Iwan dalam seni bina Islam Parsi


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia

IWAN adalah perkataan Parsi yang merujuk kepada salah satu bahagian dalam seni bina Islam. Ia bermaksud permukaan yang berbentuk segi empat dan terletak di bahagian hadapan bangunan. Dari segi reka bentuk, iwan mempunyai bumbung yang tinggi dan melengkung dengan bukaan yang luas atau pintu di bahagian hadapan.

Di Malaysia, ia mungkin boleh disamakan dengan gerbang. Menurut Kamus Dewan gerbang bermaksud pintu besar yang di sebelah atasnya terdapat binaan melengkung.

Apa yang membezakan konsep iwan dan gerbang ialah iwan dibina secara bercantum dengan bahagian hadapan sesebuah bangunan manakala gerbang selalunya dibina secara berasingan dengan bangunan.

Bahagian yang mencantumkan iwan dan bahagian hadapan bangunan menjadikannya ia satu ruang legar dan laluan masuk yang amat sesuai sebagai tempat untuk menyambut kedatangan tetamu.

Ia menyediakan ruang yang teduh untuk menyambut ketibaan tetamu sebelum mereka melangkah masuk ke dalam sesebuah bangunan.

Iwan dikatakan adalah ciri seni bina dari tamadun awal Parsi pada sekitar tahun ke-200 Sebelum Masihi. Ia kemudian diwarisi oleh kerajaan Parsi yang lain seperti Kerajaan Sasanid, Seljuk dan Safavid.

Di Iran, iwan sering mendapat sentuhan seni yang menarik. Dengan saiz binaan yang besar dan hiasan yang menarik, iwan boleh dikatakan menjadi mercu tanda sesebuah bangunan di wilayah Parsi.

Dari segi hiasan, bahagian hadapan iwan sering dihiasi dengan teknik potongan jubin yang mana jubin berwarna-warni dipotong dan disusun menjadi lingkaran bunga-bungaan yang menarik berlatarkan warna biru.

Selain lingkaran motif flora, motif kaligrafi menjadikan ia lebih bercirikan Islam. Pemilihan ayat-ayat suci al-Quran yang bersesuaian akan dibentuk daripada potongan jubin-jubin berwarna-warni.

Tulisan khat yang sering digunakan bagi menghiasi permukaan iwan sebegini ialah tulisan thuluth.

Pengaruh seni bina Iran ini mula dikongsi oleh beberapa kerajaan Islam yang lain selepas ia mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan kerajaan Seljuk pada sekitar abad ke 11 hinga abad ke 12 Masihi. Kebanyakan kerajaan Islam yang menggunakan iwan sebagai ciri seni bina mereka merupakan jiran kepada kerajaan Parsi.

Dua kerajaan Islam besar yang menggunakan iwan dalam seni bina mereka ialah kerajaan Islam Timur di Asia Tengah dan kerajaan Islam Mughal di India.

Kedua-dua kerajaan ini telah mengadaptasikan ciri seni bina ini supaya mempunyai citarasa tempatan. Seperti contoh, jika di Iran bahagian permukaan Iran adalah rata seperti yang terdapat di Masjid Jamek Esfahan, manakala di India kebanyakan permukaan iwan mempunyai bahagian sisi yang diapit oleh satu rekaan permukaan yang mempunyai ruang seakan-akan balkoni atau anjung kecil yang menjadi tempat untuk mengambil angin yang terdapat di tingkat atas sesebuah bangunan.

Iwan yang terdapat di Taj Mahal dihiasi dengan batu-batu separa berharga bagi ‘menghidupkan’ motif flora yang digunakan dan ia bersesuaian dengan latar batu marmar putih yang menjadi bahan utama dalam pembinaan bangunan yang menjadi lambing cinta seorang suami terhadap isteri yang dicintainya.

Selain India dan Asia Tengah, terdapat juga beberapa buah bangunan masjid di Mesir turut menggunakan iwan sebagai penyeri rekaan seni bina di sana. Kesinambungan penggunaan iwan dalam seni bina Islam terus diwarisi sehingga ke hari ini.

Kini bangunan dengan rekaan kontemporari dan moden seperti bangunan Muzium Kesenian Islam Malaysia turut memilih menggunakan Iwan sebagai salah satu ciri kesenian seni bina Islam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: