Zakat ke atas haiwan ternakan


 

Haiwan yang dikategorikan sebagai haiwan liar asalnya, walaupun ia sudah diternak secara komersial, tidak wajib dizakatkan kecuali dikenakan zakat ke atas hasil daripadanya. – Gambar hiasan

SAYA ada kemusykilan mengenai zakat ternakan. Adakah semua jenis ternakan, termasuklah seladang dan rusa wajib dizakatkan? Keduanya, saya mempunyai sebuah ladang menternak kambing yang dikongsi dengan seorang teman. Jika menurut kiraan saya, kambing yang kami miliki, masing-masing tidak cukup nisabnya. Iaitu, saya memiliki 30 ekor dan teman saya pula 25 ekor. Adakah kami tidak perlu mengeluarkan zakat kambing berkenaan?

Jawapan

Alhamdulillah jika tuan mempunyai hasrat dan niat mengeluarkan zakat penternakan. Sesungguhnya, menternak kambing memang merupakan satu pekerjaan yang mulia. Ia adalah warisan para nabi. Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW adalah orang yang pernah bekerja menternak haiwan ternakan ini, khususnya kambing.

Dalam bab zakat ternakan, Allah SWT hanya mewajibkan umat Islam untuk mengeluarkan zakat ke atas haiwan tertentu sahaja. Apa yang dimaksudkan sebagai haiwan ternakan tertentu ini ialah haiwan yang berkaki empat dan sudah biasa diternak oleh manusia sejak zaman dahulu. Dalam bahasa Arab ia diistilahkan sebagai al-an’am. (rujuk Yaasin: 71-73)

Maka, dapatlah kita fahami bahawa tidak semua haiwan yang diternak oleh manusia itu wajib dizakatkan. Hanya haiwan yang berkaki empat sahaja iaitu kambing, domba, biri-biri, kibas, kerbau, lembu dan unta yang wajib zakat. Manakala, ternakan lain seperti ayam, itik dan burung unta tidaklah wajib. Apatah lagi jika menternak burung, arnab dan kucing.

Manakala rusa, seladang mahupun apa sahaja haiwan yang memang dikategorikan sebagai haiwan liar asalnya, walaupun ia sudah diternak secara komersial, ia tidaklah wajib dizakatkan sebagai zakat penternakan. Haiwan seperti ini, hendaklah dikenakan zakat ke atas hasil daripadanya, iaitu sama ada zakat pendapatan mahu pun zakat perniagaan.

Jika kita merujuk kepada pandangan fuqaha, mereka turut membahaskan berkenaan nisab ke atas pemilikan harta yang dimiliki secara personal dan secara bersama atau perkongsian ini.

Sebahagian fuqaha, misalnya menurut pandangan Mazhab Syafie, al-Hassan al-Basri dan al-Sya’bi, mereka menukilkan: “Sesungguhnya harta kekayaan yang dimiliki secara bersama, adalah sama tarafnya dengan harta kekayaan yang dimiliki oleh seorang (personal). Jika harta kekayaan yang dimiliki secara bersama itu mencapai nisabnya, maka ia wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun setiap orang yang bergabung itu memiliki kurang daripada ukuran nisab. Ketentuan ini berlaku untuk semua jenis harta kekayaan.” (rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Dr. Abdul Karim Zaidan, hal. 23).

Mazhab Hambali juga mempunyai pandangan yang sama ke atas harta ternakan ini, iaitu: “Pemilikan bersama dalam binatang ternakan adalah dihukumkan sebagai harta kekayaan yang dimiliki oleh satu orang (tidak boleh dipisah-pisahkan) dan mesti dikeluarkan zakatnya apabila ia telah mencapai tahap ukuran nisab.”

Oleh itu, hendaklah saudara mengeluarkan zakat ternakan tersebut dengan segera. Ambillah pesanan daripada hadis Nabi Muhammad SAW: Apabila seseorang memiliki unta, sapi (lembu) atau kambing (termasuklah biri-biri), (lalu) tidak menunaikan haknya (zakat), maka pada hari kiamat nanti ia (akan datang kepada tuannya dengan) kelihatan lebih besar dan gemuk daripada dirinya yang biasa. Ternakannya itu akan memijak-mijaknya dengan tapak kaki mereka dan menanduknya dengan tanduk-tanduknya. Setelah selesai gerombolan ternakan terakhir memijaknya, maka (gerombolan ternakan) yang pertama akan mengulanginya pula. Itulah hukuman yang (bakal) dia peroleh. (riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, keluarkan zakat ke atas haiwan ternakan tersebut dengan segera. Saya berdoa agar usaha tuan dipermudahkan Allah SWT dan perusahaan tuan berdua mendapat keberkatan berpanjangan, di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: