dikatakan sombong pula. Bagaimanakah cara sebaiknya supaya saya mendapat keredaan Allah? Mohon panduan.

Firman Allah bermaksud: “Maka berpalinglah engkau dari orang yang tidak mempedulikan peringatan Kami dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia semata-mata.” (Surah an-Najm, ayat 29) Fahmi
Ipoh, Perak

Jawapan:

Bukan semua orang boleh dijadikan sahabat kerana Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang patut dipilih menjadi kawan.”
Oleh itu, rakan yang dipilih mestilah mempunyai beberapa sifat dan perangai istimewa yang menyebabkan kita memilihnya untuk dijadikan rakan atau sahabat. Kesimpulannya, hendaklah sahabat itu seorang yang waras fikiran, baik budi pekerti, tidak fasik, dan tidak terlampau mementingkan hal keduniaan.

Imam Ghazali menyebut dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, sifat waras pemikiran itu menjadi modal atau pokok dalam kehidupan kerana tidak ada gunanya membuat sahabat pada orang bodoh atau kurang akalnya kerana demikian itu akan membawa kepada perasaan tidak tenteram dan perselisihan sekalipun persahabatan itu berjalan begitu lama. Ada pula yang berkata, bahawasanya memutuskan persahabatan dengan orang yang bodoh itu adalah satu pengorbanan (iaitu untuk mendekatkan diri) kepada Allah.

Mengenai budi pekerti mulia itu, setiap orang patut bersifat dengannya kerana tidak ada gunanya bersahabat dengan orang yang sering dikuasai perasaan marah, dipengaruhi nafsu syahwat, kedekut, pengecut atau menurutkan nafsu buruk.

Manakala orang fasik dan tetap pula dengan kefasikannya, tidak mahu bertaubat dan tidak mengendahkan nasihat supaya mengubah sikapnya, maka orang ini juga tidak ada gunanya dijadikan sahabat.

Malah melihat kelakuannya saja akan mendorong jiwa kepada perkara maksiat serta memadamkan rasa benci kepada maksiat dalam hati. Mereka yang tidak takut kepada Allah tidak dapat dipercayai persahabatannya dan tidak dapat ditolak kecurangannya, malah suka bertukar sikap atau pendirian.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati-Ku, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.” (Surah al-Kahf, ayat 28)

Firman Allah lagi bermaksud: “Maka berpalinglah engkau dari orang yang tidak mempedulikan peringatan Kami dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia semata-mata.” (Surah an-Najm, ayat 29)

Kesimpulannya dalam ayat itu, Allah melarang bersahabat dengan orang fasik. Alqamah berpesan kepada anaknya: “Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang bersifat demikian (iaitu antaranya):

Pertama Jika engkau berbuat baik kepadanya, ia akan melindungimu.

Kedua, jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu.

Ketiga, jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

Keempat, jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

Kelima, jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

Keenam, jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

Ketujuh, jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

Kelapan, jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

Kesembilan, jika datang sesuatu bencana menimpamu, ia akan meringankan kesusahanmu (iaitu membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

Kesepuluh, jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

Kesebelas, jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu. Kedua belas, jika engkau berselisih faham, nescaya ia akan lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.”

Saidina Ali dalam satu syairnya (yang bermaksud): “Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu, ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu, orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu, sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: