Rahsia bukit dan gunung


Oleh Mohd Hasan Adli Yahya

 

MENUNAIKAN haji di Makkah sememangnya akan memberikan seseorang itu 1,001 macam pengalaman yang diselubungi pelbagai perasaan. Bukan kerana kesukaran yang perlu ditempuhi, sebaliknya kadangkala mengenai situasi yang kita lihat sepanjang di sana.

Malah, detik paling tidak dapat saya lupakan apabila menerima perkhabaran seorang jemaah haji dari negara kita meninggal dunia.
Sebaik menerima perkhabaran itu, jemaah haji dari Malaysia sugul seketika. Allahyarham saya kenali dengan panggilan Haji Zaki meninggal sewaktu perjalanan dari Makkah ke Madinah.

Takziah diucapkan kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Justeru meninggal sewaktu haji, Allahyarham sangat bertuah kerana disolatkan di Masjid Nabawi dan disemadikan di perkuburan Baqi’, tempat di mana lebih 10,000 sahabat Nabi SAW dimakamkan, termasuk ahli keluarga baginda.
Malah, di situ juga tempat disemadikan ulama termasyhur dunia, antaranya Imam Malik.
Mengenai perjalanan saya di tanah suci, jika mengikut jadual, ini hari terakhir saya di sini. Hari ini saya akan berangkat pulang semula ke tanah air.

Terasa sayu dan syahdu meninggalkan bumi penuh berkat ini. Hanya pengalaman dan memori berharga mampu dibawa bersama.
Namun, Insya-Allah saya akan kembali lagi ke sini bersama peserta yang bakal menyertai pakej umrah bersama Persada Oasis Travel & Tours, tahun depan.

Jika dikenang pengalaman di tanah suci, perkara paling menggamit memori saya adalah berkesempatan menziarah tempat menyimpan pelbagai kisah sirah rasul.
Selain itu, pengalaman menjejakkan kaki ke bukit dan gunung di sekitar Makkah dan Madinah seperti Safa dan Marwah, Jabal (bukit atau gunung) Qubais, Jabal Nur, Jabal Uhud, Jabal Thur dan Jabal Rahmah. Setiap bukit dan gunung menyimpan kisahnya yang tersendiri.
Mungkin kita tidak sedar, penciptaan bukit-bukau dan gunung-ganang sebenarnya sangat signifikan dalam Islam. Perkataan gunung disebut 49 kali dalam al-Quran.
Ternyata ia cukup untuk menggambarkan betapa gunung dan bukit mempunyai kedudukan tersendiri dalam senarai penciptaan makhluk Allah.
Pembahasan gunung atau bukit di dalam al-Quran merangkumi pelbagai perkara seperti menggambarkan kata-kata kiasan daripada Allah, tempat berlakunya mukjizat rasul, tempat berlindung manusia dan haiwan, keagungan penciptaan gunung dan bukit, fakta sains mengenai gunung hinggalah keadaan gunung apabila tiba hari kiamat.
Sebagai contoh fakta sains, disebutkan dalam surah An-Nahl ayat 15, bermaksud: “Dan Dia (Allah) menciptakan di Bumi gunung-ganang yang tetap kedudukannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu…” Ayat ini menjelaskan, gunung-ganang adalah paksi bumi, tanpa gunung-ganang akan mengakibatkan berlakunya gempa bumi, banjir dan seterusnya mengundang kecelakaan lebih dahsyat.
Dalam menceritakan perihal keadaan gunung-ganang sewaktu hari kiamat, Allah memberi gambaran melalui surah Al-Qari’ah, ayat 4 dan 5, bermaksud: “Hari itu ialah hari kiamat. Hari di mana manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang berterbangan.” Tidak kurang juga kisah di sebalik setiap gunung atau bukit yang menyimpan sejarah tersendiri, terutama gunung dan bukit di sekitar kota Makkah dan Madinah.
Mereka yang pernah menjadi tetamu Allah di tanah suci pasti tidak asing dengan kisah di sebalik gunung dan bukit ini. Misalnya Jabal Qubais terletak berhampiran Masjidil Haram di Makkah.
Diriwayatkan bahawa batu yang digunakan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail untuk membina Kaabah diambil dari bukit ini.
Bukit ini menjadi tempat Nabi Ibrahim menyeru umatnya dengan seruan “Labbaikallahumma labbaik…” Pada waktu ini ia digunakan sebagai seruan menunaikan haji selepas baginda selesai membina Kaabah.
Bukit Safa dan Marwah juga tidak asing untuk umat Islam kerana di sinilah tempat melakukan saie bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah.
Sewaktu Nabi Ismail dan ibunya, Siti Hajar ketandusan bekalan air di padang pasir gersang, Siti Hajar berulang alik di antara dua bukit ini untuk mencari air. Ada riwayat mengatakan Siti Hajar berulang alik tujuh kali.
Nabi Ismail yang kehausan ketika itu meronta-ronta dan menangis hinggalah terbit mata air Zam-Zam yang memancar daripada gesekan dan hentakan tapak kaki Nabi Ismail. Peristiwa ini dirakamkan Allah sebagai ibadah bagi mereka yang mengerjakan haji dan Umrah.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 158, bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian syiar (lambang) agama Allah; sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang alik) di antara keduanya…” Saya juga berkesempatan mendaki Jabal Nur di Makkah. Di Jabal Nur terletaknya Gua Hira’, tempat turunnya wahyu pertama dalam sejarah mukjizat Agung Rasulullah SAW untuk umat Islam iaitu al-Quran.
Saya sempat menziarah Jabal Rahmah terletak di Padang Arafah. Al-Imam Auza’ie meriwayatkan daripada Hasan bin Athiyyah bahawa Adam dan Hawa menangis ketika turun di bumi selama 60 tahun kerana menyesali pelbagai kenikmatan di syurga yang tidak didapati lagi oleh kedua-duanya di bumi.
Kedua-duanya menangis menyesali dosa dilakukan. Hal ini dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah Wa Al-Nihayah karangan Ibnu Katsir.
Kemudian, dikatakan oleh sebahagian ulama Jabal Rahmah adalah tempat pertemuan semula Adam dan Hawa setelah sekian lama terpisah selepas diturunkan ke bumi dari syurga akibat memakan buah larangan.
Di Madinah pula, saya sempat menziarahi Jabal Uhud yang terkenal dengan sejarah Perang Uhud antara kaum Muslimin dan kaum Kafir Quraisy.
Walaupun mencapai kemenangan, Perang Uhud menyaksikan ramai tentera Muslimin mati syahid, termasuk Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi Muhammad SAW.
Selain menyimpan kisah rasul, bukit dan gunung juga menjadi perantara Allah menyampaikan peringatan kepada manusia. Masih ingat lagi letusan gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland? Gunung berapi ini menghamburkan debu setinggi lebih 11 kilometer ke udara, membunuh ribuan binatang dan tumbuh-tumbuhan serta menjejaskan ekonomi dunia, terutama di Eropah.
Begitu hebat penciptaan Allah ke atas setiap makhluk di muka bumi. Setiap ciptaan ada rahsia tersendiri yang kadangkala tidak dapat diduga akal manusia. Begitu juga penciptaan gunung-ganang dan bukit-bukau

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: