Hukum Qadha’ solat yang luput


Tiada istilah qada solat

Topik kali ini, membicarakan perihal mengqada solat dan hal yang berkaitan dengannya. Ini bertujuan agar dapat memberikan kefahaman yang sebenar daripada ajaran syariat al-Quran dan Sunnah mengenai apa itu qada solat dan atas sebab apa seseorang itu dibolehkan mengqada solatnya.

Perkara mengqada solat dirasakan penting untuk diterangkan kerana ada segelintir yang membuat fatwa peribadi bahawa solat itu boleh diqada sahaja jikalau berhadapan dengan sebarang bentuk kesukaran atau keuzuran tidak kira sekecil mana dua faktor penghalang tersebut.

Profesor Madya yang juga Koordinator Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Nor Mamat berkata, secara asasnya tidak timbul istilah qada solat dalam sejarah, sebagaimana yang difahami masyarakat Muslim pada hari ini sebagai menggantikan solat yang ditinggalkan.

Menurutnya, hukum meninggalkan solat fardu adalah berdosa dan solat hanyalah diwajibkan untuk Muslim melaksanakannya pada waktu yang ditentukan untuknya.

“Contohnya, tidak ada kewajipan solat Zuhur pada waktu Asar, begitu juga tidak diwajibkan solat Maghrib pada waktu Isyak. Bagaimanapun, konsep qada solat ini boleh terjadi dalam keadaan tertentu.

“Sebenarnya tidak timbul hukum qada solat, kerana solat adalah ibadat khusus yang difardukan ALLAH pada waktu yang ditentukan, dan ia tidak diwajibkan pada waktu yang bukan waktunya,” katanya kepada Sinar Harian.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah An-Nisa’ : 103)

Kes tertentu

Mohd Nor berkata, hukum yang mengatakan boleh menangguhkan solat kemudiannya qada adalah tidak wujud dalam fiqah Islam kerana meninggalkan solat itu adalah berdosa. Bagi memudahkan untuk difahami katanya, asalnya hukum qada solat tidak wujud. Tetapi bagi kes tertentu seperti tertinggal solat disebabkan kelalaian yang di luar kawalan seperti tidur dan lupa, maka solat tersebut wajib segera diganti (qada) apabila terjaga dan teringat.

“Sementara dalam kes tertinggal solat sebab sengaja, ulama secara sepakat mengatakan wajib qada solat yang ditinggalkan secara sengaja, dalam keadaan tetap dikira berdosa,” jelasnya.

Selain itu, ditanya sama ada mengqada solat ini memang ada dalam Islam ataupun tidak, Mohd Nor berkata, asalnya tidak wujud. Namun dalam konteks untuk mudah difahami masyarakat hari ini, qada solat boleh berlaku pada beberapa suasana iaitu:

– Apabila tertinggal solat secara tidak sengaja, maka wajib terus ditunaikan solat tersebut apabila tersedar atau terjaga dan ia tidak berdosa. Terdapat dalam Islam arahan segera menggantikan (qada) solat yang tertinggal disebabkan oleh kelalaian di luar kawalan kita seperti terlupa, tertidur dan sebagainya, walaupun waktu solat tersebut telah pun berlalu.

– Apabila ditinggalkan solat secara sengaja, jumhur ulama sepakat mengatakan wajib digantikan solat tersebut tetapi ia tetap juga berdosa. Terdapat juga pendapat seperti Ibn Taimiyyah yang mengatakan tidak perlu mengqada solat yang ditinggalkan secara sengaja.

Beliau berkata, anggapan bahawa meninggalkan solat dengan sengaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah dan bertentangan dengan fardu solat.

Waktu qada

Mengulas lanjut mengenai waktu mengqada solat, Mohd Nor menjelaskan sebaik sahaja seseorang itu tersedar daripada lupa atau tidur, maka hendaklah dia tunaikan solat tersebut dengan segera. Begitu juga mengikut jumhur ulama yang mengatakan wajib bagi Muslim mengqada solat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka perlu disegerakan qadanya sebaik sahaja dia sedar dan bertaubat.

“Banyak juga kes yang saya temui kalangan mereka yang tidak bersolat sejak sekian lama, tetapi kemudiannya bertaubat dan bertanyakan mengenai waktu yang sepatutnya mereka qada solat yang ditinggalkan.

“Dalam hal solat yang ditinggalkan sekian lama, kebanyakan ulama mencadangkan supaya dibuat anggaran jumlah yang ditinggalkan dan diganti (qada) secara beransur-ansur mengikut kelapangan waktu.

“Terdapat juga sebahagian ulama yang berpendapat tidak perlu qada solat yang telah lama ditinggalkan, memadai dengan bertaubat dan perbanyakkan solat sunat sebagai ganti,” katanya.

Pada zaman Rasulullah, ketika perang contohnya, alternatif yang digunakan untuk menggantikan solat mereka jawabnya daripada sirah Rasulullah SAW, didapati solat ditonjolkan sebagai ibadat wajib yang tidak ada pengecualian daripada menunaikannya, walaupun dalam peperangan, sakit atau tidak dapat bergerak sekalipun.

Amalan Rasulullah dalam perang contohnya, tentera akan bergilir mendirikan solat dan mempertahankan pasukan daripada diserang musuh. Pernah sekali diriwayatkan berlaku dalam suatu peperangan, tentera Islam yang terlalu didesak musuh dan bersungguh-sungguh mempertahankan pasukan tentera mereka dilupakan daripada menunaikan solat sehinggalah mereka berhenti berperang pada malamnya.

Sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai solat tersebut (yang mereka terlupa sejak siang tadi), lalu Rasulullah SAW mengarahkan semua tenteranya berwuduk lalu didirikan (qada) solat yang tertinggal sejak siang satu demi satu solat sehinggalah diakhiri dengan solat Isyak.

Kisah pengajaran orang yang meninggalkan solat

Pada zaman Khalifah Abu Bakar, terjadi terhadap satu mayat yang salah satu sebab ia terseksa adalah kerana meninggalkan sembahyang. Setelah dimandikan dan dikafan dan ketika hendak disembahyangkan oleh penduduk, terjadi benda aneh apabila tiba-tiba kafan si mati bergerak-gerak sehingga mereka yang berada di samping mayat kehairanan melihatnya.

Mereka semua menyangka mayat hidup kembali. Setelah diuraikan ikatan kafannya, semua terperanjat melihat seekor ular melingkar tubuh mayat sambil menggigit seluruh tubuh si mayat. Serentak mereka mahu memukul ular tersebut.

Belum sempat mereka mendapatkan kayu, sang ular bertanya sebabnya mereka hendak membunuhnya. Padahal si ular hanya menjalankan perintah ALLAH untuk menyeksa mayat tersebut hingga ke hari kiamat. Orang ramai bertanyakan sebab mayat tersebut diseksa sedemikian dan apa dosanya.

Jawab ular itu ketika hayat si mayat telah berbuat tiga macam kesalahan yang menyebabkannya diseksa termasuk mendengar azan tetapi tidak segera menunaikan sembahyang

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: