Tiada guna kejayaan jika hilang kemuliaan


Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

SEJAK akhir ini susah untuk kita bertemu manusia jujur tetapi mahu jumpa orang penipu cukup banyak. Walaupun kita tahu berbohong itu dosa, tetapi orang Islam sendiri banyak yang berbohong. Dalam bekerja ramai yang tidak amanah. Mungkin ada yang berkata kalau tidak menipu, susah mahu berjaya dalam hidup. Apa pandangan ustaz? Saya hendak tahu juga bagaimana yang dikatakan Nabi seorang yang jujur.

HAMBA ALLAH,

Seremban.

ALLAH SWT berfirman dalam surah Muhammad ayat 21 yang bermaksud: “Tetapi kalaulah mereka selalu jujur kepada Allah SWT, yang demikian itu adalah lebih baik bagi mereka.”

Untuk kita bercakap mengenai sifat jujur, saya hendak mengajak saudara melihat insan paling jujur dan berjaya dunia dan akhirat dalam istilah sebenarnya. Sesungguhnya Rasulullah ialah orang paling jujur ketika bercakap, perkataannya benar, jujur dan adil. Baginda tidak pernah berdusta dalam hidupnya sama ada ketika serius atau bergurau. Baginda mengharamkan berdusta, mencela orang yang berdusta, melarangnya dan memberitahu bahawa orang Mukmin kadangkala bakhil dan penakut tetapi tidak pernah berdusta selamanya. Baginda juga mengingatkan umatnya agar tidak berdusta meskipun dalam keadaan bergurau untuk membuat orang ketawa.

Cukuplah contoh kejujuran Baginda SAW apa yang disabdakan Baginda berupa pengetahuan hal yang ghaib daripada Allah SWT dan amanah risalah Allah SWT kepadanya. Baginda sampaikan kepada umatnya secara sempurna, tidak terkurang satu huruf pun dan tidak ditambah satu huruf pun. Baginda menyampaikan amanah daripada Tuhannya dengan sempurna dan setiap perkataan dan perbuatannya berdasarkan kejujuran.

Rasulullah SAW ialah seorang manusia yang jujur sama ada dalam keadaan aman mahupun perang; marah dan suka; serius dan bergurau serta menjelaskan mahupun menghukum. Jujur bersama kaum kerabat dekat dan jauh; teman dan musuh serta lelaki mahupun perempuan.

Kalaulah kejujuran menjadi tanda kepahlawanan, maka dialah Muhammad SAW. Justeru, bukankah patut kejujuran itu dipelajari daripadanya? Bukankah kejujuran itu kita boleh temui diri Baginda?

Rasulullah SAW ialah manusia jujur dan paling dipercayai pada zaman Jahiliah sebelum Islam dan sebelum risalah kenabian. Lalu bagaimana pula sikap penghambaan Baginda kepada Allah SWT selepas turunnya wahyu, hidayah, kedatangan Jibril kepadanya, penghormatan Allah SWT sebagai hamba pilihan?

Inilah pengakuan musuh utama Rasulullah dan Firaunnya, umat ini iaitu Abu Jahal yang memberikan pengakuan atas kejujuran Rasulullah SAW. Demikianlah kebenaran yang disaksikan oleh musuh. Ketika berlaku perang Badar, al-Akhnas bin Syuraiq bertemu Abu Jahal di tengah jalan, dia bertanya: “Wahai Abul Hakam, tidak ada orang selain kita berdua yang mendengar perbicaraan kita. Beritahu aku mengenai Muhammad, adakah ia seorang jujur atau pendusta? Abu Jahal berkata: Demi Allah SWT, Muhammad adalah orang yang jujur dan tidak pernah berdusta.”

Tidak benar sekiranya kita mengatakan sekiranya tidak menipu, maka kita tidak berjaya. Apa gunanya kejayaan, kalau hilang kemuliaan. Ambillah pesanan Baginda ini buat pengajaran hidup agar kita juga berjaya di dunia bahkan di akhirat.

Dalam riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya benar (jujur) itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga.

Seseorang itu akan selalu bertindak benar sehingga ia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang sangat benar. Sesungguhnya dusta itu membawa kejahatan dan sesungguhnya kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang akan selalu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah SWT sebagai pendusta.”

Demikianlah, wallahualam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: